Ibu Kembali Bergelar Isteri Di Usia 64 Tahun, Dato Azril Mohd Radzi Luah Rasa Gembira

Menjengah ke laman Instagram milik Dato Azril Mohd Radzi, usahawan kosmetik dan hartanah ini berkongsi khabar gembira mengenai ibu tersayang, Wan Zaiton Bt Megat Othman, 64 tahun yang kembali bergelar isteri pada 14 Januari lalu. Ibu kepada usahawan terkenal itu selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Baharom bin Othman.
Menurut Dato Azril, ibu tersayang terbuka hati untuk menerima jodoh di usia 64 tahun sekembalinya dari mengerjakan haji tahun lalu. Kebetulan, bapa tirinya itu merupakan rakan sekolah ibunya dan mereka bertemu semula di laman Facebook. Baharom  adalah rakan sekampung Wan Zaiton di Kampung Felda Guar Napai, Kodiang, Kedah.
“Alhamdulillah, di usia 64 tahun mak kembali menjadi pengantin baharu. Saya pandang yang baik-baik, Allah datangkan ujian, sebab Allah nak bagi yang lebih indah. Syukur percaturan Allah itu yang terbaik,” ujarnya.
Sepanjang 18 tahun hidup sendirian, Dato Azril amat menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh ibu tersayang bagi memastikan keluarganya hidup dalam penuh perhatian dan kasih sayang.

“Hari yang bermakna buat mama
Harini diijabkabul
Di usia emas 64 tahun jadi pengantin baru….
Setelah hampir 18 tahun hidup bersendirian…

Sebab tulah saya jarang share gambar keluarga
Saya tahu betapa perit menjadi ibu tunggal dan bermadu

Sekadar berkongsi
18 tahun lepas tak pernah saya terfikir rumah tangga orang tua saya akan tersadai…
Melihat mama bersedih masa-masa membesarkan anak-anak
Bukan perkara mudah…
Hati manalah yang tak sama dukacita

Yang lepas biarlah berlalu….
Masa tu saya bangkit selalu pujuk diri…
Tempoh itulah jugalah saya berjuang
Nak ubah nasib diri, mama & keluarga…

Alhamdulillah saya pandang yang baik2
Bilamana Allah datangkan ujian
Sebab Dia nak bagi yang lebih indah
Syukur percaturan Allah tu yang terbaik….

Saya doakan yang terbaik buat mama & uncle 🤲🏻”- Dato Azril Radzi.

Menurut Dato Azril, jodoh ibunya dipermudahkan dari mula lagi. Selepas tujuh bulan saling berhubung, barulah mereka mengambil keputusan untuk berkahwin. Perancangan ini  dibuat lebih kurang sebulan lalu di mana keluarga kedua belah pihak berjumpa dan berbincang.

Dekorasi majlis pernikahan disempurnakan oleh Lilit Pipit & YSA Events ini menggunakan rona putih sebagai warna latar sepanjang majlis. Malah pasangan mempelai serta keluarga terdekat mengenakan pakaian putih sedondon di majllis berkenaan.

Majlis pernikahan telah diadakan di kediaman Wan Zaiton di Shah Alam dan dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai terdekat. Antara tetamu yang hadir termasuklah Datuk Seri Alif Syukri, Iddin Syah dan beberapa kenalan keluarga yang lain.

Mereka sekeluarga merancang untuk pergi bercuti di United Kingdom pada bulan hadapan.Tahniah dan selamat pengantin baru!

 

Share
Published by
Rosmah Idayu