Ibarat Tak Menua Walau Di Usia 54 Tahun, Ahli Dermatologi Dedah Rahsia Awet Muda JENNIFER LOPEZ!

Happy birthday Jlo! Isteri kepada pelakon Ben Affleck dan penyanyi dan pelakon terkenal dunia, Jennifer Lopez sememangnya beruntung. Selain dianugerahkan bakat dan kekayaan, dari dahulu lagi Jennifer Lopez atau lebih mesra dipanggil Jlo menawan dunia dengan kecantikan semulajadinya.

Lihatlah saja pada kemunculan terbaru Jlo bersama Ben pada Anugerah Grammy 2023 baru-baru ini, nyata ramai yang tak keruan melihat kecantikan Jlo yang tetap nampak awet muda pada usia 54 tahun.

Jadi apa agak rahsianya? Yang pasti, ramai berspekulasi yang Jlo menggunakan jalan singkat mendapatkan seri wajah idaman dengan menyuntik botoks dan pembedahan plastik namun ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh tuan punya badan.

Ini turut disokong oleh Dr Andrea Suarez atau lebih dikenali sebagai Dr Dray yang mendedahkan rahsia awet muda penyanyi lagu Lets Get Loud, menepis segala dakwaan nakal berhubung kejelitaan Jlo menerusi perkongsian di akaun Youtube nya. Yang pasti, Dr Andrea menjelaskan Jlo berupaya mendapat wajah muda remaja selepas mengambil langkah berjaga-jaga sejak muda.

Dr Andrea Suarez

Rupanya Jlo sangat ‘particular’ dan menjaga disiplin mencegah kulit wajahnya dari terkena sinaran UV.  Jelas Dr Day,

“Banyak faktor menyumbang kepada pembentukan kedutan pada kulit kita. Salah satu faktor penyumbang ini adalah pendedahan kepada sinaran UV dari matahari. Dan JLo sendiri telah mengambil langkah berjaga-jaga sejak muda. JLo cukup berhati-hati mencegahnya sejak umur 22 tahun, dia benar-benar komited menggunakan pelindung matahari ketika di luar rumah,” jelasnya.

Selain itu, Dr Dray mengakui diet yang teratur dan sihat bagus untuk kesihatan kulit termasuk lemak yang sihat, mendapatkan protein, vitamin dan mineral yang mencukupi, dan vitamin C bagi membina kolagen.

Selain itu JLo juga terkenal dengan rutin senaman yang konsisten, ketat dan tarian tanpa henti. Bila badan aktif, kulit akan kelihatan lebih segar, bertenaga dan sihat. Ia juga dapat melancarkan peredaran dan mengurangkan keradangan dalam badan.

Dr Dray turut menambah bahawa terdapat satu lagi faktor yang memainkan peranan besar dalam penampilan kulit, yang kita tidak mempunyai sebarang kawalan terhadapnya, dan itu adalah genetik.

“Tidak dinafikan genetik memainkan peranan dalam berapa cepat kulit dan jumlah badan akan menua. Malah persekitaran kita yang menyumbang kepada penuaan kulit. Kita mempunyai enzim berbeza dalam kulit yang membantu memerangi radikal bebas. Sesetengah genetik menjadikan enzim mereka lebih baik daripada orang lain.”

Kredit foto: Instagram @jlo dan @drdrayzday

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Wan Firdaus