Syukur alhamdulillah, tanggal 15 Februari 2022 merakam satu lagi sejarah indah buat ‘The Pocket Rocketman’, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang apabila selamat menyambut kelahiran anak ketiganya.
Berita tersebut disampaikan sendiri oleh jaguh berbasikal trek negara itu melalui media sosialnya, sejurus kelahiran si comel.
Turut dikongsikan status kesihatan isteri tercinta, Datin Athiah Ilyana Abd Samat yang dalam keadaan sihat selepas melahirkan.
14 Rejab 1443H
15 February 2022
Alhamdulillah syukur.
Isteri saya selamat melahirkan cahaya mata ketiga kami pada awal siang tadi. Kedua-dua ibu dan bayi sihat walafiat dan berada di dalam keadaan yang terbaik.
Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga.
Sehingga kini Datuk Azizul belum lagi berkongsi nama dan jantina bayi.
Terdahulu pada 30 Januari 2022 lalu, pasangan ini juga baru menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12.
Berusia 34 tahun, lelaki kebanggaan Malaysia yang sedang menetap di Melbourne, Australia itu kerap mengemas kini perkembangan diri serta latihannya di sana.
Hasil perkongsian hidup Datuk Azizul dan isteri, mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata termasuk dua anak perempuan, Amna Maryam dan Amna Khadeeja.
Antara pencapaian terkini wira sukan kelahiran Dungun, Terengganu itu adalah meraih pingat perak Olimpik dalam acara Keirin di Tokyo 2020.
Tahniah Datuk Azizul dan Datin Tya! Semoga kehidupan bertambah seri dengan kelahiran anak ketiga!
Buat Kelas Mekap Seikhlas Hati, Naib Juara #FabulousMUA Hargai Penyokong & Berkongsi Dengan Masyarakat!
Nampaknya naib juara program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA ini betul-betul kotakan janji. Sebelum diumumkan sebagai pemenang lagi, Nik Aswat sudah menyuarakan niat murninya kepada penulis untuk mengadakan satu kelas mekap khas buat peminat yang menyokongnya selama ini. Tegas Nik, sama ada menang atau tidak… dia tetap akan menunaikan janji dan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-24 hari ini, ada pengumuman yang ingin disampaikan Nik Aswat.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab dinobatkan sebagai naib juara. Walau pada awalnya, target untuk masuk ke final pun sudah cukup membanggakan. Lepas habis Fabulous MUA, saya hendak fokus kepada mekap dan butik selain mahu memajukan diri ke tahap yang lebih baik. Matlamat saya adalah untuk menjadi seseorang yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain.
Jadi, untuk membalas jasa baik mereka yang telah banyak menyokong kerjaya saya dan sebagai tanda mahu berbakti kembali kepada masyarakat… saya berbesar hati mengadakan kelas mekap seikhlas hati kepada sesiapa yang berminat di butik baru saya di Kulim, Kedah.
Kelas mekap yang pernah dianjurkan Nik Aswat.
Solekan Nik Aswat di final Fabulous MUA.
Rekaan busana di butik Nik Aswat.
Ini bukanlah kali pertama saya buat kelas mekap seikhlas hati. Kali pertama saya buat ialah pada awal tahun lalu di butik lama saya. Waktu itu saya masuk pertandingan Malaysia’s Makeup Artist (MMA). Tujuan saya buat kelas ini adalah untuk menghargai bakat dan keinginan orang lain yang hendak menceburi bidang solekan. Macam saya cakap tadi, matlamat hidup saya bila sudah berjaya ialah untuk lihat orang lain juga berjaya.
Bagi saya, ilmu perlu dikongsi. Saya faham perasaan mereka yang sangat meminati bidang ini dan saya pun pernah beberapa kali pergi kelas mekap untuk belajar teknik
solekan yang betul. Selain pergi kelas, saya juga belajar tentang selok-belok dunia solekan daripada ramai makeup artist.
Apa salahnya sekarang, saya pula yang kongsi ilmu dengan orang lain. Bak kata orang-orang lama, ‘Menuntut ilmu biar sampai ke negara China’. Istilah mencari dan memberi ilmu ini luas, sampai bila-bila pun takkan pernah habis,” ujar anak kelahiran Pulau Mutiara ini.
