
Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong diangkat sebagai ikon perpaduan negara baru-baru ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata selain pemimpin, seniman dan legenda sukan, kementeriannya kini turut menjadikan Pandelela sebagai ikon untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Sekarang ini kita melihat perenang juga menjadi ikon, kita masukkan beliau ke dalam agensi bawah kita seperti Pandelela supaya beliau menjadi ikon di Kementerian Perpaduan Negara,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, penerjun dari Sarawak berusia 29 tahun itu pernah menjadi Ikon Belia Sukan Negeri Sarawak pada 2016 dan Ikon Sukan Yakult 2017.
Aaron berkata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diangkat sebagai ikon perpaduan turut diperkenalkan kepada golongan belia di negara ini melalui Pameran Eksklusif Seniman Agung P. Ramlee pada Mac lepas.
Sumber: BERNAMA
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
7 Tahun Kahwin Belum Dikurniakan Anak, MIZZ NINA Kejar Kebahagiaan Mencari Akhirat

Allah sebaik-baik perancang. Itu yang Nona dapat dirumuskan apabila seringkali mendengar rintihan dan luahan pasangan suami isteri yang kecewa kerana masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga. Bukan tidak ada sebarang usaha yang dilakukan untuk mendapatkan anak, ke sana ke sini mencari ikhtiar dan mendapatkan rawatan.
Itu lah yang dilalui oleh Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina, 38 yang masih belum dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh,33 sejak 7 tahun lalu. Mizz Nina percaya bahawa tidak semestinya tidak dikurniakan zuriat, seseorang itu tidak boleh menikmati kebahagiaan. Tambahan pula, Nina dikurniakan dengan suami yang sangat romantik, penyayang dan menerima dirinya seadanya.
Walau bagaimanapun, Mizz Nina dan Noh tidak pernah berputus asa untuk menimang cahaya mata sehingga pernah melakukan rawatan In Vitro Fertilization (IVF) dan sebelum itu mereka juga pernah cuba menjalani kaedah Intra Uterine Insemination (IUI) sejak beberapa tahun lalu. Pengalaman melalui dua kaedah rawatan ini diceritakan sendiri oleh Nina dalam satu video khas yang dimuat naik di laman youtube miliknya sekitar Mac lalu.
Masa berdua digunakan sepenuhnya oleh pasangan romantis ini dengan bergiat aktif dalam misi kemanusiaan. Sebelum ini mereka pernah menjejakkan kaki ke bumi Palastin dan terbaharu Nina bersama Noh akan berangkat ke Turki pada 26 Ogos dalam misi kemanusian tersebut sempena Aidiladha. Masa belum ada anak ini lah Nina boleh meluangkan masa bersama suami dan masih boleh berada dalam mood honeymoon lagi.
Ternyata kemesraan yang dipancarkan oleh sweet couple ini menjadi inspirasi untuk pasangan suami isteri lain untuk sentiasa menghargai pasangan masing-masing walau apapun kekurangannya. Lebih-lebih lagi tentang penghijrahan luar biasa Nina dan apabila mereka bersama-sama berubah menjadi muslim yang lebih baik. Kalau tengok Mizz Nina yang dulu dan Mizz Nina sekarang memang jauh berbeza sekali. Jelas, apa yang dikejar dalam kehidupannya sekarang hanyalah kebahagiaan mencari akhirat.
Kisah percintaan mereka juga pernah menjadi viral sebelum ini apabila Noh pernah berkongsi pengalaman yang pada ketika itu hanya mempunyai RM8,000 genap di dalam akaunnya untuk meminang isterinya itu walaupun Nina berasal daripada keluarga yang hebat dan kaya. Terbukti di sini cinta tidak mengenal harta dan darjat serta buatlah semua perkara dengan niat yang baik dan InsyaAllah akan bantu.
Puncuk pangkalnya, kita harus sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah dan sentiasa berfikiran positif. Tak apalah Mizz Nina, InsyaAllah akan ada suatu hari nanti impian kamu untuk menjadi seorang ibu akan tercapai. Nona doakan yang baik-baik saja untuk Mizz Nina dan Noh.
DATUK DIRA ABU ZAHAR Selebriti Pertama Bergelar YB, Ligat Berpolitik Sambil Sambung MASTER

Sejak melangkah ke dunia politik, Datuk Dira Abu Zahar perlahan-lahan meninggalkan industri seni. Niatnya untuk membantu anak seni tanah air merupakan titik-tolak mengapa bekas pelakon dan pengacara popular itu berjuang mahu mengukuhkan tapak dalam gelanggang politik.
“Kalau imbas kembali ketika saya dalam industri seni, memang hidup glamor dan dilambung pujian. Tapi saya sedar yang anak seni menghadapi masalah terutama keselamatan dan kebajikan tenaga kerja. Mungkin hidup serba glamor tetapi ia belum menjamin masa depan atau duit simpanan yang mencukupi.

