Kenapa perlu timbul rasa malu? Sedangkan apa yang dilakukan Datin Arianie Mohd Abidin ini benda baik dan ‘bekalan’ untuknya kemudian hari. Lagipun mendalami ilmu Allah itu luas.. tiada had umur tertentu andai mahu mengikuti kelas agama mahupun mengaji. Bahkan, semuanya bergantung kepada niat dan hati. Sudahkah kita bersedia untuk berubah?
Seiring pertambahan usia dan niat untuk berubah ke arah kebaikan di samping mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, Datin Arianie tidak malu untuk mengaku yang dirinya sedang berusaha mendalami ilmu agama dan menyebut bacaan ayat suci Al-Quran dengan lebih sempurna. “Alhamdulillah, lebihan masa yang ada sekarang ini memudahkan saya mengikuti kelas mengaji di Paya Jaras setiap hari Jumaat. Bila tengok segala apa yang telah Allah kurniakan kepada saya dan keluarga walaupun tidak semewah orang lain, timbul rasa syukur dan risau jika amalan kita di dunia ini masih kurang.
Bila-bila masa saja Dia boleh ambil nyawa hambanya tapi sudah cukupkah amalan kita selama ini? Walaupun agak terlambat untuk menguasai Al-Quran tapi sekurang-kurangnya Dia menghantar ‘jentikan-jentikan’ halus seperti ini agar kita sentiasa mengingatiNya. Pentingnya kita kena selalu membaca Quran kerana amalan inilah yang akan kita bawa di dalam dunia yang abadi. Mungkin dulu kita lalai tapi sekarang kita sangat memerlukan semua ini,” pesannya penuh nasihat.
Seperti Datin Arianie, Datuk Hattan atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Shukri Shahabudin turut melalui fasa sama sebaik menginjak usia lewat 40an. Apatah lagi, sebaik mengerjakan ibadah haji pada Ogos lalu beliau semakin tertarik mendalami ilmu agama malah lagu-lagu yang dihasilkan juga kini lebih bersifat keagamaan. Dalam mencari kebahagiaan hakiki, Datuk Hattan tidak pernah alpa mendoakan kesejahteraan keluarga termasuk isteri dan anak tunggalnya, Adam.
Baca artikel berkaitan Demi Anak, Datin Arianie & Dato’ Hattan Sanggup Upah Ustaz Datang Ke Rumah! Enggan Anak Ketinggalan Dalami Ilmu Agama
“Saya pernah menyuarakan pendapat saya kepada isteri tentang pemakaian hijab. Dia menerimanya dengan hati terbuka dan saya selalu berpesan kepadanya lakukan perubahan tersebut dengan kerelaan hati dan dalam keadaan bersedia. Saya tidak mahu apabila sudah berhijrah, kembali dengan imej lama sebab desakan orang lain atau kerana fesyen semata-mata. Saya enggan ambil peduli dengan kata-kata sinis segelintir orang tentang isteri saya. Bagi saya, apa gunakan dia memakai tudung jika mahu memuaskan hati orang. Biar dia belajar dulu dan saya tengok dia pun sudah mula belajar hal-hal berkaitan agama. Alhamdulillah,” tutur Datuk Hattan dalam nada tenang.
Status Very Important Person (VIP) yang dibawa jelitawan ini sedikit pun tidak mengubah personaliti diri. Sejak pertama kali mengenali hingga sekarang, beliau masih individu sama yang berpegang pada resmi padi ‘makin berisi makin tunduk’.
Secara peribadinya, Datin Arianie mengakui status yang diterima itu bukan tiket untuk bermegah-megah jauh sekali untuk merendah-rendahkan martabat insan lain. Sebaliknya ia merupakan satu bentuk penghargaan yang diberikan kepada suaminya bagi mengenang pengorbanan jasa beliau dalam industri seni. Baik Datin Arianie mahupun Datuk Hattan, kedua-duanya lebih selesa menjalani hidup seperti insan biasa.
“Jujurnya sama saja kehidupan kami dulu dan kini tak ada beza. Ia sesuatu yang subjektif dan bergantung pada individu berkenaan untuk bawa diri mereka sendiri. Ada yang selesa bawa body guard ke mana saja mereka pergi tapi untuk kami, tidak perlu. Memegang gelaran datin, saya pilih untuk tidak terlalu menjaga sampai timbul rasa kurang senang di kalangan orang sekeliling. Cara saya, biar orang yang ada di sekitar kita rasa selesa dan tak mahu buatkan diri kita berada terlalu di atas sangat.”