Nabila Huda sememangnya terkenal dengan versatiliti serta aura tersendiri. Anak kepada penyanyi legenda Amy Search itu sememangnya handal dalam lakonan malah sudah meletakkan dirinya setanding bintang-bintang bertaraf legenda lain.
Melihat dari kejayaan Nabila Huda menjadi seorang pelakon yang cukupn dihormati, padanlah ia turut menjadi impian satu-satunya anaknya, Kesha Laila, 13, yang khabarnya berhasrat mengikut jejaknya bergelar pelakon.
Menurut sumber Harian Metro, dia tidak menghalang Keisha dan akan menyokong kehendaknya kerana itu adalah impiannya pada masa ini.
“Mungkin sekarang dia nak jadi seorang pelakon. Tapi apabila dah besar dia akan cuba benda lain. Saya tak kisah apa-apapun yang dia buat, saya tetap akan sokong dia. Cuma saya cakap dengan dia, habiskan sekolah dulu. Selesaikan apa yang patut. Jika kamu berbakat, bila-bila masa saja kamu akan jadi pelakon. Jangan bimbang fasal itu.
Nabila turut mendedakan anaknya banyak menghabiskan masa mendalami bidang lakonan apabila cuti sekolah.
“Dia selalu ikut saya ke shooting. Dia mula belajar aspek sudut kamera, belajar macam mana masa shooting, sediakan baju dan konti semua dia dah tahu. Sebagai emak saya selalu bagi dia semangat serta sokongan dan saya akan tetap jadi penyokong nombor satu sebab kita tak perlu nak menghalang apa anak kita nak buat.
“Biarkan dia buat apa yang dia nak tapi dibawah kawalan kita. Jadi kita tahu apa yang dia suka. Dari sekaranglah kita mula nak kena bendung dia nak kena tengok bakat apa yang dia ada dekat dia,” katanya.
Semestinya, mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi bukan. Jika dilentur dengan betul. NONA percaya Kesha juga akan menjadi pelakon sehebat bondanya!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Nak Buat AZAM Bukan Tunggu Awal Tahun Je, Bila-Bila Pun Boleh! Yang Penting NIAT
Semua dari kita menyemai azam baik-baik belaka yang menunjukkan niat mahu berubah daripada negatif kepada positif. Seronoknya kita memasang azam sehingga kita terlupa bahawa sebenarnya kita tidak perlu menunggu tahun baru untuk membuat azam.
Hakikatnya, kita boleh membuat azam baru pada setiap ketika dan setiap saat. Kita ada 365 hari setahun, oleh itu jika ingin menjadi orang berjaya, tidak perlu menunggu tahun baru. Namun begitu memulakan azam baru pada tahun baru juga tidak salah. Bak kata orang, lebih baik lewat daripada tiada langsung!
Azam adalah semangat semangat dan motivasi dalaman yang akan mendorong seseorang melakukan sesuatu sehingga berjaya. Oleh itu, azam mesti diiringi semangat, matlamat jangka pendek dan jangka panjang, juga kesungguhan yang menggerakkan kita melakukan sesuatu.
Umpamanya kita ingin berjaya dalam perniagaan dan mensasarkan pendapatan RM3 juta sebulan. Untuk mencapai sasaran itu, kita haruslah berusaha setiap hari – cari pasaran, cari pelanggan dan segala yang lain. Mungkin juga kita belum boleh mencapai RM3 juta tetapi sekadar RM1.5 juta dalam jangka masa tertentu, tetapi yang utama, usaha gigih tetap perlu dipertingkatkan.
Apabila berbicara tentang azam, ada beberapa perkara yang boleh kita fikirkan untuk memastikan azam tidak sekadar tinggal azam.
1.Azam tanpa usaha
Ramai yang berazam tetapi tidak diiringi usaha. Sekadar berkata, “Sempena tahun baru, aku hendak berubah” tetapi dia tetap begitu juga. Oleh itu, yang penting azam hendaklah disertai tindakan dan tidak cukup kata-kata yang terlafaz di mulut.
