Rezeki Nabila Razali diundang masuk istana jumpa Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid. Lima bulan mendirikan rumah tangga dan pertama kali sambut Aidilfitri sebagai isteri, pelantun lagu Pematah Hati ini akur beraya di kampung suami tercinta di Kelantan.
Sejak berkahwin, populariti Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali kian melonjak naik. Apatah lagi peminat mengagumi personaliti pasangan suami isteri tersebut yang romantis.
Lebih istimewa, lagu raya terbaharu dendangan Nabila iaitu Raya Mana semakin meniti di bibir pendengar dan viral di media sosial bersempena lebaran tahun ini.
Tampil berbusana sedondon navy blue di samping suami, isteri Nir Iruwan ini menitipkan ucapan Hari Raya buat peminat tersayang.
“Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H kepada seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada. Semoga kehadiran Syawal ini membawa keberkatan kepada kita semua.”
Pertama kali rai Hari Raya di negeri Che Siti Wan Kembang, Nabila bagaimana pun teruja dapat bertemu keluarga mentua, sanak saudara dan peminat di sana. Selain dapat menikmati pelbagai juadah tradisi masyarakat di Kelantan ketika musim perayaan.
Namun paling mencuri tumpuan apabila Nik Iruwan dan Nabila Razali jumpa DYMM Tengku Anis dan diundang masuk ke Istana Kota Lama. Turut kelihatan ialah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Momen cukup bermakna dan bukan calang-calang orang diberi peluang sedemikian.
Dalam pertemuan itu, Nabila mengenakan persalinan klasik rona putih ilham Tym Fatimah dan bertudung polos warna biru.
Sepanjang berada di sana, dia turut merasai sajian Kelantan antaranya Nasi Dagang, Singgang Gearbox, Maggi Ketam dan kuih tradisi, Akok.
Nabila sah bergelar isteri Nik Iruwan pada 18 November 2023.
Jangan Keluar Rumah Tanpa SUNBLOCK! 3 Doktor Wanita Ini Beri Tip Capai Impian Cantik
Kecantikan sememangnya agak subjektif untuk diperkatakan. Setiap wanita mahupun lelaki pastinya mahu kelihatan cantik dan bergaya demi meningkatkan keyakinan diri terutamanya ketika berada di khalayak umum. Penjagaan wajah dan tubuh menggunakan bahan semula jadi sememangnya membantu proses kecantikan tetapi umum sedia maklum ia mengambil sedikit masa berbanding penggunaan kaedah rawatan moden yang lebih dikenali sebagai medispa.
Tampil cantik dan memilih kaedah rawatan medispa sebagai gaya hidup, tiga orang doktor kecantikan ini gembira membantu wanita mahupun lelaki mengecap impian mereka terutamanya menjelang Aidilfitri.
PENJAGAAN KULIT SATU KEPERLUAN
Nama: Dr Ismaliza Ismail
Umur: 37 tahun
Pekerjaan: Doktor Kecantikan dan Anti Penuaan
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Ismaliza: Kecantikan dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Wanita kini sudah semakin bijak untuk mendapatkan rawatan kecantikan dari mereka yang bertauliah. Jadi seandainya mereka mempunyai soalan mengenai produk dan kulit, mereka boleh berjumpa dengan orang yang sebetulnya, iaitu doktor yang mempunyai tauliah dalam bidang kecantikan.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, definisi cantik adalah kesempurnaan dari aspek luaran mahupun dalaman. Kita perlu menjaga kecantikan yang bermula dari dalaman iaitu sihat tubuh badan, barulah kesihatan luaran itu terserlah. Selain itu bukan sahaja kesihatan jasmani tetapi juga dari rohani. Aura positif dan fikiran yang selalu ke arah kebaikan. Itu sebenarnya cantik.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, wanita kini lebih bijak. Mereka tahu apa yang mereka perlu dan apa yang mereka tidak perlu. Dengan kecanggihan teknologi masa sekarang, wanita kini makin bijak untuk mendapatkan produk produk kecantikan untuk diri mereka dan servis kecantikkan untuk kulit mereka terutama menjelang musim perayaan. Wanita masa kini hanya perlu bijak dan mempunyai satu hala tuju dimana mendapat kulit yang sihat adalah satu kecantikan yang terkini. Jadi saya rasa, kecantikan dan wanita pada masa kini lebih sinonim kerana mereka akan mengkaji sesuatu perkara itu terlebih dahulu. Bila ada pertubuhan medispa pada masa sekarang, ia merupakan bonus lagi untuk mereka mendapatkan khidmat kepada mereka yang bertauliah.