Enggan meletakkan kriteria tertentu kepada mereka yang berminat menyertai kelas mekap seikhlas hati ini, Nik Aswat memutuskan mahu membuat kelas berkenaan pada 25 November nanti. “Anggaran peserta adalah sekitar 20 orang ke bawah atau jika banyak permintaan… mungkin saya akan buat dua hari atau slot pagi dan petang. Bukan tak mahu ambil ramai tapi keadaan ruang butik yang terhad.
.
Rekaan busana di butik Nik Aswat.
InshaAllah, jika ada rezeki lebih nanti saya akan buat lagi. Kriteria umur, saya tak kisah. Cuma kalau boleh saya mahu newbie yang sekurang-kurangnya ada asas dalam mekap tetapi tak tahu macam mana untuk kembangkan lagi bakat mereka. Setakat ini saya sudah mendapatkan tajaan daripada Syok Cosmetics, Farmasi Color Cosmetics (FCC) dan beberapa produk kosmetik lain.”
Mengenali peribadi Nik Aswat, ternyata anak muda ini bukan hanya seorang yang lucu dan peramah. Bahkan dia memiliki personaliti usahawan berjaya yang sentiasa bersedia, berani mencuba, kreatif, bijak mencari peluang dan positif merencana masa depan. Meskipun ketika program Fabulous MUA masih berlangsung… otaknya ligat meneroka bidang baru yang mampu menjana pendapatan lumayan. Kagum!
“Alhamdulillah, setiap apa yang saya buat dalam program ini saya nampak usaha saya. Daripada Fabulous MUA inilah saya dapat asah bakat dan lebih mengenali diri saya yang sebenarnya. Memang itu antara matlamat saya. Waktu uji bakat dulu pun saya pernah cakap dekat juri yang saya mahu jadi yang terbaik dan cari kelebihan diri sendiri. Walaupun tak jadi winner, dapat nombor dua pun saya dah bersyukur. Bukan kedudukan pemenang yang menjadi keutamaan saya tapi yang lebih penting, saya dapat belajar banyak benda dari program Fabulous MUA.”
Finalis Fabulous MUA.
Ditanya pengalaman paling terkesan sepanjang menjadi peserta Fabulous MUA, ini jawapan jujur Nik Aswat. “Saya tak pernah masuk pertandingan seumpama ini yang banyak mengajar erti mekap sebenar kepada para peserta sebab sebelum ini kalau saya masuk pertandingan… habis je mekap, settle dan umum nama pemenang. Berbeza dengan Fabulous MUA, yang tidak keterlaluan kalau saya katakan ia padat dengan bermacam-macam ilmu tentang dunia solekan daripada mereka yang pakar. Belum lagi kira perkongsian ilmu sesama peserta. Pendek kata dah macam ‘library’ bergerak,” selorohnya.
Tambahnya lagi, “Walaupun perjalanan saya sebagai makeup artist masih jauh tapi apa yang boleh saya pesan kepada bakal makeup artist di luar sana, anda perlu ada semangat,usaha dan sentiasa rendah diri. Tak kira dalam apa juga industri yang diceburi pun kena sentiasa humble. Kalau berlagak orang tak suka dan jangan berhenti cari ilmu. Itulah juga yang saya amalkan dalam kehidupan. Sehebat mana pun orang tu, dia tetap kena cari ilmu.”
Berkat Sokongan Padu Peminat, Album FAZURA Laris Terjual Lebih 6 Ribu Unit Dalam Tempoh Hanya 5 BULAN!
Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Nur fazura Sharifuddin mengotakan janji untuk para peminat dengan menjayakan showcase One Music Live Session Fazura di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini.
Showcase yang dibawa khas oleh One Music, Fazura menghiburkan kira-kira 500 peminat bertuah dengan mendendangkan lapan lagu termasuk berduet dengan suami tersayang, Fattah Amin, dalam single Cinderella. Ternyata kemunculan Fattah pada segmen terakhir mendapat sorakan daripada para peminat yang sememangnya tidak jemu mengikuti perkembangan pasangan ini yang mendirikan rumahtangga hujung tahun lalu.
Pembukaan showcase menampilkan kumpulan baharu dikenali sebagai Back2Basixx yang menampilkan empat anak muda yang berbakat besar dalam seni suara.
