Penyanyi jelita Indonesia, Raisa terpilih sebagai penyanyi undangan di Konsert HITMAN – DAVID FOSTER and FRIENDS yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Lebih membanggakan, ini bukanlah kali pertama penyanyi berusia 31 tahun itu menyanyi di bawah pimpinan muzik David Foster, malah ia merupakan pengalaman keduanya bersama David Foster yang terkenal dengan ratusan lagu hits ciptaannya.
Namun, pada persembahan kali ini, isteri kepada Hamish Daud ini tampil lebih berkeyakinan diri dan menyampaikan lagu ciptaan David Foster, Un Break My Heart dengan baik sekali. Selain itu, Raisa turut berpeluang berduet dengan Michael Bolton menerusi lagu The Prayer ciptaan David Foster yang dipopulatkan oleh Celine Dion dan Andrea Bocelli.
Raisa turut mendendangkan lagu Bahasa Kalbu ciptaan Andi Rianto sambil diiringi oleh David Foster.
“Indonesia, Take Care Of This Girl, She’s A National Treasure,” ujar David Foster sejurus Raisa mendendangkan lagu Bahasa Kalbu yang pernah dipopularkan oleh TT DJ.
Raisa turut berduet dengan penyanyi lain seperti Peabo Bryson, Loren Allred dan Dira Sugandi yang menggantikan Katharine McPhee yang terpaksa pulang ke Amerika Syarikat kerana mempunyai urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
Terdahulu, konsert jelajah Asia HITMAN – DAVID FOSTER and FRIENDS telah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu di mana penyanyi nombor satu negara, Dato Seri Siti Nurhaliza telah menjadi artis jemputan untuk konsert tersebut. Malah Siti Nurhaliza turut menjadi artis jemputan di konsert Hitman David Foster & Friends di Singapura 9 Ogos lalu.
Pada usia 31 tahun, Raisa dilihat telah banyak mememangi anugerah, menghiasi muka depan majalah terkenal dan mencipta muzik yang sentiasa mendapat tempat di hati pendengarnya. Biarpun sudah sedekad, Raisa sentiasa menampilkan karya terbaik yang menjadi penanda aras kepada bakal pelapis industri muzik dan hiburan.
Anak kepada pasangan Allan N. Rachman dan Ria Mariaty sememangnya berbakat dalam membawakan pelbagai genre muzik bermula dari Pop, Jazz, R&B dan Soul. Isteri kepada pelakon Hamish Daud, Raisa Andriana telah menjadi simbol wanita ideal yang menjadi contoh wanita yang sukses di karier dan keluarga. Raisa juga mempunyai kebolehan menguruskan beberapa bidang perniagaan yang laris di Indonesia di mana Raisa memiliki dua restoran Cipete, Jakarta Selatan dan Titik Temu di Seminyak, Bali.
This website uses cookies.