Kalau memandang wang jaminan kebahagiaan, orang terkaya di dunia pun bercerai-berai. Iyalah duit dah berkepuk. Takkan cukup isteri seorang. Mujurlah juga bekas isteri dapat hak kekayaan – umpamanya MacKenzie Scott, wanita ketiga terkaya di Amerika Syarikat ini.
Perkahwinan Jeff Bezos, lelaki terkaya di dunia yang juga Pengasas Amazon.com dengan MacKenzie Scott berlangsung pada tahun 1993.
Selepas berkahwin, pasangan itu berhijrah ke Seattle dan mereka sama-sama menubuhkan Amazon.com. Turut menjadi pekerja pertama di syarikat itu, Scott sebenarnya ‘orang penting’ yang terlibat dengan pelbagai operasi pejabat, antaranya merangka pelan bisnes, menjaga akaun dan membuat penghantaran.
Dalam perjalanan membina empayar Amazon, syarikat membeli-belah online paling maju di Amerika, Jeff dan Scott melayari bahtera perkahwinan mereka dengan bahagia. Mereka mempunyai empat cahaya mata, yang mana tiga daripadanya lelaki dan seorang anak perempuan (anak angkat).
Sayangnya perkahwinan yang dibina selama 26 tahun itu berakhir dengan perceraian. Pasangan ini berpisah pada tahun 2019, meninggalkan MacKenzie Scott dengan harta sepencarian bernilai US$35.6 billion (sekitar RM168 billion).
Ini sekaligus meletakkan nama beliau sebagai di antara wanita paling berkuasa di Amerika Syarikat serta terkaya di sana!
Wanita dermawan ini dikatakan telah menderma sebanyak US$12.8 billion kepada lebih 1,200 organisasi – lebih tinggi daripada yang didermakan oleh The Gates Foundation iaitu sekitar US$11.9 billion dalam tempoh yang sama!
DERMAWAN
Komited untuk memberi semula kepada masyarakat, Scott mahu separuh daripada kekayaan itu disalurkan kepada badan kebajikan.
Wanita jelita berusia 52 tahun dan ibu kepada empat cahaya mata itu juga merupakan seorang penulis novel yang hebat, malah karya Scott juga pernah diangkat sebagai pemenang di American Book Award.
Selepas perkahwinan keduanya gagal pada September lepas, Scott terus fokus pada minatnya dalam bidang kebajikan.
Enggan terbawa-bawa dengan kesedihan, MacKenzie Scott yang kini seorang ibu tunggal meneruskan sifat kedermawanannya dengan membantu masyarakat.
Beliau baru saja menyalurkan dana sebanyak US$84.5 juta untuk persatuan The Girl Scouts Amerika Syarikat pada Selasa, sekaligus menjadikan nilai itu sebagai hadiah terbesar pernah diterima oleh mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Sofia Chang, dana ini bakal menjadi pemacu usaha berterusan mereka dalam membantu menyemai lebih banyak kemahiran dan mencipta hubungan yang lebih erat di antara ahli-ahli persatuan dengan komuniti, serta di peringkat global.
The Girl Scouts sebelum ini dilaporkan berdepan masalah dalam menarik keahlian baru. Saban tahun, rekod terus menunjukkan penurunan lebih-lebih lagi semasa musim pandemik.
Dengan suntikan dana tersebut, dikatakan cukup membantu pada waktu paling kritikal, sekaligus merealisasikan usaha persatuan dalam mentransformasikan aktiviti yang dijalankan.
Semoga usaha dan niat murni MacKenzie Scott terus membawa kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)