Azam yang sekadar di mulut (hanya cakap) biasanya tidak sampai ke mana-mana. Jika ingin berjaya, seseorang itu harus ada tindakan dalam bidang yang diusahakan. Azam dalam apa jua urusan, termasuk ibadat – mahu berhenti berjudi, tidak mahu tinggal solat – harus diusahakan bersungguh-sungguh. Malangnya, ramai yang berazam tidak mahu tinggal solat, tetapi masih bangun lewat dan tidak bersungguh.
2. Azam bermatlamat
Untuk merealisasikan azam, seseorang mestilah menetapkan matlamat. Ibarat bermain bola sepak, bola mesti dibawa ke palang gol kerana di sana ada kemenangan dan ganjaran menunggu. Disebabkan itu, selain sasaran, azam harus punya ganjaran atau imbuhan.
Katakan kita sasar mahu mendapat RM200,000. Maka kita akan bekerja keras untuk dapatkannya. Orang yang bekerja dan punya sasaran akan berjaya. Tetapi jika tiada sasaran, dia akan bekerja sahaja dan kemudian berhenti kerana tiada matlamat akhir.
Rezeki tidak datang bergolek kecuali selepas berusaha. Keluarlah dari paradigma atau kepercayaan lama, termasuklah “tahun lepas berazam tapi tak tercapai juga!” Tanggapan itu menyebabkan kita selalunya malas hendak memasang azam lagi.
Tanggapan begini merupakan kepercayaan lama yang kita anggap betul. Maka sekarang, tiba masanya untuk kita sanggah kepercayaan lama itu. Itu juga sebenarnya yang diamalkan orang-orang yang berjaya.
3.Azam diiringi doa
Bagi Muslim, perkara yang tidak harus ditinggalkan adalah berdoa. Solat lima waktu (sebaik-baiknya solat jemaah) boleh jadi motivasi terbaik dengan disertai doa. Sekadar menadah tangan berdoa tetapi tidak pernah bersolat atau tidak menjaga solat, maka usaha belum memadai.
Sebagai Muslim, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa ibadah dan doa akan menyumbang pada kejayaan, motivasi dan sumber inspirasi. Ini kerana apabila kita bersolat dan berdoa, bermakna kita ‘mengadu’ pada Yang Maha Pencipta. Itu suatu motivasi yang tiada pada bukan Islam. Ia senjata orang Islam tetapi mengapa harus kita tinggalkan?
Selain itu, amalan berpuasa juga boleh jadi motivasi ke arah merealisasikan azam. Puasa biasanya meletihkan tetapi ramai di kalangan orang Islam yang berpuasa masih bertenaga melaksanakan kerja. Ini menunjukkan bahawa puasa itu memberikan suatu kekuatan dalaman yang tersendiri.
Begitu juga amalan solat malam, nampak sukar untuk dilaksanakan tetapi jika berjaya lakukan, akan jadi motivasi yang baik. Malah Rasulullah juga pernah memperingatkan bahawa tidak ramai yang boleh melakukan solat malam dan sesiapa yang melaksanakannya, adalah orang yang disukai Rasulullah.
Amalan bersedekah dan sikap suka memudahkan kerja orang lain juga menjadi penggerak pada kekuatan diri. Jika orang meminta bantuan, maka permudahkan mereka, berilah khidmat nasihat yang perlu. Itulah yang seharusnya dilakukan pemimpin supaya mempermudahkan rakyat yang dijaga atau ketua yang memberi kegembiraan pada anak buahnya.
4. Ukur pencapaian
Bagaimana hendak mengukur pencapaian azam? Dalam hal ini, pencapaian merujuk kepada kepuasan yang akan kita rasakan selepas sesuatu azam terlaksana. Ia mungkin dirasai di peringkat dalaman atau boleh jadi kepuasan luaran (material), malah mungkin boleh mencapai kedua-duanya.
Umpamanya, seseorang berazam hendak menabung dan apabila sampai masanya, dia dapat melihat jumlah wang dalam akaunnya sendiri. Rasa puas itu boleh jadi kepuasan fizikal (melihat jumlah wang yang banyak) dan selain hati yang riang (puas dalaman) kerana dia beroleh wang itu dengan cara halal dan betul.
