Sesiapa pun akan mengalami masa sukar apabila ibu atau bapa, atau kedua-duanya jatuh sakit. Sudah tentu bermacam-macam cara yang akan dilakukan demi melihat mereka sembuh semula. Perasaan pun bercampur baur antaranya sedih, bimbang dan sebagainya. Ini adalah normal.
Lebih-lebih lagi anak perempuan yang sudah berkahwin dan tinggal jauh daripada kampung halaman. Rasa bimbang pastinya terlalu kuat dan berharap dapat pulang ke kampung dengan segera untuk menemani ibu bapa yang sakit.
Mana satu yang perlu diutamakan dulu? Ibu bapa atau keluarga anda? Banyak cara sebenarnya yang boleh dilakukan agar anda boleh bertindak lebih adil. Berikut cara-caranya.
UTAMAKAN TUGAS SEBAGAI ISTERI DAN IBU
Ia kedengaran seperti terlalu mementingkan diri tetapi ini adalah tanggungjawab dan tugas yang besar. Sebagai isteri dan ibu ini sangat mencabar jika keperluan keluarga di rumah terabai kerana perlu menjaga ibu bapa yang sedang sakit. Meskipun anda mempunyai pembantu rumah, namun tanggungjawab utama seorang ibu dan isteri tidak boleh diabaikan.
SELESAIKAN TUGAS-TUGAS DI PEJABAT
Atur jadual kerja sebaiknya agar anda mempunyai masa untuk menjaga dan merawat ibu bapa yang sedang sakit. Pastikan semua urusan diselesaikan. Jangan pula badan saja berada dekat dengan ibu bapa tetapi hati dan fikiran berserabut memikirkan soal kerja yang masih belum selesai.
MINTA BANTUAN AHLI KELUARGA TERDEKAT
Jangan paksa diri untuk merawat ibu bapa jika sudah jelas tanggungjawab utama anda belum selesai. Jelaskan kepada ibu bapa dengan cara berlapik bagaimana keadaan anda ketika itu. Buat sementara waktu mintalah bantuan ahli keluarga terdekat untuk menjaganya.
PAMER EMOSI POSITIF
Berhadapan dengan orang yang sedang sakit memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Jika tidak sabar, tidak fokus dan mudah sensitif ia merumitkan lagi keadaan. Dalam situasi sukar ini cubalah untuk kekal tenang, tunjukkan emosi positif, ceria dan semangat.
DOAKAN
Sebagai orang beriman anda tidak boleh mengabaikan kekuatan doa. Ingatlah, kesembuhan adalah anugerah dari Ilahi. Dalam situasi ini berdoalah dengan tulus. Mohonlah petunjuk kepada-Nya dan pasrahkan segala hal yang akan terjadi menurut kehendak-Nya.
Sebagai anak, pengorbanan yang kita lakukan sebenarnya tidak setanding dengan jasa mereka terhadap kita sejak kecil. Kasihi ibu bapa anda dan nikmati waktu bersamanya sebanyak mungkin. Percayalah anda akan terus bahagia.AMYMOHD