Serba boleh! Kagum dengan keperibadian dan gaya hidup aktif puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Walau berstatus puteri diraja namun beliau mesra rakyat, merendah diri dan berbakat hingga menjadi kesayangan rakyat.
Lebih-lebih lagi Puteri Sirivannavari sentiasa mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Berusia 35 tahun pada 8 Januari lalu, Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt
dan berwajah polos tanpa solekan.Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara.
Menelusuri latar belakang puteri ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Puteri Sirivannavari ialah puteri sulung hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand. Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX.
Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan memetik laporan Bangkok Post, beliau pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan ekuestrian dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur. Selain berbakat besar dalam bidang sukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Selain pernah dijemput menghadiri pertunjukan fesyen jenama mewah antaranya Chanel, Elie Saab dan Pierre Balmain, Puteri Sirivannavari pernah membuat pertunjukan fesyen bagi jenamanya sendiri pada penghujung Oktober 2021.
Bersandarkan minatnya dalam bidang fesyen, beliau telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler.
Pada pertengahan April 2021 ketika Thailand berusaha mengekang penularan Covid-19, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat.
Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari, terbukti beliau seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Kredit foto: Instagram & Facebook Princess Sirivannavari
This website uses cookies.