Walaupun mengalami masalah penglihatan iaitu mata kanan tidak berfungsi, tidak sesekali melunturkan semangat seorang ibu kepada 7 anak, Norhayati Sambak untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Wanita berusia 52 tahun itu mengambil masa selama 6 tahun dan bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menurut Norhayati yang merupakan pensyarah di UiTM Kelantan, anak-anak serta suami merupakan pembakar semangatnya untuk memperoleh PhD.
“Tipulah, jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah untuk membayar semula duit kerajaan (biasiswa).
“Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.
Norhayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun, hal itu tetap tidak mematahkan semangat serta cita-citanya untuk meraih skrol PhD.
“Tahun lepas, selepas selesai PhD saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lepas, hanya menggunakan mata kiri sahaja.
“Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu stress sehingga jadi seperti ini (tidak nampak),” katanya yang telah menghasilkan dua buah buku berkaitan kewangan.
Usai temu bual, wanita cekal itu dibantu staf UiTM bagi mendapatkan suaminya yang menunggu di perkarangan dewan memandangkan penglihatannya yang sangat minimum telah membantutkan pergerakannya.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua Istiadat Konvokesyen tersebut.
Sumber: Bernama