Kata orang, perkahwinan jarak jauh (PJJ) banyak cabarannya. Yang dekat pun banyak menduga, inikan pula pasangan yang jauh di mata. Tapi berlainan kisah Zharudin dan Mariana. Mereka reda PJJ demi janji di atas motosikal, 10 tahun lalu.
Jangan ditanya apa sumbangan negara pada kamu, tetapi tanyalah apa sumbangan kamu pada negara.
Sebenarnya ada ramai anak bangsa yang mendahulukan kepentingan negara, berbanding diri sendiri. Salah satunya anak Bintulu, Sarawak bernama Zharudin Naruddin ini.
Berusia 35 tahun, lelaki berjawatan Pengurus Besar di sebuah anak syarikat Badan Berkanun Kerajaan itu juga merupakan antara yang termuda di Malaysia.
Namun untuk sampai ke jawatan sekarang, banyak air mata yang tumpah dan pengorbanan yang harus dilakukan.
“Kami sentiasa berjauhan sejak tahun 2018 atas faktor pekerjaan dan urusan pendidikan kami.
Bayangkan sejak itu saya ke KL setiap dua minggu dan simpan duit makan untuk tambah duit belanja sewaktu mengambil Master di UUMKL.
Saya terpaksa buat di KL sebab hanya UUMKL sahaja ada pilihan kursus Pengurusan Awam dan kelas setiap dua minggu (weekends).
Dan di KL, saya tidur di airport sebab tak cukup duit untuk menyewa hotel. Kami sanggup berhabis duit demi pendidikan. Walaupun kadang berlapar.” Zharudin
Bapa anak dua yang kini menggenggam Master Pengurusan Awam itu turut menyemat satu cita-cita. Beliau mahu berkhidmat kepada masyarakat dan membina semula Malaysia yang berjaya.
ISTERI DOKTOR PAKAR
Pasangan Zharudin iaitu Dr Mariana Tumin pula merupakan anak Simpang Renggam, Johor berusia 34 tahun.
“Isteri saya bercita-cita mahu menjadi doktor pakar dan beliau juga tekad untuk berkhidmat pada masyarakat. Saya yakin kerjaya beliau sekarang di laluan yang betul, insyaAllah.
Beberapa hari lepas, isteri saya lulus Professional Exam for Doctor of Public Health. Saya tahu ia bukan mudah untuk dilalui.
Bila dapat berita kejayaan ini, saya rasa lagi risau kerana langkah seterusnya sebagai Pakar Kesihatan Awam bukanlah satu tugasan yang mudah.
Tugasnya secara ringkas adalah memastikan kesihatan komuniti terjamin termasuklah hal-hal pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Masih segar di ingatan ketika kami saling berbincang di atas motor sambil bersiar-siar di Kampung Jepak, dan saling bersetuju bahawa kita akan menjadi milik masyarakat dengan memberi khidmat kepada mereka.
Jadi kami bersetuju untuk letak mindset tersebut 10 tahun lepas,” cerita Zharudin.
SUKA DUKA
Sambungnya lagi, “Ketika saya berkhidmat di Petronas, dia pula berkhidmat di klinik kesihatan Bintulu. Tahun 2016 saya menyahut cabaran untuk berada di pentas politik dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Kami tahu ketika itu persediaan telah dilakukan kerana pasti tidak akan menang kerusi tersebut.
Orang muda, baru sahaja dalam alam pekerjaan. Bermulanya cabaran besar buat kami ketika pasca pilihan raya. Pada ketika itu isteri saya pernah berhasrat menangguhkan pengajiannya. Saya nekad paksa dan beri motivasi padanya untuk teruskan perjalanan. Dia akur dan daftar juga.
Dia semakin risau kerana apabila cuti belajar beberapa elaun dia tidak akan perolehi dan keadaan ini akan terus menjejaskan keadaan kewangan kami. Saya simpan sahaja tangisan ketika itu.
Takdir menentukan dia telah terpilih setelah beberapa sesi temu duga di Semenanjung. Perjalanan ke sini memang menduga kerana kami tidak cukup duit belanja. Tapi redah sahaja dan doa banyak-banyak.
Akhirnya tahun 2017, beliau daftar kemasukan sebagai pelajar pasca siswazah untuk program Master dan PhD selama 4 tahun.
SAMA-SAMA BELAJAR
Apabila berpindah ke Kuching, saya tiada pekerjaan. Sukar untuk mendapatkan kerja pada ketika itu apabila kejatuhan harga minyak berlaku sejak 2015. Isteri saya sepenuh masa belajar.
Puas juga saya cari kerja tapi tidak dapat. Memang rasa tertekan juga pada masa itu. Ketika itu juga saya masih dalam pengajian Master. Saya nekad cari sumber mata pencarian yang lain, antaranya sebagai Grab Driver.
Tahun 2018, isteri saya bersalin anak kedua. Mengimbau momen kesusahan kami, saya teringat waktu dia di bilik bersalin.
Pada telefon pintar saya ketika itu keluar notifikasi ‘new passenger request’ iaitu dari Hospital Umum Sarawak ke Matang Jaya.
Ya. Saya tekan accept dan saya rasa ini akan tambah pendapatan hari tersebut. Perjalanan hampir 40 minit pada waktu petang yang sesak. Setelah saya habis menghantar penumpang tersebut, saya sempat minta doa supaya isteri saya selamat bersalin.
Alangkah terkejutnya penumpang tersebut dan sepasang suami isteri berbangsa Indonesia itu terus rasa bersalah dan segara menyuruh saya pergi. Saya pecutlah terus!
Sampai di hospital, sangat sesak. Saya jadi kebingungan dimana isteri saya dan apa keadaannya? Telefon juga tidak dijawab. Saya lari ke tingkat atas ke wad wanita dan alhamdulillah, saya melihat isteri saya sedang diusung untuk ke bilik bersalin.
Sempat juga akhirnya. Tak sampai 15 minit dia mesej sudah selamat lahirkan anak perempuan. Itulah Sarah yang saya sayangi! Saya pasti Sarah akan sekuat detik ini satu hari nanti.
Tidak habis dengan itu, isteri saya hanya sempat berpantang 2 minggu dan perlu hadir ke peperiksaan akhir. Anak-anak kami hantar balik ke Johor seketika untuk mudahkan dia berpantang.
Rezeki, 3 minggu kemudian saya dapat tawaran kerja di Bintulu dan menguruskan projek di sana. Kisah ini termasuk apabila saya bekerja di Bintulu, beliaulah yang menguruskan urusan anak-anak ke sekolah dan beliau juga bangun tengah malam siapkan kerja-kerja penyelidikan dan menulis.
Kerana itu sahaja ruang yang ada ketika anak-anak nyenyak tidur. Sakit dan penat itu saya tidak akan dapat bayar.
TERPAKSA PJJ
Pada waktu ini pula saya di Kuala Lumpur, isteri di Kuching dan anak-anak kami di Johor. Sudah sebulan terpisah sementara. Itulah pesan orang; bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Dengan usaha ada kejayaan.
Kisah kami ini bukan untuk ditunjuk dan bukan pula untuk berbangga. Sekadar berkongsi kesukaran kami yang tidaklah begitu besar dan kejayaan ini juga bukanlah hebat, kerana di luar sana ada ramai lagi orang hebat.” Zharudin
Susah dan sukar macam mana sekali pun jangan tunding jari pada orang lain. Sesukar mana pun kehidupan kita, jangan putus asa.
Bersabar dan doa itu adalah kunci. Zharudin turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada isterinya, Dr. Mariana Tumin (DPH) kerana telah berjaya menamatkan pengajian.
Inilah permulaan perjalanan baru sebagai seorang pakar kelak!
This website uses cookies.