Idea Ditolak Pelabur Mentah-Mentah Lebih 100 Kali, CEO Canva MELANIE PERKINS Kini Wanita Ke-3 Terkaya Di Australia

Pandemik COVID-19 nyata menjejaskan ekonomi, apabila banyak perniagaan dan bisnes gulung tikar dek impaknya sekitar dua tahun lalu. Namun lain pula kesannya pada syarikat pemula atau start-up dari Australia, Canva. Canva merupakan platform aplikasi reka bentuk percuma yang kini semakin popular dan hampir digunakan oleh seluruh masyarakat dunia khususnya. Hasilnya, pengasas dan CEO Canva, iaitu Melanie Perkins kini menjadi wanita ketiga terkaya di Australia.

Kredit foto: entrepreneur.com

Sejak pandemik, penggunaan aplikasi Canva meningkat sebanyak 50%, dan pada akhir Jun, nilainya sudah mencecah hampir AS$ 6 bilion meningkat daripada AS$ 3.2 bilion. Peningkatan ini disebabkan pengguna dah mula menyedari kepentingan platform reka bentuk yang lebih kolaboratif, mesra-pengguna dan mampu milik sewaktu pandemik.

Dilaporkan dari Daily Mail, kekayaan Melanie mencecah AS$2.5 bilion. Bukan itu sahaja, Melanie juga merupakan jutawan termuda Australia dan salah seorang CEO wanita termuda yang menerajui syarikat permulaan teknologi bernilai lebih AS$1 bilion. Tidak hairanlah, kisah kejayaan Melanie Perkins memberi inspirasi kepada ramai orang.

Bermulanya Satu Fenomena

Melanie mendapat ilham tuk mencipta aplikasi reka bentuk selepas mendapati kesukaran untuk menggunakan perisian reka bentuk yang ada di mana kurang mesra pengguna dengan ciri-ciri tertentu untuk pengguna baru sepertinya. Melanie akhirnya melihat ini sebagai peluang besar untuk mencipta platform yang menyediakan perkhidmatan reka bentuk percuma dan mesra untuk penggunanya, terutamanya pengguna baru.

Sewaktu itu, dia dan teman lelaki (kini suaminya), Cliff Obrecht turut membina platform reka bentuk buku tahunan, Fusion Yearbooks yang menawarkan banyak templat reka bentuk dengan ciri drag-and-drop. Bayangkan, inovasi pertama mereka ini dibangunkan pada tahun 2007 di ruang tamu rumahnya. Tanpa sedar, Fusion Yearbooks semakin diminati oleh pelajar dan berkembang menjadi salah satu syarikat penerbitan paling popular di Australia.

Kredit foto: entrepreneur.com

Pada pertengahan tahun 2012, Melanie dan Cliff menghasilkan Canva. Namun sebelum Canva dikenali dan dimuat turun oleh ratusan juta pengguna, Melanie telah dikecewakan oleh ratusan pelabur yang tidak menyakini dan ragu-ragu dengan hasil ciptaannya.

Masalah geografi menjadi salah satu isu terbesar buat Melanie memandangkan dia tinggal di Australia dan pelabur teknologi besar kebanyakannya berpengkalan di California Utara. Demi ‘memperjuangkan’ rekaannya, Melanie membuat keputusan untuk tinggal bersama kakaknya di San Francisco selama tiga bulan dalam usaha mencari pelabur untuk aplikasinya, namun ditolak mentah-mentah.

Mendapatkan pembiayaan atau ‘funding’ untuk Canva adalah satu cabaran besar. “Saya sering kali mendapat maklum balas seperti ‘tidak’, ‘belum masanya lagi’ dan lain-lain namun ia tidak melunturkan semangat saya untuk mendengar setiap komen dan menambah baik dalam menjadikan konsep perniagaan Canva lebih kukuh,” ujar Melanie dalam temubual bersama Entrepreneur.

Melanie terus bekerja keras sehingga usahanya membuahkan hasil. Pada tahun 2012, Perkins berjaya mendapatkan ‘funding’ pertama daripada pelabur dengan mengumpul sejumlah $3.6 juta dari Matrix Partners, Interwest Partners dan syarikat pemula teknologi lain. Modal inilah yang digunakan Melanie dalam Canva dan Fusion Yearbooks. Malah Canva juga berjaya menarik perhatian pelakon Woody Harrelson dan Owen Wilson di mana kedua-dua bintang Hollywood itu juga sudi melabur.

Start-up Unicorn Paling Berjaya

Dalam masa 2 tahun sahaja, pengguna Canva telah mencapai 1 juta pengguna. Jumlah ini terus meningkat dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, dalam era serba digital di mana penggunaan media sosial semakin meluas, seperti Pinterest, Instagram dan lain-lain.

Kredit foto: entrepreneur.com

Berdasarkan data Financial Reviews, setakat ini, Canva telah digunakan oleh lebih 60 juta pengguna aktif di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, kira-kira 5 juta pelanggan menggunakan Canva Pro. Canva kini mempunyai 2,500 pekerja di 17 negara dan menjelang akhir tahun ini jumlah itu akan mencecah hampir 4,000 pekerja.

Yang pasti, kisah Kejayaan Melanie Perkins, CEO muda serta pengasas Canva berjaya membina empayarnya sendiri selepas ditolak mentah-mentah oleh oleh ratusan pelabur wajar dicontohi. Kini, wanita cantik ini menjadi antara orang terkaya di Australia dengan kekayaan bernilai 6.5 bilion USD.

Sumber: hipwee.com 

 

 

Share
Published by
Wan Firdaus