4..Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Ismaliza: Bagi saya untuk menggalakkan wanita menjaga penampilan diri adalah bermula dari pendidikan bila kita serapkan pendidikan seawal usia kanak-kanak, kerana mereka sudah mempunyai stigma untuk menjaga kecantikan kulit kerana penjagaan kulit ini merupakan satu amalan yang bukan perlu dibuat buat dan bukan mengikut trend. Penjagaan kulit adalah kemestian bagi setiap orang kerana kulit adalah organ dan kulit juga perlu dijaga seperti kulit kulit yang lain. Tanpa kulit kita sebenarnya tak boleh hidup sebab kulit sebenarnya adalah perlindungan kepada tubuh badan kita. Jadi untuk menggalakkan golongan wanita menjaga kecantikkan kulit, kita perlu memberi informasi informasi yang tepat dan betul dan semua ini patut bermula dari awal lagi.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Ismaliza:Untuk penjagaan rutin, bagi pendapat saya ada lima perkara yang perlu kita tahu. Yang pertama, untuk penjagaan dalaman pastikan cukup vitamin cukup air. Kedua, penjagaan luaran pastikan mengunakan pencuci muka yang betul mengikut keadaan kulit dan seterusnya adalah pelembab muka ataupun serum dan yang terakhir adalah sunblock .
KECANTIKAN DAN KESIHATAN SEIRING
Nama: Dr Nurfitri Putrianti
Umur: 32 tahun
Pekerjaan: Pegawai Perubatan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Nurfitri:Wanita masa kini lebih prihatin soal penjagaan kulit. Mereka lebih memahami jenis kulit dan mencari jalan terbaik untuk rawatan yang selamat bagi mereka. Mereka bijak mencari maklumat mengenai proses yang terjadi pada kulit mereka selama rawatan berlangsung. Pengetahuan tentang rawatan kulit perlu diberi perhatian bagi memahami lebih lagi mengenai permasalah kulit.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Nurfitri:Suami saya pernah memetik sebuah ungkapan yang selalu saya ingat sampai sekarang, ‘Beauty is in the eye of the beholder’. Maksudnya persepsi orang terhadap kecantikan ialah berbeza tergantung dari mata siapa yang memandang. Bagi saya semua orang memiliki kecantikan tersendiri, namun tidak semua orang boleh menghargai kecantikan dalam diri masing-masing. Yang penting ialah ‘self content‘ dan sentiasa berfikiran positif.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Nurfitri: Saya rasa wanita masa kini semakin mamahami konsep pentingnya penjagaan kesihatan kulit. Mereka tidak tergesa-gesa dan lebih bijak dalam memilih apa yang baik dan apa yang tidak. Mereka tidak hanya menginginkan kecantikan semata-mata, tapi juga kesihatan kulit mereka. Sebab itulah ramai wanita masa kini yang mencari khidmat medispa untuk mendapatkan rawatan yang profesional.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Nurfitri: Penjagaan kesihatan kulit sebaiknya dimulai sejak kecil. Kita mesti memahami bahawa kulit adalah organ terbesar manusia yang mesti dijaga juga sama halnya dengan organ yang lain. Ia yang akan melindungi kita dari radiasi cahaya matahari, pencemaran, dan kuman. Ia juga akan membantu kita untuk mengatur kadar suhu dalam tubuh. Serta memberi kita kecantikan fizikal. Oleh itu, kita semestinya menjaga ia sebaik mungkin kerana ianya amat penting.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Nurfitri: Sunblock. Jangan sesekali mulakan hari anda tanpa sunblock. Sentiasa terapkan dalam fikiran untuk tampil sihat sebelum tampil cantik.