Memulakan persembahan pada petang itu dengan lagu Sayangi Dirimu, Fazura tampil santai dengan kemeja putih dan solekan yang sederhana. Kemudian Fazura meneruskan showcase dengan lagu-lagu dipetik dari album perdananya berjudul FAZURA antaranya termasuklah Lalu, Bisa Apa, Cinta Langka, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Bangun. Secara keseluruhannya, tema cinta diangkat menjadi elemen utama dalam album yang mengandungi 9 buah lagu yang diterbitkan oleh Tantra Numata, Irfan aulia (Samsons), Rich L Gimbang (Estranged), ahmad Kemat Khair, Anas Amdan, Alwyn Santiago, Megat Fazzly dan Megat Aizat.
“Sejak kecil saya sering berangan-angan untuk menjadi penyanyi. Malah di rumah, saya sanggup mencari kain-kain perca untuk menjahit baju yang digayakan oleh Datuk Sheila Majid ataupun Cyndi Lauper dan berangan mengadakan persembahan,” ujar Fazura yang bekerja keras untuk menempatkan dirinya sebagai penyanyi.
Selain lagu duet popular bersama Fattah Amin iaitu Cinderella, pada showcase berkenaan Fazura turut berduet bersama Aizat Amdan menerusi lagu Cinta Langka, duetnya bersama Ariadinata, vokalis utama Samsons.
“Alhamdulillah showcase hari ini berjalan dengan lancar. Terima kasih buat para peminat yang sudi hadir menyaksikan showcase hari ini. Saya berharap album FAZURA menjadi pilihan untuk anda ketika memandu kenderaan dan anda semua adalah kekuatan untuk saya memperbaiki diri dan menjadi lebih baik,” ujar Fazura yang amat menghargai kehadiran para peminat sepanjang showcase berlangsung.
Album Fazura yang dilancarkan tahun lalu mencatat sejarah peribadi apabila laris 6,000 unit dan distrim lebih lima juta kali menerusi jualan digital.
Cecah Usia 6 Bulan, Wajah Comel FATIMA Tarik Perhatian Peminat FAZURA!
2 April lalu genap 6 bulan usia anak perempuan selebriti popular, Nur Fazura dan Fattah Amin! Makin meningkat usia, makin comel dan terserlah wajah Nur Fatima Aisyah yang mewarisi rupa paras ibu dan bapanya. Alahai, cair tengok kecomelan anak kecil ini!
Sejak beberapa hari lepas wajah comel Fatima menjadi tular di laman media sosial. Meskipun belum mencecah usia setahun namun populariti Fatima semakin mendapat tempat peminat seni tanah air. Apatah lagi dalam kalangan peminat setia Fazura dan Fattah yang tertarik dengan telatah manja Fatima.
Semalam, Fazura memuat naik video memaparkan aksi puteri kesayangan mengenakan dres merah jambu jenama Fendi tertawa riang sebaik melihat wajahnya di sebuah pusat beli-belah terkemuka. Beserta kapsyen, ‘Fatima’s first day of shoot’ … video tersebut meraih hampir sejuta tontonan dan dibanjiri dengan ribuan komen.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram @fattzuralovelife pelbagai gaya dan ragam Fatima menjadi tatapan warga net. Tak keruan dibuatnya melihat kehidupan bahagia pelakon Hero Seorang Cinderella ini di samping cahaya mata mereka!
Fazura sebelum ini pernah menyuarakan dilema yang ditanggungnya apabila terpaksa meninggalkan anak dek kerana tuntutan kerjaya. Menyedari lumrah dan naluri seorang ibu, rakan artis dan peminat tampil memberi kata perangsang dan nasihat. Hanya kaum ibu memahami situasi tersebut.
Mengimbas kembali detik kelahiran Nur Fatima Aisya Abdul Fattah, pasangan romantis ini menyambut kehadiran anak sulung mereka pada hari Jumaat, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan 2 Oktober 2020.
Menariknya, pada kelahiran Fatima juga Fazura melancarkan dengan koleksi produk kosmetik Fazura Beauty lip matte. Usahawan kosmetik ini juga memiliki produk penjagaan kulit jenama sendiri iaitu Fazura Skincare.
Selain kecomelan Fatima yang semakin menarik perhatian ramai, penampilan Fazura yang diundang sebagai juri tetap bagi Muzikal Lawak Superstar 2 turut menjadi bualan hangat peminat. Mana tidaknya, makin cantik berseri-seri dan anggun ibu jelita ini!
Di samping ligat mengusahakan perniagaan dan kerjaya seni, Fazura dan Fattah merupakan duta produk Bata Malaysia.
Kredit foto: Instagram Fazura & Fattzura Love Life