Namun ada juga yang banyak duit tetapi hatinya tidak senang, mungkin kerana dia beroleh itu semua dengan cara mengambil hak orang dan menyebabkan orang lain susah serta sebagainya.
5. Lakukan penilaian setiap hari
Islam mengajar supaya umatnya selalu menilai diri setiap hari. Galakan Islam bahawa “esok lebih baik daripada hari ini” sebenarnya merupakan satu bentuk azam yang harus diamalkan. Sebagai seorang Muslim, kita digalakkan untuk menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari dari segi amalan, pencapaian harta benda dan sebagainya.
Azam adalah usaha yang bersifat individu. Bermakna hanya individu berkenaan yang boleh menolong dirinya sendiri. Ibarat orang yang memandu kereta, dia mesti tahu ke mana hendak dibawa keretanya. Begitulah azam, kerana azam itu akan ‘memandu’ diri ke jalan yang mahu dituju.
Hayatilah surah Al-Fatihah: 5 yang bermaksud, “Tunjukkan kami jalan yang lurus…” yang merupakan panduan yang diberikan Islam. Malah ayat ini boleh menjadi kefahaman azam yang mesti diberikan pada orang Islam
Begitu juga frasa dalam azan – “hayya ala falah” (marilah menuju kejayaan), merupakan contoh terbaik ke arah menyemai azam. Namun ramai yang tidak menghayati dan kurang memberi tumpuan mengenai hal ini.
Contohilah Rasulullah yang berhijrah dari Mekah ke Madinah dengan azam baru untuk mewujudkan negara Islam – antaranya dengan membentuk perlembagaan dan membuat segala perubahan – sehingga akhirnya berjaya melahirkan ramai korporat Muslim seperti Abd Rahman Auf, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan.
Enam Langkah Praktikal Baharui Motivasi
Sebagai manusia, kita selalu gagal mengekalkan motivasi sehingga menyebabkan azam sukar direalisasikan. Ramai yang memasang azam tetapi kerana motivasi mudah layu dan mati, maka azam juga turut berkubur. Motivasi sebenarnya adalah suatu unsur yang ‘hidup’ tetapi kita tidak tahu bahawa ia hidup. Ada beberapa langkah untuk perbaharui motivasi iaitu:
- Bersahabat dan banyak berkomunikasi dengan orang yang bermotivasi tinggi atau orang yang sudah berjaya. Seseorang yang hendak berjaya dalam bidang kewartawanan contohnya hendaklah mencari orang yang telah berjaya dalam bidang ini. Yang ingin berjinak dalam dunia niaga hendaklah mencari mentor di kalangan ahli perniagaan yang sudah cemerlang.
- Mempunyai role model yang boleh dijadikan idola. Seorang adik umpamanya boleh menjadikan abang atau kakaknya sebagai idola. Dalam masyarakat atau organisasi umpamanya, pemimpin atau ketua akan jadi contoh pada anak-anak buahnya.
- Sering mengingati azam itu. Jika setiap tahun, kita memperbaharui cukai jalan (kereta), maka begitulah kita mengingatkan diri sendiri mengenai azam.
- Carilah seseorang untuk mengingatkan anda. Berpesanlah pada kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai, yang boleh beri teguran sekiranya tersasar daripada landasan yang lurus. Ibu bapa mungkin tidak berdaya menegur atau barangkali mereka berada jauh daripada kita. Jadi kita memerlukan kawan-kawan kerana merekalah yang akan menjadi cermin bagi kita.
- Motivasi yang terbaik adalah dengan cara muhasabah diri sendiri. Ingatkan diri sendiri. Contohnya, “aku hendak berjaya, hendak kerja kuat, tanpa putus asa.” Untuk mencapainya, jangan sesekali kecewa.
- Sentiasa mencatat dalam diari. Lakukan senarai kerja yang mahu dilakukan esok. Lakukan perancangan dalam jangka masa panjang, sasaran dan pelan tindakan, kerana cara ini akan menjadi motivasi untuk mencapainya.
