Ibu Tunggal Contoh, MARIANNY ISMAIL Bertanding Untuk Mrs Malaysia World 2018!

Memegang status ibu tunggal dua orang anak dalam pada masa yang sama bekerja dalam sektor profesional menjadikan Marianny Ismail seorang wanita selayaknya dipandang tinggi. Bahkan, beliau yang bekerja dalam industri petroleum termasuk proses cari gali minyak dan gas berjaya menjadi salah seorang finalis Mrs Malaysia World 2018.

Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai bisnes butik perkahwinan sendiri yang terletak di Titiwangsa.

“Sudah 11 tahun saya bekerja dalam industri petroleum. Selain itu, saya juga mengusahakan butik perkahwinan sendiri yang diberi nama Maria Salinne dan mempunyai pengalaman sebagai seorang model. Saya juga merupakan seorang ibu kepada sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia 6 dan 4 tahun”, jelas Marianny yang berusia 33 tahun memperkenalkan diri.

Melihatkan wajahnya yang ayu dan bertemankan suara lemah lembut, tidak menyangka sebenarnya wanita ini mempunyai hati cekal walaupun pernah melalui episod hitam dalam rumah tangganya apabila bercerai dengan bekas suami sekitar dua tahun lalu.

“Selepas melalui proses penceraian bersama bekas suami, orang boleh bercakap apa sahaja tentang diri saya. Namun, ia terpulang untuk saya menerimanya atau tidak. Apa yang penting, saya tahu apa yang saya buat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan”, kata Marianny.

“Dalam hidup ini, anda harus percaya kepada diri sendiri dan buat apa saja perkara yang anda minat dan mampu membahagiakan kehidupan anda”, tambahnya lagi.

Menggalas tugas sebagai seorang ibu tunggal juga menjadi satu cabaran buat Marianny. Namun, beliau mempunyai cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anaknya.

“Demi menjaga privasi anak-anak, saya jarang upload gambar mereka berdua di sosial media. Saya mahu mereka fokus dengan kehidupan sebenar terutamanya dalam pelajaran.

Dari segi penggunaan gajet seperti handphone pula, saya akan pastikan mereka aware dengan kesan buruk menggunakan handphone secara berlebihan. Saya akan menunjukkan video atau artikel berkaitan seperti mata kanak-kanak yang rabun dan memaksimakan penggunaan handphone selama 10 minit sahaja kepada mereka”, jelas wanita kacukan filipina dan cina ini.

Adat setiap pertandingan pasti ada yang kalah dan menang. Namun, Marianny sentiasa mengharapkan yang terbaik dalam pencarian Mrs Malaysia World 2018 kali ini untuk menyumbang balik kepada masyarakat.

“Menariknya menyertai pertandingan ini, ia memberikan saya satu semangat yang baharu, menjadikan saya lebih berdisiplin selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa jua cabaran mendatang”, jelasnya mengakhiri perbualan.

Pertandingan akhir Mrs Malaysia World 2018 akan berlangsung pada 29 September ini di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. Pertandingan ini memberi ruang kepada para ibu dan isteri dan peserta tidak sahaja dinilai daripada rupa paras, tapi keperibadian menarik dan sumbangan kepada masyarakat.

Share
Published by
Elly Jalil