Semalam berlangsungnya pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2022 di mana menyaksikan pengacara, Lesley Cheam, 26 tahun dinobatkan pemenang Miss Universe Malaysia 2022 sekali gus mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2022 di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat, pada 14 Januari tahun depan.
Lesley atau nama sebenarnya Lesley Cheam Wei Yeng yang berasal dari Selangor menewaskan 12 peserta lain selepas juri sebulat suara memberikan kemenangan kepadanya dalam acara yang berlangsung di sebuah hotel di Bukit Kiara, di sini, malam tadi.
Lesley dimahkotakan pemenang Miss Universe 2020, Francisca Luhong James. Pada tahun lalu, edisi 2021 tidak diadakan disebabkan kekangan pandemik Covid-19. Tempat kedua dimenangi Ajunee Kaur, 20, seorang siswazah undang-undang dari Kuala Lumpur, manakala tempat ketiga milik Wan Ying, 25, dari Pahang.
Jadi siapakah gadis jelita ini? Ini dia beberapa fakta menarik tentang Leslie yang pasti anda ingin tahu.
1. Leslie berketinggian 166 cm bersamaan 5’5″. Semasa dia masih kecil, Leslie gemar dan mula bermain bola keranjang.
2. Pada Oktober 2016, Leslie mula berjinak-jinak menjadi hos dan pengacara.
3. Pada 2019, Leslie menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Nottingham Malaysia di Semenyih, Selangor dalam bidang farmaseutikal dan sains kesihatan.
4. Dari Ogos 2020 hingga Jun 2021, Leslie bertugas sebagai ketua jualan & pemasaran Ipink. Pada September 2021, Leslie menyerti Elken Malaysia di Subang Jaya, Daerah Petaling, Selangor sebagai pengurus pemasaran.
5. Seorang yang suka mengembara. Antara negara-negara yang pernah dilawatinya adalah Thailand, Cambodia, China, England, Jerman dan Austria.
All the best Leslie!!
(Sumber: conandaily.com)
Bersuamikan Lelaki Brazil & Petah Jadi Pengacara, Azura Zainal Nampak Muda Remaja Usia 40an!
Personaliti Azura Zainal yang ceria, lasak, suka senyum dan ramah membuatkan dia sering nampak muda. Hakikatnya pengacara televisyen ini sudah pun mencecah usia 42 tahun. Tapi kalau tengok raut wajah dan sususk tubuh Azura bukan saja mencerminkan diri awet muda bahkan penuh energetic!
Malah ada yang beranggapan isteri jurulatih seni pertahanan diri berasal dari Brazil, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva ini berusia lingkungan 20an.
Dalam temu bual bersama Nona suatu ketika dulu, pengacara berbakat besar ini tersipu malu apabila dipuji penampilan dirinya yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.
Sambil berkongsi amalan gaya hidup sihat, Azura waktu itu mempunyai seorang anak kecil yang sedang lasak dan sibuk menguruskan keluarga.
“Nak kata rahsia, bukanlah rahsia pun. Pada saya, saya suka senyum dan gelak. Dalam masa sama, saya cuba untuk kekal aktif dengan pergi workout.
Tapi sejak dah ada anak ni, agak susah jugalah. Apa yang mampu saya buat sekarang, saya jadikan anak tu sebagai ‘motivasi’ untuk terus aktif.
Anak memang saya kena kejar sajalah dia the whole time. Mungkin sebab selalu jaga anak yang tengah aktif ni buatkan saya ada muscle for that,” ujar Azura sambil tunjuk otot di lengan.
“Bagi saya nak kekal sihat dan bertenaga kena cuba dapatkan tidur dan rehat yang cukup. Nak kata ambil makanan sihat, saya tak adalah terlalu menjaga makan. Tetap makan nasi lemak juga. Tapi bersederhana.
Jadi pada saya, amalan-amalan seperti inilah yang dapat beri keyakinan dan tenaga untuk kita kaum wanita dan ibu aktif. Bukan saja di rumah tetapi juga ketika di luar.”
Ditanya petua kecantikan yang diamalkan pula, “Minum banyak air. Dulu saya memang jenis orang yang tak suka minum air. Tapi bila dah meningkat usia dan mak selalu pesan kena banyak minum air, saya kena akur.
Sebab saya percaya ia sangat penting untuk keperluan tubuh. Selain dapatkan tidur yang cukup, minum banyak air pun penting.
Pernah bergelar hos X-Disney Channel, Azura juga dilahirkan dalam keluarga besar dan mempunyai tujuh beradik.