Kadar pembayaran anak seni juga tiada sistem khusus. Jadi saya mula mengambil inisiatif untuk menjadi sebahagian daripada pengurusan industri seni dengan menyertai NGO dan sebagainya. Tapi saya dapati tidak banyak yang boleh dilakukan.
Dengan menyertai dunia politik, saya mempunyai peluang walaupun peluangnya sangat tipis untuk masuk ke dalam sistem pembuat dasar atau polisi,” terdengar ketegasan di hujung suara wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Pemilik nama sebenar Khaidirah Dato’ Seri Abu Zahar ini mula aktif dalam politik sehingga dilantik Exco Puteri Umno pada 2015 dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sejak 2018.
Datuk Dira Abu Zahar juga turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi selebriti pertama bergelar Wakil Rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim.
Mewarisi ketokohan bapa, karakter Datuk Dira cukup disenangi sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat. Apa yang mahu diperjuangkan wanita cekal ini adalah usaha membantu rakyat sedaya mampu, biar dalam apa keadaan sekalipun.

“Sudah tentu saya bangga menurut jejak langkah arwah bapa. Tapi pada masa yang sama, saya harap boleh memberi inspirasi yang baik kepada orang lain.
Sebab bagi saya penglibatan artis dalam dunia politik adalah sesuatu yang baru tapi sekarang dah semakin meluas. Ramai yang berani tampil ke depan mewakili kepercayaan masing-masing dalam politik.
Bagi saya menjadi YB lebih merujuk kepada Yang Berkhidmat bukan Yang Berhormat. Ia bukan untuk glamor tapi tanggungjawab itu besar sebenarnya. Apa yang mampu saya kongsikan adalah dugaan dan cabaran yang menanti, sangat banyak.

Sebagai contoh, kita berpolitik sudah tentu perlukan parti, dalam parti yang kita pilih sendiri ada banyak dugaannya. Apalagi berhadapan dengan masyarakat dan parti lawan.
Sebagai ahli politik kita perlu bijak menguruskan cabaran tersebut. Dalam dunia politik kita tak boleh jangka semua orang akan faham dengan apa yang diperjuangkan.
Berkecimpung dalam dunia politik ini buat saya sedar bukan semua perkara kita boleh betulkan. Ada benda-benda yang hanya masa dapat menentukan atau membetulkan keadaan itu,” ucap Datuk Dira yang dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rostam pada tahun 2020.

SUPERPOWER
Mendengar sahaja jadual harian wanita berusia 38 tahun ini, sukar dibayangkan seperti tidak cukup 24 jam sehari. Datuk Dira menjadi ahli politik, isteri, ibu kepada lima orang anak dan dalam masa yang sama menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang dasar awam (Master of Public Policy) di Universiti Malaya (UM). Umpama ada ‘Superpower’ dalam diri anak bongsu daripada enam beradik ini.
“Kalau ikut penat, memang penat. Saya pun tak tahu, bila orang tanya macam mana saya boleh lakukan semua perkara, saya pun tak tahu macam mana saya uruskannya.
Kalau nak kata saya pandai uruskan masa, saya pun macam orang lain juga yang kadang-kadang terlajak. Seperti apabila dah sampai waktu tidur tapi kadang-kadang teralit tengok telefon bimbit dan sebagainya.

Cuma yang saya tahu, saya hanya ada satu semangat yang hebat. Bersungguh-sungguh melakukan sesuatu sampai terlaksana. Dengan semangat ini sahaja yang buat saya kuat untuk terus mencapai apa yang diinginkan,” ujar anak kepada Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka kelapan dan pernah berkhidmat kepada rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Sungai Rambai ini.
KELUARGA
Tergambar bahagia pada raut wajah isteri kepada ahli perniagaan, Syfik Idzywan Sidek, 48, ini saat berbicara tentang kehidupan keluarga. Datuk Dira bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat menyokong aktiviti politiknya.

