Imaginasi Alam Dalam Suasana Malam Di DREAM FOREST LANGKAWI. Hutan Malaysia Penuh Khazanah Memukau!

Dream Forest Langkawi, sebuah pusat tarikan pelancongan baharu di Langkawi  menawarkan pengalaman menakjubkan dengan keajaiban teknologi pelbagai deria, unjuran peta, pencahayaan canggih dan skop bunyi yang memukau kepada pengunjung.

Membuka pintu kepada pengunjung pada 1 Mei 2023, tarikan ini didatangkan dengan pengubahsuaian denai jalan santai 1.2 kilometer dalam hutan prasejarah berusia ratusan juta tahun.

Baru-baru ini, Editor NONA, Norzalina Mohd Alias dan Wartawan NONA, Rosmah Idayu Abu Samah berpeluang merasai sendiri pengembaraan interaktif di Dream Forest Langkawi atas undangan Puan Sri Tiara Jacquelina melalui Enfiniti Interactive Xperiences. Lebih istimewa, kami telah diterbangkan khas oleh MYAirline ke Langkawi, Kedah dan menginap di DASH Resort Hotel, Langkawi.

Diilhamkan serta dibangunkan oleh penggiat seni kreatif tersohor, Puan Sri Tiara Jacquelina, Presiden dan Ketua Pencipta Impian Kumpulan Enfiniti,  Dream Forest Langkawi terdiri daripada bakat terbaik dalam dunia kreatif, teknikal dan pembinaan untuk menghidupkan konsep unik. Lebih membanggakan, kebanyakan individu yang terlibat merupakan bakat anak tempatan!

Pengembaraan bermula sebaik sahaja matahari terbenam dan persekitaran hutan dihidupkan dengan kisah Lagenda seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Gergasi Langkawi, pasti menambat hati semua tanpa mengira lapisan umur.

“Dream Forest Langkawi merupakan salah satu projek Group Enfiniti yang diberhentikan disebabkan wabak covid-19. Mula dibangunkan pada tahun 2019, projek ini pada asalnya dirangka menggunakan format berbeza dengan pengasingan beberapa kisah yang diceritakan melalui pelbagai medium teknologi di astaka yang berlainan. Projek ini dijalankan sebagai sebahagian rancangan untuk membangunkan semula Kampung Buku (Perkampungan Buku) Langkawi.”

“Tambahan, persekitaran perkampungan yang mempersonakan turut membuahkan rancangan bagi pihak kami untuk melakukan persembahan malam di teater luar,” ujar Puan Sri Tiara.

Dream Forest Langkawimendapat sokongan daripada pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan seperti Tourism Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan TERAJU (Unit Pemandu Agenda Bumiputera).

Keajaiban Dream Forest Langkawi melangkaui pengembaraan yang menakjubkan dan dibina khusus untuk meningkatkan industri pelancongan tempatan. Sesuai bagi semua peringkat umur, tarikan ini juga membantu meningkatkan ekonomi tempatan melalui pekerjaan, memperkayakan masyarakat tempatan melalui latihan dan pemindahan teknologi, serta mewujudkan peluang perniagaan.

Dream Forest Langkawi juga  bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan pelancongan termasuk Tourism Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan persatuan pelancongan seperti Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Pelancongan Masuk Malaysia (MITA), syarikat penerbangan, ejen pelancongan (OTA) dan saluran pengedaran lain di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dream Forest terletak di kaki Gunung Raya. Pada siang hari, pengunjung boleh bersiar sambil menikmati alam semulajadi dan bertemu haiwan unik seperti lemur terbang sunda, monyet daun kehitaman, kodok Sumatera serta beberapa spesis burung enggang yang menjadikan hutan Lubuk Semilang sebagai rumah mereka.

Gabungan memikat semangat kreatif, inovasi teknologi dan warisan semula jadi, Dream Forest adalah pengalaman pertama seumpamanya di Malaysia. Sediakan diri anda untuk perjalanan yang benar-benar ajaib.KAmi sudah merasai pengalaman tersebut, anda pula, bagaimana?

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu