Bulan Oktober merupakan bulan kesedaran kanser payudara. Sebagaimana yang diketahui kanser payudara ini merupakan pembunuh nombor satu kaum wanita. Ketika ini ramai wanita yang sudah mula melakukan langkah pencegahan seperti membuat pemeriksaan berkala dan pemeriksaan sendiri payudara (PSP). PSP penting untuk mengetahui sebarang perubahan pada payudara.
Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah berkongsi pengalamannya sendiri berjuang melawan kanser payudara. Perkongsian wanita yang berusia 94 tahun ini melalui uacapannya sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Rupanya Tun Dr Siti Hasmah mula menyedari perubahan pada dirinya sekitar bulan Mac 2019 lagi. Kongsinya, “Apabila saya berasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, doktor sahkan saya mempunyai ketumbuhan kecil namun alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil,” kongsi Tun Hasmah.
Tindakan yang dilakukan oleh Tun Hasmah ini bertepatan dengan saranan doktor agar tidak melengahkan masa untuk mendapatkan pandangan atau rawatan daripada mereka yang pakar jika terdapat sebarang perubahan pada diri.
Walau bagaimanapun Tun Hasmah telah merahsiakan tentang ‘perubahan dirinya’ daripada suami, Tun Mahathir. Tetapi, akhirnya memberitahu Tun Mahathir setelah mendapat keputusan biopsi.
“Apabila dia (Tun Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya,” kongsi Tun Hasmah tentang keputusan biopsi tersebut mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya itu adalah kanser.
“Saya masuk wad selama empat hari selepas itu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan dan keesokan harinya saya boleh keluar daripada wad dan kini saya menjadi pejuang yang berjuang untuk melawan kanser,” kongsi Tun Hasmah.
“I‘m a survivor,” kata Tun Hasmah.
Tun Hasmah turut menasihatkan setiap wanita agar sentiasa peka dengan perubahan diri serta melakukan saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara. Setiap wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terutama pemeriksaan payudara.
*Pemakaian bra yang betul sangat penting untuk kesihatan wanita.
Sumber: Sinar Harian
This website uses cookies.