Rezeki Nabila Razali diundang masuk istana jumpa Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid. Lima bulan mendirikan rumah tangga dan pertama kali sambut Aidilfitri sebagai isteri, pelantun lagu Pematah Hati ini akur beraya di kampung suami tercinta di Kelantan.
Sejak berkahwin, populariti Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali kian melonjak naik. Apatah lagi peminat mengagumi personaliti pasangan suami isteri tersebut yang romantis.
Lebih istimewa, lagu raya terbaharu dendangan Nabila iaitu Raya Mana semakin meniti di bibir pendengar dan viral di media sosial bersempena lebaran tahun ini.
Tampil berbusana sedondon navy blue di samping suami, isteri Nir Iruwan ini menitipkan ucapan Hari Raya buat peminat tersayang.
“Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H kepada seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada. Semoga kehadiran Syawal ini membawa keberkatan kepada kita semua.”
Pertama kali rai Hari Raya di negeri Che Siti Wan Kembang, Nabila bagaimana pun teruja dapat bertemu keluarga mentua, sanak saudara dan peminat di sana. Selain dapat menikmati pelbagai juadah tradisi masyarakat di Kelantan ketika musim perayaan.
Namun paling mencuri tumpuan apabila Nik Iruwan dan Nabila Razali jumpa DYMM Tengku Anis dan diundang masuk ke Istana Kota Lama. Turut kelihatan ialah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Momen cukup bermakna dan bukan calang-calang orang diberi peluang sedemikian.
Dalam pertemuan itu, Nabila mengenakan persalinan klasik rona putih ilham Tym Fatimah dan bertudung polos warna biru.
Sepanjang berada di sana, dia turut merasai sajian Kelantan antaranya Nasi Dagang, Singgang Gearbox, Maggi Ketam dan kuih tradisi, Akok.
Nabila sah bergelar isteri Nik Iruwan pada 18 November 2023.
This website uses cookies.