KEPENTINGAN TAMPIL CANTIK
Nama: Dr. Noor Syazwani Bt Redzwan
Umur: 30 tahun
Pekerjaan: Pakar Kecantikan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Noor Syazwani: Bagi saya ianya adalah sangat penting bagi seseorang wanita untuk memperkasakan diri. Sesibuk mana pun seseorang itu, dia tidak sepatutnya mengabaikan penampilan dan kesihatan mereka.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Noor Syazwani: Yakin dengan diri sendiri. Bagi saya seseorang yang mempunyai keyakinan diri akan sentiasa kelihatan cantik. Tetapi untuk mendapatkan keyakinan diri itu, kita haruslah menjaga kesihatan badan dan kulit. Masyarakat kita amat taksub untuk menjadikan kulit mereka putih. Proses ‘bleaching’ yang disebabkan oleh bahan kimia seperti hydroquinone dan merkuri akan merosakkan kulit dan boleh menyebabkan kanser kulit dan kegagalan fungsi hati dan buah pinggang. Harus diingat bahawa kecantikan tidak mengenal warna.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Ramai yang sudah tahu mengenai kepentingannya, namun kekangan masa dan kewangan menjadi faktor yang menghalang mereka.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Kita harus membuatkan mereka sedar bahawasanya penampilan diri itu bukanlah untuk ditonton oleh orang tetapi untuk kepuasan diri sendiri. Seperti yang saya katakan tadi, kecantikan diri seseorang terletak pada keyakinan dirinya. Jadi, lakukannya untuk diri anda sendiri, bukan untuk orang lain!
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Noor Syazwani: Semestinya sunblock! Ramai yang masih mengambil remeh penggunaan sunblock. Harus diingatkan sinaran UV adalah tidak sihat untuk kulit. Sinaran UV lah yang merosakkan kolagen, menyebabkan pigmentasi dan ini akan membuatkan anda kelihatan tua sebelum usia (premature aging). Antara rahsia kecantikan dikalangan doktor estetik sebenarnya ialah sunblock. Ia adalah perkara yang terbaik yang boleh anda berikan khusus buat kulit anda. Adalah sia-sia jika anda menggunakan seluruh set anti penuaan, tetapi tidak menggunakan sunblock, kerana penyebab utama penuaan kulit adalah matahari. Jadi, lindungilah kulit anda dengan menggunakan physical sunblock dan oral sunblock
Jelita Usia 49 & Tuah Wajah ‘Baby Face’, Awet Mudanya Ibu Janna Nick!
Patutlah Janna Nick cantik, rupa-rupanya mewarisi gen jelita ibu dia! Tak sangka ibu Janna Nick ini sebenarnya sudah pun menghampiri usia 50 tahun. Tengok penampilan ibu berkenaan pasti ramai tak sangka umur sebenar sebab ‘maintain’ menawan dan awet muda!
Apatah lagi dia memiliki raut wajah baby face. Kalau orang tak tahu, mesti ada yang sangka ibu Janna ini kakaknya.
14 Januari lepas merupakan ulang tahun kelahiran ibu Janna Nick iaitu Shahzani yang ke-49. Mesra dikenali sebagai Mama Scha, dia ialah ibu kepada empat cahaya mata.
Sebelum Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner bergelar isteri kepada pelakon kacak, Muhamad Dini Azan Schatzmann, kelibat ibu penyayang ini sering dilihat menemani anak kedua tersebut ke mana saja.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/disolek-mua-popular-thailand-solekan-glass-skin-janna-nick-level-international-cantik/
Artikel lain https://www.nona.my/besarnya-rumah-baru-janna-nick-tengah-ubah-suai-umur-belum-30-tahun-dah-ada-aset-mewah/
Kasih Janna juga terhadap ibu tersayang cukup mendalam, Pelantun lagu Gatal berkenaan sebelum ini pernah menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada Mama Scha sempena hari lahir ratu hatinya.
Difahamkan ibu Janna berpisah dengan bapa mereka, Muner Abdullah ketika dia baru berusia sembilan tahun.
Dalam hantaran Janna di media sosialnya sebelum ini, aktres berbakat besar tersebut pernah meluahkan rasa penghargaan dan syukur dengan pengorbanan ibu.
“Thank you jadi mak dan ayah untuk kami. Thanks sebab dah susah-payah kerja, cari duit untuk besarkan angah.
Dah besar degil pulak anak mak ni. Sekarang walau pun mak tak pernah minta apa-apa. Walaupun mak yang paling jimat, tak suka barang branded, tak suka shopping.
Tapi angah tetap nak bagi, sebab angah nampak dan ingat segala pengorbanan dan kepayahan mak yang tak mungkin terbalas dengan wang ringgit dan harta dunia.
Kekasih boleh pergi, tapi seorang mak tak mungkin ada ganti. Love you!”
Janna Nick mula berkecimpung dalam industri seni seawal usia 16 tahun. Dalam temu bual bersama Janna sebelum ini, dia memberitahu, “Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga.
Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ia merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.”
Miliki Rambut Sihat Macam MIRANDA KERR, Model Victoria’s Secret Ini Amal Cuka Epal!
Di sebalik penggunaannya yang meluas dalam bidang kulinari, cuka epal juga bertindak sebagai ‘ejen’ kecantikan buat para wanita terutama di luar negara.
Pendek kata, dari hujung rambut ke hujung kaki, semua masalah boleh dirawat dengan mudah dan cepat. Tak percaya? Boleh mula mencuba kuasa magis cuka epal hari ini.
Salah seorang selebriti Hollywood yang menjadi igauan lelaki dan dicemburui para wanita, Megan Fox sendiri mengakui dia mengamalkan cuka epal atau Apple Cider Vinegar (ACV) sebagai salah satu daripada rutin kesihatan dan kecantikan hariannya.
Malah, dia percaya ACV sangat membantu mengurangkan lebihan air dan gula dalam badan sekaligus mengekalkan berat badan ideal.
Selain Megan Fox, Miranda Kerr juga tidak ketinggalan merebut manfaat ACV untuk kesihatan rambut. Walaupun dilihat agak ketinggalan zaman dan mengeluarkan bau kurang enak saat mencuci rambut, namun model Victoria’s Secret ini tetap menggunakan ACV.
Begitu juga Scarlett Johansson yang kerap menggunakan ACV sebagai penyegar wajah yang menjadikan wajahnya sering tampak awet muda.
Khasiat Cuka Epal
Tidak dinafikan sebotol cuka epal mengandungi pelbagai keperluan tubuh badan. Sesudu cuka epal sehari berupaya menyingkirkan asid refluks iaitu asid perut yang terjadi disebabkan masalah penghadaman.
Bukan itu saja, cuka epal juga baik untuk meredakan jerawat, membersihkan berus mekap termasuk kesihatan kaki.
(a) Spa kaki
Ada segelintir wanita yang mudah mengalami masalah kaki berbau dan agak sukar untuk menyingkirkan bau kurang menyenangkan itu terutama apabila berada bersama rakan-rakan.
Untuk meneutralkan kembali bau tersebut, rendam kaki di dalam bekas berisi air suam yang telah dilarutkan dengan ¼ cawan cuka epal. Ia juga baik untuk menghalang jangkitan kulat pada kaki seperti ketuat, kutil dan sebagainya.
(b) Mengawal pembentukan jerawat
Wanita yang baru meningkat usia dan ditambah pula dengan beban tugas yang kian banyak memang terdedah dengan jerawat. Halang pembentukan jerawat daripada hinggap ke kulit wajah dengan bantuan cuka epal.
Campurkan suku air bersama sesudu cuka epal dan kacau sebelum dioles ke wajah dengan menggunakan kapas pembersih muka. Biarkan selama 10 minit sebelum mencuci wajah.
(c) Menguatkan kesihatan rambut
Kandungan asid asetik yang ada dalam cuka epal memberi keseimbangan kepada pH rambut selain membersihkan kulit kepala.
Miliki rambut sihat dan lebat secara semula jadi dengan melarutkan 1/3 cawan cuka epal bersama empat cawan air kemudian diurut lembut ke rambut selepas selesai mencuci seperti biasa.
Biarkan selama 10 minit dengan menutupnya menggunakan shower cap dan bilas menggunakan air dingin agar rambut lebih bersinar.
(d) Memutihkan gigi
Selain menanggalkan kesan kopi di fabrik, cuka epal juga digunakan untuk mengurangkan kesan berkenaan yang terlekat di gigi anda. Namun, usah mengharapkan kesan yang sama seperti membuat rawatan pemutihan di klinik pergigian.
Apa yang penting, kebersihan gigi terpelihara dan bebas kotoran. Caranya, campurkan sedikit soda penaik bersama cuka epal kemudian berus dan cuci bersih.
(e) Membersihkan berus mekap
Di luar negara, cuka epal juga digunakan untuk membersih peralatan kosmetik termasuk berus mekap. Tompokan bedak, lipstik dan pembayang mata yang sukar ditanggalkan pada berus mekap boleh dibersihkan dengan selamat dan mudah dengan menggunakan cuka epal.
Ambil satu sudu makan cuka epal dan larutkan di dalam air suam sebelum diperah bersama separuh biji lemon. Masukkan berus mekap ke dalam bekas tadi dan kacau hingga bersih.