“Ibu bapa saya sangat tekankan kasih sayang dan mesti letakkan keluarga dahulu, jadi kami memang rapat! Kalau nak keluar atau buat apa-apa memang tak perlu kawan-kawan, kami sahaja dah cukup kecoh.
Dua orang abang menetap di Amerika Syarikat dan setiap kali mereka balik, memang riuh-rendah di rumah. Keluarga saya macam United Colours of Benetton, pasangan masing-masing ada yang berasal Iran, Brazil, Malaysia, dan Vietnam. Jadi keluarga saya memang penuh dengan diversity,” selorohnya.
Walau berkahwin dengan lelaki berasal dari Brazil, Azura masih memegang kuat kepada amalan tradisi Melayu. “Saya mengamalkan cara berpantang secara tradisional. Saya selesa berpantang secara tradisional kerana percaya amalan berpantang dapat memulihkan kesihatan dalaman.
Walaupun suami saya bukan orang Melayu tetapi dia menghormati pilihan saya.”
Hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Zaydan Genuino yang kini berusia lima tahun.
Nak Jadikan Ruang Tamu Tempat Paling Tenang & Selesa, Tiga Item Utama Ini MESTI Ada
Ruang tamu merupakan tempat paling awal dilihat oleh tetamu yang datang berkunjung. Maka, seharusnya ruang tamu dihias secantik mungkin supaya ia kelihatan menarik sekaligus membuatkan tetamu rasa selesa dan teruja ketika melihat dekorasi ruang tamu anda.
Namun begitu jangan lupa faktor ketenangan dan keselesaan juga perlu diambil kira. Selain sofa dan meja utama, terdapat juga beberapa item tambahan yang walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya ia MESTI ada di ruang tamu.
KERUSI TAMBAHAN
Dalam ruang tamu sudah pasti tersedia set sofa yang lengkap dengan mejanya. Namun begitu, perhatikan semula adakah set sofa itu mencukupi untuk menampung seluruh penghuni rumah termasuk jumlah tetamu?
Kalau anda rasa masih belum mencukupi maka kerusi tambahan mesti ada di ruang tamu sebagai persediaan. Tak perlu yang terlalu besar atau mewah, yang penting kerusi tambahan itu mampu memenuhi keperluan saat diperlukan.
JAM DINDING
Jam dinding bukan saja berfungsi sebagai penghias ruang tetapi juga sebagai penjaga waktu. Apabila terlalu asyik berbual dengan tetamu pasti akan membuatkan kita sering terlupa pada waktu. Sebagai tuan rumah anda mungkin segan untuk menyuruhnya segera pulang takut dianggap tidak sopan pula. Maka itulah pentingnya ada jam dinding di ruang tamu.
HIASAN
Jadikan hiasan sebagai item yang mesti ada di ruang tamu. Tak perlu takut kalau anda kehabisan idea kerana ada banyak item hiasan di pasaran yang boleh dimanfaatkan untuk mencantikkan ruang tamu.
Contohnya gambar keluarga, koleksi gambar percutian, bunga hiasan, barangan antik, lukisan atau hiasan-hiasan lain. Ruang tamu anda pasti akan kelihatan lebih mempesonakan.
Wanita, Sila Rebut Amalan Ini Ketika Haid Di Bulan Ramadan
Islam sememangnya agama yang indah. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Sekaligus memperlihatkan bagaimana Islam mengangkat darjat wanita di mana Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki.
Apabila datang haid, terdapat segelintir wanita merasakan ia sebagai ‘ gangguan’ untuk melakukan amal ibadat terutamanya ketika berada di bulan Ramadan. Haid merupakan mekanisme biologi yang terjadi pada tubuh wanita. Keluarnya darah kotor menjadi penghalang bagi kaum hawa untuk melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran. Namun begitu, wanita sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di dalam Islam.
Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu bolehkah seorang wanita yang dalam keadaan haid itu membaca al-Quran ? Menurut Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan, Amalan Wanita Haid di Bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memperincikan perkara tersebut.
- Haram. Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
2. Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Tsaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam (1/461)
Antara Kenyataan Mereka
- Syeikh al-Dusuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir (1/284)
- Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” Lihat Jawahir al-Iklil (1/32)
- Imam Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” Lihat al-Insaf (1/347)
Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636).
Secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid. Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
Namun begitu, antara amalan yang boleh dilakukan oleh wanitayang datang haid di dalam bulan Ramadan ialah:
1.Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
2.Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.
3.Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang berada dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.