Dalam keadaan si ibu yang masih sakit, letih dan tidak selesa dengan perubahan tubuh, ada baiknya suami atau ahli keluarga membantu menguruskan keperluan bayi dan ibu untuk seketika.
Tindakan sedemikian bukan sekadar mencipta suasana menyenangkan kepada ibu malah mengelak mereka mengalami ketidakstabilan mental dan emosi.
Sepanjang proses penyembuhan ini, ada di antara ibu yang berdepan situasi cemas dalam masa beberapa hari atau minggu selepas bersalin.
Tidak kira apa jua situasi yang bakal dialami, usah cemas dan segera mendapatkan rawatan di hospital terutamanya jika anda mengalami gejala berikut.
Perkara Wajib Ambil Tahu
(a) Pendarahan postpartum
Ia sering dikaitkan dengan kehilangan darah yang banyak secara tiba-tiba atau berterusan. Jika mendapati darah tidak henti mengalir dan tidak seperti biasa disertai darah beku, minta bantuan dari hospital dengan segera.
Sesetengah gejala akibat pendarahan ini akan diikuti dengan simptom seperti denyutan jantung pantas, pening kepala, berpeluh dan pitam. Terdapat juga rembesan faraj yang berbau busuk kerana rahim telah dijangkiti bakteria.
(b) Demam panas
Lazimnya, ibu yang baru bersalin terdedah mengalami demam panas sekitar 38 darjah Celsius. Keadaan tubuh yang masih lesu dan kekurangan nutrien menjadikan mereka kurang daya tahan dan mudah dijangkiti penyakit.
Antara bahagian yang sering terkena jangkitan ialah pada ruang antara vagina dan rektum, luka akibat pembedahan Caesarean, saluran kencing termasuk di kawasan uterus.
(c) Perubahan sikap abnormal
Simptom yang paling ditakuti apabila si ibu bertindak kurang siuman kesan kesihatan emosi dan mental tidak menentu. Kecelaruan minda, terlalu cepat gelisah dan delusi atau dikenali sebagai psikosis postpartum.
Meskipun kemurungan adalah perkara yang tidak asing berlaku kepada ibu namun jika ia berlanjutan selama lima hari atau lebih menjadi petanda kepada sakit mental yang serius. Lebih memburukkan apabila anda kerap memikir tentang kematian atau membunuh diri.
(d) Kesukaran membuang air besar & kecil
Jika didapati enam jam pertama selepas bersalin anda tidak membuang air kecil, ia mungkin menunjukkan anda mengalami masalah air kencing bertakung. Mandi air panas merupakan salah satu cara yang boleh membantu.
Sementara dalam masa tiga hari tidak menunjukkan tanda untuk membuang air besar atau mengalami rasa sembelit, segera rujuk keadaan anda kepada doktor sebelum ia tidak menjadi lebih buruk.
Persediaan Penyusuan Badan
Setiap orang mempunyai teknik penyusuan yang berbeza bergantung pada keselesaan bayi dan ibu. Memandangkan sesi penyusuan mengambil masa yang agak lama, sebaiknya pilih persekitaran yang selesa terutamanya bagi ibu-ibu yang baru pertama kali menyusukan bayi dan masih belum membiasakan diri.
This website uses cookies.