Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture
yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
This website uses cookies.