Selebriti Indonesia Ambil Peluang Bertemu DATUK SERI ANWAR IBRAHIM Di Jakarta
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Jakarta, Indonesia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 September ini.
Kesempatan tersebut turut digunakan oleh beliau untuk menghadiri sebuah program dialog anak muda bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Program yang diberi nama Temu Anwar merupakan program dialog Perdana Menteri yang julung kalinya diadakan di luar negara.
Program tersebut turut menampilkan beberapa selebriti terkenal Indonesia antaranya termasuklah Raffi Ahmad dan isteri, Nagita Slavina. Selain itu, turut kelihatan menghadiri program tersebut termasuklah penyanyi dan komposer muzik tersohor Indonesia, Ahmad Dhani, Nur Fazura dan ratusan anak muda dalam suasana penuh harmoni serta santai.
Momen pertemuan pemimpin nombor satu negara itu dikongsikan oleh beberapa selebriti Indonesia yang nyata teruja menerima kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia. Penyanyi dan komposer muzik tersohor Indonesia, Ahmad Dhani menganggap perjalanan hidupnya tidak banyak berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila penyanyi Kumpulan Dewa 19 itu berkongsi kisah pernah dipenjarakan satu ketika dahulu.
Tampil berseloroh ketika menyampaikan ucapan di pentas, Ahmad Dhani berkata, dia dan Anwar Ibrahim pernah dipenjara oleh pihak atasan.
“Anwar sama saya, pernah dipenjara oleh rejim, cuma Pak Anwar sudah menjadi orang nombor satu, saya belum,” ujarnya dalam nada bergurau.
Untuk rekod, vokalis kumpulan Dewa 19 itu pernah dipenjarakan selama 18 bulan di Penjara Cipinang Jakarta Timur, Indonesia atas kesalahan menyebarkan kebencian di platform Twitter pada Januari 2018 sebelum dibebaskan pada Disember 2019.
Sesi tersebut juga merupakan ruang untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan secara santai akan hala tuju Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani untuk difahami warga hadirin, termasuk mereka yang menyaksikan secara langsung di alam maya.
Selain selebriti Indonesia, kelibat Nur Fazura turut kelihatan di salah satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, Faz telah berpeluang menyertai para seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia dalam Program ‘Santai Bersama Anwar’ di Jakarta, Indonesia. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah sudi menyantuni kami semua dengan mesra, serta memberikan pelbagai pandangan berkaitan budaya dan landskap seni kedua-dua negara,’ ujar Fazura melalui Instagram miliknya.
YAB Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43.
Puasa 6 Atau Qada, Ramai Masih Keliru Boleh Ke Kalau Nak Gabung Saja
Usai menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan, seluruh umat Islam meraikannya dengan menyambut Syawal. Timbul persoalan nak buat puasa 6 atau qada, ramai wanita yang masih keliru tentang persoalan ini.
Bagi mereka yang menjalani hari menstruasi normal 6 atau 7 hari mungkin tidak menjadi masalah. Bagaimana pula mereka yang mempunyai kitaran haid yang agak lama antara 10 hari hingga ke 15 hari. Memang sukar nak melalukan puasa 6 atau qada sekali gus.
Berpuasa 6 di bulan Syawal dijanjikan pahala umpama berpuasa setahun. Jadi kaum wanita juga tidak mahu ketinggalan untuk merebut pahala berpuasa 6. Kena ganti puasa 12 hari, campur puasa 6 bersamaan dengan 18 hari. Belum sempat nak habiskan puasa ganti ‘uzur’ datang semula.
Adakah kaum wanita tidak mempunyai peluang untuk mendapat pahala puasa 6?
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qada.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana qada waktu puasa qada adalah muwassa`(luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, halaman 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub.
Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qada atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qada bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qada Ramadan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qada bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal tetapi, dia tidak akan memperoleh pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan Syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qada Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qada Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang daif.
Namun begitu, menyegerakan qada puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Sumber: muftiwp.gov.my
Baca juga; Murninya Hati Janna Nick, Dalam Proses Bina Pusat Tahfiz Bernilai RM6 Juta Di Kedah