Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 64 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini. Menggalas tugas sebagai isteri kepada Perdana Menteri dan juga ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Siapakah Tun Dr Mahathir Mohamad dari perspektif wanita yang berusia 93 tahun ini. Berikut adalah kata-kata indah yang tersusun keluar dari mulutnya bercerita tentang suami kesayangan kepada Majalah Nona.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya,” kongsi Tun Hasmah tentang suaminya yang pendiam dan boleh berubah menjadi seorang yang humor.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mesti akan dirapikan jika ada yang tak kena, agar nampak lebih natural,” bicara Tun Hasmah tentang sikap suami yang sangat cerewet tentang penampilannya.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Hasmah tentang sifat suaminya yang teliti tentang soal pakaian dan gemar bersut nehru atau bush jacket.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang orang ramai berjumpa dengannya,” kongsi Tun Hasmah yang tak pernah jemu menyokong suaminya.
“Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layankan dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” ujar Tun Hasmah menjawab persoalan rasa cemburu dengan suami sendiri.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan malah, pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” kongsi Tun Hasmah yang menggambarkan cinta sejati masih wujud.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah SWT jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya, ” tutur Tun Hasmah tentang suaminya yang tak tahu erti penat.
“Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya ilham yang Allah SWT selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Hasmah tentang suaminya.