Bilik tidur ialah ruang istirahat dan banyak masa dihabiskan di sini. Selain pemilihan perabot yang sesuai dengan dekorasinya pemilihan warna yang tepat juga penting. Salah satunya warna pastel yang pasti menenangkan.
Disebabkan kelembutannya warna pastel boleh diadaptasi dengan setiap interior contohnya yang berkonsepkan moden dan elegan kerana ia fleksibel untuk bergabung dengan baik. Menerapkan konsep ini pada ruang bilik tidur menjadikannya lebih indah dan mendamaikan.
Berikut beberapa idea dekorasi bagi mengindahkan ruang bilik tidur dengan warna pastel.
Bilik tidur yang luasnya terhad boleh memberi kesan tenang dengan warna pastel. Pertegaskan dengan penggunaan perabot berwarna pastel agar kesan cerah semakin kuat.
Jika tidak mahu mengubah warna dinding, penerapan warna pastel boleh diaplikasikan. Warna dusty pink umpamanya boleh memberi kesan tenang dan segar.
Sentuhan pastel biru untuk dekorasi bilik tidur yang diterapkan pada karpet dan katil memberi kesan sejuk. Pemasangan kertas dinding bercorak tumbuhan dan lampu hiasan bercahaya semakin mempertegaskan kesan segar.
Gabungan warna pastel dan putih untuk dinding dan perabot di bilik tidur memberi kesan moden. Paduan beberapa warna pastel dimanfaat agar terlihat lebih ‘hidup’.
Padanan warna putih dan pastel bukan hanya memberi kesan moden bahkan tidak ditelan zaman. Konsep batu bata menonjol pada dinding bilik tidur menyerlahkan kesan klasik khususnya pada warna putih pastel.
Memaksimumkan cahaya matahari ke bilik tidur menjadikan penerapan warna pastel semakin baik.
Paduan warna dirty pastel untuk dinding dan katil antara gabungan terbaik untuk bilik tidur. Kesannya lebih tenang dan nyaman yang boleh dipertegaskan dengan penggunaan perabot dan karpet warna senada.
Menerapkan warna pastel dengan nuansa hijau memberi kesan segar dan semula jadi pada bilik tidur.
Padanan warna pastel dan terang memberi kesan segar pada bilik tidur. Gabungan ini menjadikan ruang bilik tidur tampak lebih luas.
Warna biru pastel memberi kesan redup dan dingin pada ruang bilik tidur. Ia boleh dijadikan sebagai salah satu pertimbangan yang baik.
Kuning pastel dengan kombinasi warna putih juga sesuai diterapkan pada bilik tidur. Namun pastikan pemilihan warna perabot lebih gelap untuk keseimbangan. AMY MOHD