“Kalau nak tahu, suami saya tak kenal saya sebagai seorang artis pun sebenarnya. Kami telah diperkenalkan oleh seorang kawan dan akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri. Suami sangat menyokong saya bergerak aktif dalam dunia politik kerana faham bahwa platform saya sekarang adalah untuk membantu orang Melayu. Sebenarnya masih ramai lagi orang Melayu yang perlukan bantuan, sokongan dan dorongan.
Sokongan suami membuatkan saya lebih kuat untuk mengharungi dunia politik. Ramai juga wanita yang terbantut niat menceburi politik sebab tidak mendapat sokongan suami.
Saya berharap agar suami-suami lain boleh terima hakikat bahawa isterinya tiada niat lain semata-mata mahu membantu mereka yang memerlukan sokongan dan dorongan,” tutur Datuk Dira yang telah melangsungkan perkahwinan pada 21 Jun 2020 lalu.
Bahagia hidup bersama lima cahaya mata iaitu Tengku Anggun Deandra, 15 tahun dan Waris Iskandar, 4 tahun serta tiga orang anak suaminya hasil perkahwinan terdahulu, beliau terkadang berasa sedikit ‘cemburu’ dengan wanita lain yang bergelar ibu.
“Saya tak ada peluang tiap-tiap minggu duduk bersama anak-anak atau keluar jalan-jalan bersama. Tapi itu tidaklah bermakna saya lepas semua. Saya sentiasa akan cari masa untuk luangkan masa bersama keluarga,” ungkap Datuk Dira Abu Zahar yang menjadikan Jacinda Ardern dan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai sumber inspirasi pemimpin wanita berwibawa.
Penulis: Hamizatul Maizan
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan & Hijab Stylist: Bee Ramza
Busana: Ezuwan Ismail
Baca juga; Datuk Dira Abu Zahar Pegang Amanah Sebagai Wakil Rakyat
Anak Tukang Kebun Kini Jutawan Kosmetik, DATO’ ALHA Suka Kongsi Rezeki & Serba Boleh!

Tahniah Dato’ Alha Alfa yang menjadi penaja utama Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37)! Bukan calang-calang individu mampu menaja majlis berprestij seumpama itu. Yang pasti, kejayaan Dato’ Alha sebagai jutawan kosmetik menjadi inspirasi ramai.
Bermula dengan minat terhadap seni solekan dan kemudian menjadi makeup artist, Dato’Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau mesra di sapa Dato’ Alha Alfa mengusahakan lebih daripada satu outlet jenama Alha Alfa Cosmetics dan berstatus jutawan!
Ketika menjadi makeup artist lagi, karakter menyenangkan Dato’ Alha yang berdisiplin dan menepati masa dikagumi ramai. Biarpun semakin maju dalam berniaga dan berpangkat VIP namun peribadi Dato’ Alha tetap sama seperti dulu yang terkenal dengan sifat rendah diri.
Enggan mendabik dada dengan kurniaan rezeki yang diterimanya, Dato’ Alha dalam temu bual bersama Nona berkongsi sisi hidup sebelum berjaya. “Saya mula terlibat dengan dunia mekap ini ketika belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Waktu itu roommate saya pelajar fotografi. Jadi mereka ada tugasan untuk shoot model dan memerlukan makeup artist.
First mekap yang saya iaitu ekor burung merak di bahagian mata untuk final project roommate saya tadi. Alhamdulillah, gambar yang diambil berjaya masuk galeri UiTM dan menarik minat pensyarah.



Dari situ saya mula dapat networking dan mereka mula minta saya mekap. Memandangkan duit PTPTN yang saya dapat tak cukup untuk pengajian, saya terima kalau ada yang minta untuk mekap.
Waktu itu bapa kerja tukang kebun dan ibu pula cuma jaga anak orang. Bawah saya ada lagi dua adik dan kakak pun masih belajar di universiti. Sebagai anak kedua, saya rasa takut untuk susahkan ibu ayah dan minta duit daripada mereka.
Bila ada yang minta khidmat saya untuk mekap, memang saya mengaku takut letak harga sebab belum pernah buat. Jadi saya cuba letak harga RM30 je.”
Tambah pengasas Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd ini lagi, “Sejak tu, tiap hujung minggu saya dah ada job. Saya akan siapkan assignment awal-awal. Sudahnya duit mekap yang saya kumpul sampai boleh bagi dekat ibu ayah.
Dari situ saya nampak yang mekap ni boleh buat duit. Selain duit tu saya guna untuk tampung belajar, saya juga share dengan kawan-kawan yang susah.
Lama kelamaan, lecturer minta saya mekapkan penari UiTM Seri Iskandar untuk satu persembahan di UiTM Shah Alam. Bayangkan dari Perak saya perlu mekap berpuluh orang penari sebab bila mereka sampai je di Shah Alam, terus kena perform. Sampai Shah Alam saya terus muntah sebab mekap mereka sepanjang dalam bas.”





