Nama Nemonte Nenquimo tiba-tiba hangat apabila wanita Amazon yang juga pemimpin masyarakat adat di tengah hutan Amazon, Ecuador itu dinobatkan anugerah Goldman Environmental Prize 2020.
Beliau terpilih di atas usahanya melindungi 500,000 hektar hutan hujan tertua di dunia, Hutan Amazon, dari kerja-kerja penggalian minyak. Nenquimo bersama anggota adat Waorani yang lain bertindak berani bertemu pemimpin Ecuador bagi menghalang rancangan mereka menjual tanah terbabit.
Kemenangan kes yang difailkan oleh Nenquimo jelas membuka mata dunia terhadap kepentingan menjaga alam sekitar akibat kerakusan manusia.
“Hutan Hujan Kami Bukan Untuk Dijual”
Itulah perjuangan yang dilaungkan oleh Nenquimo hingga menjadi perhatian dunia.
Bercakap kepada BBC sebentar tadi, Nemonte Nenquimo menegaskan bahawa perjuangan itu bukanlah satu pilihan, tapi amanah yang diwariskan untuk dijaga. “Suku Waorani selalu menjadi pelindung. Kami mempertahankan wilayah dan budaya kami selama ribuan tahun.”
FAKTA MASYARAKAT WAORANI
Cerita Nemonte Nenquimo lagi, sejak kecil beliau telah dibesarkan dengan adat masyarakat Waorani. “Abang saya adalah pemimpin dan kami melindungi tanah ini dari dicerobohi orang luar.
Secara tradisinya, wanita Waorani dilatih supaya membuat keputusan, sementara kaum lelaki keluar berperang. Sejarah menceritakan bahawa kaum lelaki mesti mendengar arahan wanita sebelum kedatangan agama yang menjelaskan asal-usul manusia, iaitu dari keturunan Nabi Adam dan Hawa.
Mungkin saat itulah kekeliruan tentang peranan wanita bermula,” tutur Nenquimo. Pun begitu, beliau yakin bahawa wanita dalam komuniti Waorani bukan calang-calang.
“Ketika membuat keputusan, kaum wanita sama sekali tidak akan memukul, dan semua orang mendengarnya.”
Nemonte Nenquimo mengakui bahawa walaupun beliau menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai ketua suku Waorani di Daerah Pastaza tapi ‘ada ramai pemimpin wanita’ di dalam masyarakat Waorani lain, yang telah membimbingnya untuk melindungi wilayah mereka dari bisnes penggalian minyak.
“Saya tak tahu bagaimana manusia mampu tinggal di sekitar kawasan penggalian minyak. Dengan semua kebisingan di situ, jauh berbeza dari suasana di kampung kami di Nemonpare. Atap rumah kami di malam hari adalah bintang dan bunyi yang anda dengar hanyalah suara binatang.
Industri penggalian minyak juga membuatkan manusia berubah. Dengan upah yang diterima, mereka membeli minuman keras, menjadi kasar dan menyakiti isteri masing-masing. Alam juga tercemar dengan kerja-kerja carigali yang dijalankan.”
Pada tahun 2018, pemimpin Ecuador mengumumkan tentang hasrat mereka menjual 16 konsesi minyak baru yang mencakupi tujuh juta hektar hutan hujan Amazon. Nemonte Nenquimo bangkit menentang usaha tersebut.
Menerusi kempen digital ‘Hutan Hujan Kami Bukan Untuk Dijual’, Nenquimo berjaya mengumpulkan hampir 400,000 tanda tangan dari seluruh dunia. Beliau juga berjuang di Mahkamah dengan mengatakan bahawa pemimpin Ecuador itu belum memperoleh persetujuan suku Waorani untuk menjual tanah mereka.
Bulan April 2019, hakim kes ini memberi kemenangan mutlak kepada suku Waorani. Keputusan tersebut turut dirayakan oleh aktivis alam sekitar di seluruh dunia sebagai kemenangan terhadap hak-hak masyarakat pribumi daripada bisnes global.
“Saya berharap dengan penghargaan ini, dapat memberi kesedaran bahawa kami bertindak demi kebaikan planet kita,” akhiri Nenquimo.
Sumber: BBC.com
This website uses cookies.