Setiap kali melewati pinggir jalan di Padang Jawa, Shah Alam, mata pasti tak akan terlepas menyoroti sebuah banglo indah yang menerapkan elemen tradisional. Memang jatuh cinta walaupun tengok dari jauh sahaja. Dalam hati sering terdetik, siapakah empunya banglo dua tingkat sarat dengan sentuhan klasik yang terlihat di luarnya.
Mungkin telah tertulis rezeki, tiba-tiba gambar seorang wanita cantik muncul semasa membelek hantaran di media sosial. Siapakah wanita cantik persis wanita Arab ini, lalu terus menyapanya. Tidak sangka wanita yang peramah ini adalah pemilik banglo yang selalu diperhatikan itu.
Namun, dalam mengagumi keindahan kediaman milik wanita yang berasal dari Negeri Sembilan ini, rupanya personaliti Sharifah Rohaidah Syed Azlan Shah Al Qadry atau lebih mesra disapa Syerry Qadry ini begitu mempesona. Baharu sahaja menginjak ke usia 35 tahun tetapi semangat juangnya dalam melebarkan empayar bisnes menyuntik inspirasi.
URUS MASA
Bayangkan bagaimana yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian ini menguruskan masanya untuk mengendalikan tiga bisnes dan dalam masa yang sama membesarkan tiga orang anak kecil tanpa bantuan lelaki bergelar suami.
“Rutin harian saya cukup padat memandangkan saya mempunyai tiga perniagaan yang perlu diuruskan iaitu event management, katering dan menjadi pembekal kepada produk-produk manufacturing. Namun walau sesibuk mana sekalipun, saya akan cuba cari masa sebaik mungkin untuk bersama anak-anak memandangkan mereka masih lagi kecil.
Tambahan pula, saya seorang ibu tunggal dan perlu memberi lebih fokus buat anak-anak tercinta. Saya perlu pastikan jadual tugasan anak-anak telah tersusun dengan aktiviti berfaedah dan setiap hari wajib berkomunikasi dengan mereka mengenai aktiviti harian,” tutur Pengasas kepada Wilqadry Event Management, DMerbau Villa dan Hezka Fashion ini memulakan bicara.
CABARAN
Walau bagaimanapun seperti usahawan lain, Syerry Qadry juga begitu terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 ini. “Sepanjang bergelar usahawan saya kira situasi sekarang adalah cabaran paling besar.
Syarikat diarahkan tutup dalam notis yang singkat sedangkan syarikat mempunyai beratus event perlu dilaksanakan. Sangat-sangat mencabar kerana saya perlu memastikan semua pelanggan kekal dan memenuhi kehendak mereka.
Sebagai usahawan saya perlu lebih bersemangat dan positif. Tip saya untuk berjaya dalam bisnes adalah dalam diri perlu tanam impian untuk berjaya mengikut time frame yang ditetapkan. Apa impian anda inginkan dalam 1 tahun? Just do it and number one priority is jangan lupa Allah SWT. Tawakal dan berdoa kepadaNya,” tutur wanita kacukan Arab, Melayu dan Cina ini.
KECANTIKAN
Melihatkan penampilan wanita yang suka mengubah bunga ini sentiasa bergaya dan anggun lebih-lebih lagi bergelar usahawan yang sering bertemu pelanggan, adakah penting untuk sentiasa tampil menarik. “Sangat penting kepada wanita yang bekerjaya. Kerana setiap hari kita perlu ada keyakinan diri berhadapan dengan ramai pelanggan atau individu.
Perkara asas setiap individu perlu terjaga. Jika personaliti kita terjaga tidak mustahil perkara lebih sukar dalam perniagaan kita boleh tangani. Kerana ianya melambangkan keyakinan diri dan juga memberi keyakinan kepada pelanggan yang melihat kita sebagai usahawan.
Rahsia kecantikan saya? Saya tidur jam 10 malam kerana saya perlu cukup tidur sekurang-kurangnya 6 jam. Saya mengamalkan makanan tambahan atau supplemen kecantikan sejak kecil dan kurang makan makanan berminyak. Bila ada kelapangan saya akan bersenam,” tutur ibu kepada Muhammad Miqael, 11, Muhammad Mifzal, 9, dan Zara El Medina, 8 ini mengakhiri bicara.
This website uses cookies.