Ibu Tunggal Besarkan 4 Orang Anak, Ibu Margot Robbie SARIE KESSLER Lambang Wanita Cekal Di Hollywood

Margot Robbie, salah seorang pelakon paling disayangi di Hollywood hari ini. Selepas memulakan kerjayanya di negara kelahirannya di Australia, populariti Margot melonjak menjadi antara bintang antarabangsa paling menyerlah selepas diambil berlakon bersama A-lister di Hollywood seperti Leonardo DiCaprio dan Jonah Hill dalam The Wolf Of Wall Street.

Kredit foto: Getty Images

Sejak itu, Margot menjadi rebutan pihak produksi dan penerbit apatah laginya disebut untuk dicalonkan untuk anugerah Oscar pada tahun hadapan untuk filem Babylon. Namun di sebalik kejayaan, berdirinya seorang insan hebat disisinya, iaitu ibu Margot Robbie, Sarie Kessler yang tetap setia menyokong kerjaya anaknya. Margot juga sering kali tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibunya apabila acap kali membawa ibunya di majlis serta karpet merah. Namun siapakah sebenarnya wanita cekal yang bertakhta di hati Margot ini.

Sarie merupakan seorang ahli fisioterapi (iaitu ahli profesional perubatan yang menyediakan terapi fizikal). Menurut Harper’s Bazaar sewaktu Margot membesar, kerjaya ibunya tertumpu pada membantu orang tua, namun bila bintang Suicide Squad itu semakin terkenal, Sarie memfokuskan kepada membantu kanak-kanak kurang upaya.

Margot adalah anak bongsu kedua daripada empat beradik. Selain Margot, Sarie mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Walaupun adik-beradik Margot iaitu Anya dan Lachlan enggan untuk dikenali, namun adik lelakinya Cameron, 27, juga seorang pelakon.

Ketika Margot berusia lima tahun, Sarie berpisah dengan bapanya Doug Robbie, yang merupakan pemilik ladang dan taikun tebu. Dan sejak dari itu, ibunya membesarkan keempat-empat anaknya seorang diri. Jelas Margot, “Dia merupakan seorang ibu tunggal yang cekal. Walaupun ketika kecil anak-anaknya sentiasa bergaduh, dia tidak pernah mengeluh malah tekad membesarkan kami sehabis baik. Dia seorang wanita yang sangat kuat,” jelas Margot.

Margot juga turut mengimbas kenangannya pertama kali memaklumkan yang dia ingin menjadi seorang pelakon. Ibunya dikatakan sentiasa menyokong kerjaya anak-anaknya Menurut sumber, Margot cukup mengagumi pengorbanan ibunya sampaikan sanggup melunaskan baki gadai janji ibunya sebagai hadiah untuk hari jadinya yang ke-60. Margot Robbie turut mendedahkan gaji pertamanya dibelanjakan untuk keperluan ibunya dengan niat membalas semula jasanya.

Kredit foto: Wireimage

Malah, setiap kali Margot dijemput ke acara mahupun anugerah, Margot pasti akan membawa ibunya sekali. Semestinya keakraban yang ditonjolkan oleh mereka berdua cukup mengharukan. Padanlah Margot menjadi bintang yang paling ‘dikehendaki’ pada ketika ini.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus