Hubungan yang serasi di antara pasangan Mohamed Ameer Shazrin Mohamed Azmin, 26 tahun dan Mazreen Shanim Shaheen, 26 tahun membuatkan pasangan ini sepakat untuk mendirikan rumah tangga setelah mendapat restu kedua-dua buah keluarga. Tertarik dengan sikap Mazreen Shanim atau lebih mesra disapa Majeen yang memahami perasaan dan gemar berjenaka, Ameer nekad mengakhirkan zaman bujangnya.
Tautan kasih bermula dengan ikatan pertunangan yang dilaksanakan penuh adat Melayu pada 31 Januari 2018 yang lalu. Pasangan sehati sejiwa ini mengakhiri kisah cinta ke jenjang pelamin setelah enam bulan bertunang. Ameer adalah anak kepada Ahli Parlimen bahagian Gombak yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Datin Seri Shamsida Taharin. Manakala Mazreen pula adalah anak kepada Datuk Seri Shaheen Mirza Habib dan Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan pada awal Julai lalu di kediaman pengantin perempuan. Hanya dengan sekali lafaz, kedua-duanya sah sebagai pasangan suami isteri dan dalam masa yang sama, Ameer menyerahkan wang mas kahwin sebanyak RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan. Pengantin perempuan manis dalam persalinan Rizman Ruzaini dan didandan cantik oleh Datin Saidatulnisa dan Ckayliow.
Majlis pernikahan bertemakan keindahan bunga orkid demi mengabadikan kecintaan arwah ibu pengantin perempuan terhadap bunga orkid. Pihak keluarga pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah sepakat untuk memilih Reka Teemor untuk mengubah dulang hantaran pada hari bersejarah mereka.
Majlis resepsi di sebelah pengantin perempuan telah diadakan pada keesokan harinya di Hotel Istana Kuala Lumpur. Pasangan mempelai tampil anggun mengenakan busana daripada Rizman Ruzaini serta sentuhan daripada juru solek Khir Khalid dan Ckayliow. Kedua-dua mempelai telah diarak bagaikan Raja dan Ratu Sehari mencuri tumpuan tetamu yang hadir ditambah pula dengan keindahan majlis resepsi bertemakan Inggeris yang moden dan elegan. Majlis semakin berseri dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom mencemar duli.
Manakala majlis resepsi di sebelah pihak lelaki pula diadakan dua hari berturut-turut lima hari kemudiannya di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Majlis pertama pasangan pengantin segak bergaya dengan busana daripada Rizman Ruzaini serta di tatarias oleh juru solek Khir Khalid dan Ckayliow. Manakala majlis yang kedua pula pasangan pengantin cantik berseri dengan busana rekaan Rizalman dan telah di solek oleh Najeebazami. Konsep majlis yang mengetengahkan elemen tradisional dan moden ini benar-benar mencuri tumpuan.
Majlis kali ini dihadiri oleh tetamu kenamaan, sanak saudara dan sahabat handai. Antara barisan tetamu kenamaan yang hadir menyerikan majlis adalah Yang Di-Pertuan Agong Malaysia XV, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Tengku Ariff, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
CINTA JARAK JAUH
“Kami berkenalan sejak umur 14 tahun, tetapi hanya sekadar berkawan sahaja. Selepas SPM, kami belajar di Sunway University selama setahun dan selepas itu kami berpisah kerana Ameer melanjutkan pelajarannya di London,” ungkap Mazreen menyingkap sejarah awal perkenalan mereka.
Pasangan ini terpaksa berkorban demi segulung ijazah apabila Ameer terpaksa meninggalkan Mazreen kerana melanjutkan pelajaran di London. Sejak itu bermula episod percintaan jarak jauh antara mereka berdua. Hubungan cinta jarak jauh ini sedikit sebanyak menjadi rintangan dan dugaan yang dihadapi sepanjang perkenalan.
“Ameer seorang lelaki yang bertanggungjawab, he’s a family man, he loves kids dan pandai jaga hati,” tutur Mazreen apabila diajukan tentang apa yang membuatkan dirinya tertarik terhadap pengantin lelaki
“Saya pula tertarik dengan Mazreen kerana dia seorang pasangan yang amat memahami perasaan dan serasi dengan saya. Mazreen juga seseorang yang kuat berjenaka dan membuat saya sangat selesa dengannya,” bicara Ameer sambil memandang lembut ke wajah isterinya yang tercinta.
Pasangan ini juga tidak merancang untuk memiliki cahaya mata. Sekiranya ada rezeki, kedua-duanya menerima dengan senang hati dan mahukan lima atau enam cahaya mata sebagai penyeri dalam keluarga mereka berdua nanti.