Berita

Ibu Zarina Zainuddin Meninggal Dunia Usia 69 Tahun, Sempat Jamah Juadah Terakhir Nasi Sambal Ikan Bilis

DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Ibu Zarina Zainuddin meninggal dunia usia 69 tahun. Takziah diucapkan kepada pelakon popular tersebut atas perkhabaran ibunda tersayang yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi 4 Disember 2024. Berita sedih tersebut dikongsikan Zarina di media sosial.

Menerusi perkongsian selebriti berkenaan, kali terakhir dia berhubung dengan ibu tersayang sekitar jam dua pagi melalui aplikasi Whatsapp. Ujar Zarina, waktu itu dia baru selesai menjalani penggambaran.

Difahamkan ibu Zarina Zainuddin iaitu Zahura Abdul Mutalib ketika itu baru bangun dari tidur dan mahu makan nasi dengan sambal ikan bilis. Ternyata, ia adalah juadah terakhir ibu Zarina Zainuddin.

Jenazah diurus dan dikebumikan di Ipoh, Perak. Zarina turut akui terkesan dengan pemergian ibu tersayang memandangkan dia sudah lama tidak berhubung dengan arwah.

Dedah Zarina, “Lama juga saya tak bercakap dengan mak saya gara-gara kecil hati dengan dia. Baru-baru ini sewaktu saya tidur saya dengar suara suami saya bercakap. Saya ingat saya mimpi tapi bila saya pusing saya tengok dia tengah bercakap dengan saya. Suami saya kata jangan keraskan hati dengan mak.

Macam mana sekalipun itu mak Ina, abang dah tak ada mak. Terus saya mesej mak saya minta maaf. Saya sempat jumpa arwah minggu lepas masa saya pergi Taiping. Balik dari Taiping saya singgah rumah mak, dia masakkan sambal telur.

Saya cakap jomlah pergi Kuala Lumpur dia cakap dia tak nak sebab papa pun tak berapa sihat. Senang mak saya pergi. Ya Allah ampunkan dosa-dosa mak aku rahmatilah dia tempatkan dia dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kali terakhir mak mesej saya malam tadi masa saya balik shooting.”

Allahyarham Zahura Abdul Mutalib dilahirkan pada 28 Mei 1955 dan meninggal dunia pada 4 Disember 2024.

Nona mendoakan agar Zarina reda dan tabah dengan berita pemergian ibu tersayang serta terus kuat mendepani hari-hari mendatang.

Semoga roh Allahyarham Zahura dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Artikel https://www.nona.my/sanggup-tinggalkan-kerjaya-pendidik-demi-anak-ning-baizura-terharu-jasa-ibu-yang-kini-berusia-81-tahun/

Share
Published by
Suzi