Tidak pernah mempelajari asas solekan mahupun mengikuti sebarang kelas mekap, Dato’ Alha bersyukur kerana dikurniakan Allah SWT bakat semula jadi. Selain berbakat dalam solekan, beliau juga ada bakat memasak, menghias dan buat kek. Pendek kata, macam-macam benda boleh buat.
Dedah Dato’ Alha yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hiasan Dalaman atau interior design, ilmu yang dipelajari sedikit sebanyak membantu dirinya dalam bidang solekan terutama melibatkan kombinasi sesuatu warna.
“Waktu belajar memang saya sukses. Setiap semester dapat Anugerah Dekan dan Best Student sampai berpeluang pergi ke Beijing.
Jenis saya, kalau dah minat memang akan buat betul-betul. Dulu tak terfikir langsung pun nak jadi usahawan kosmetik atau makeup artist. Dulu nak jadi landscaper sebab tengok ayah tukang kebun. Iyalah, masa tu masih muda dan saya cuma nampak macam mana nak bantu ayah cantikkan lagi landskap.”
Walau pada mulanya beliau cuba menyembunyikan kerjaya sebagai makeup artist daripada pengetahuan keluarga namun Dato’ Alha akur memaklumkan perkara tersebut kepada kedua-dua ibu bapa.
“Lepas dah tahu, mereka tak marah sebaliknya supportive. Kadang ibu tolong sediakan keperluan mekap. Ayah pula tolong campurkan warna-warna untuk hasilkan efek yang lebih real. Ayah pun ada darah seni dan banyak membantu.




Sepanjang saya belajar UiTM Perak, ayah baru jadi tukang kebun. Sampai saya dah jadi makeup artist pun masih lagi kerja tukang kebun. Dari dulu sampai sekarang kalau ada job mekap, memang saya praktikkan ambil sejumlah duit yang saya dapat dan ‘letak tepi’ untuk bagi ibu ayah.
Dalam fikiran saya, kalau ada job mekap mesti ada duit untuk parents aku. Kalau balik tak tinggalkan duit untuk mereka, baik tak payah balik. Sampai macam tu sekali.
Jadi mereka dah ada duit gaji tiap bulan. Saya juga pesan dekat kakak yang jaga company, tiap-tiap bulan mesti ada duit untuk ibu ayah. Yang buatkan saya lebih semangat pergi kerja, fikir kalau malas mak ayah aku tak ada duit. Memang saya lebihkan mereka sebab kami pernah hidup susah.”
Ditanya bagaimana terdetik idea untuk berniaga kosmetik, ini jawapan telus Dato’ Alha. “Dari dulu saya banyak promote produk orang. Sampai satu tahap dan sedar pengaruh yang saya ada, saya terfikir untuk keluarkan produk kosmetik sendiri.
Jadi saya pun pergi ke kilang dengan ditemani kakak dan abang ipar. Dulu kilang cuma setuju keluarkan produk minimum 10,000 unit dan buat R&D sendiri yang kos dia cecah RM50 ribu.



Dengar je macam tu, saya terus ajak kakak balik. Saya pula takut nak pinjam duit sebab takut berhutang. Selama bertahun-tahun kakak yang urus duit saya. Iyalah kakak sendiri, memang kita percaya tak terfikir dia tipu adik sendiri.
Tiap kali saya habis job mekap dan orang bank in duit ke kakak, dia akan terus bagi duit dekat saya. Memang saya tak persoal berapa saya dapat dan percaya dengan kakak selama bertahun.
Satu hari kami pergi ke kilang lagi dan pulang hampa sebab tak mampu keluarkan produk. Kakak tanya betul ke saya nak produk mekap ni. Sudahnya dia beritahu sepanjang bertahun jaga duit mekap saya, dia dah sorok dan simpan banyak duit yang saya ada sebenarnya sebab dia tak nak saya boros. Duit yang kakak simpan tu cukup untuk buat modal produk.
Kami jumpa balik dengan orang kilang dan terus buat. Seribu botol pertama yang keluar tu memang dah ada pembeli. Dari bungkus parcel sendiri dan kemudian keluarga kena tolong sampai beribu-ribu parcel kena urus, lama-lama kakak kata dah patut ada company.”
Perancangan Allah SWT untuk Dato’ Alha nyata tersusun indah. Berkat kerja keras, sikap beliau yang sering mengutamakan ibu bapa dan adik-beradik pastinya menjadi salah satu ‘resipi’ kejayaan beliau hari ini.
Tambahan pula, sikap dermawan Dato’ Alha yang suka membantu golongan susah tanpa mengira bangsa mahupun agama. Semoga perkongsian Dato’ Alha ini menjadi suntikan semangat dan inspirasi untuk berjaya.