“Ingat anak-anak kita bersama ada lagi enam orang kakak, jangan putuskan silaturrahim itu. Kalau boleh didik salah seorang jadi seorang doktor,” pesan arwah suami.
Majlis berlangsung dengan begitu meriahnya di dewan utama ShangriLa Hotel, paluan kompang beralun dengan pujian serta selawat ke atas Nabi. Melangkah masuk sepasang mempelai cantik bergaya, si puteri anggun jelita dengan persalinan pereka terkenal dan si putera tampan ber sut hitam. Terpegun seketika tetamu yang hadir dengan pasangan bukan muda remaja tetapi cukup dewasa dalam menuju usia kematangan hidup. Menyapa seorang sahabat lalu berbisik… “Ini perkahwinan kali kedua puan atau Datin Amira.” Pasti ada kisah disebalik wajah lembut insan istimewa ini…
Meskipun tidak seindah ceritanya yang mampu disampaikan, tetapi jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran serta tauladan dalam buat kita sesama manusia menempuhi kehidupan…
Ads
Mengimbas kembali saat mula kisah perkahwinan yang dibinanya selama tujuh tahun dahulu, Amira merupakan seorang gadis sunti berasal dari Perak dan berhijrah mencari rezeki di kota Kuala Lumpur sebagai seorang wartawan politik. Tawaran di terima dan mula berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan yang merupakan milik arwah suaminya dahulu. Pada hari pertama bekerja, Amira sudah di bawa ke parlimen untuk mendapatkan bahan cerita. Menggigil juga lutut dibuatnya! Bermula dari situlah Amira mengenali dengan ramai pemimpin politik. Setiap hari bersilih ganti bunga berkembangan menjadi hantaran di meja Amira, mana tidaknya… wartawan muda cantik jelita, putih gebu kulitnya menjadi pujaan setiap mata memandang. Namun cintanya bertaut pada majikan sendiri, selepas enam bulan bekerja hantaran pinangan telah di hantar dan Amira menjadi milik arwah sebagai isteri yang sah.
Biarpun Amira bakal meniti hari bahagia… namun rasa kesedihan dan kecewa tidak dapat dibuang dalam hatinya. Keluarganya tidak merestui hubungan perkahwinan ini dan Amira di buang keluarga hampir selama lima tahun. Alasannya kerana Amira mengahwini suami orang dan sanggup bermadu. Namun Amira pasrah dengan ketentuan kehidupan dan jodoh yang telah ditentukan ke atasnya.
Tuhan Itu Maha Kaya dan sentiasa membantu umat yang tidak berputus meminta pertolongannya, doa Amira di makburkan Tuhan apabila tahun keenam bapanya yang ingin menunaikan umrah ingin berjumpa suaminya. Saat itu merupakan saat paling bahagia buat suami apabila diterima sebagai seorang menantu dan kegembiraan terpancar jua di wajah anak-anaknya yang telah lama dahagakan kasih sayang datuk dan nenek. Hubungan yang kembali terjalin itu menjadi cukup erat dan kukuh kemesraannya.
Namun sayang sekali, kebahagiaan yang baru dirasai itu cuma singkat buat suami telah kembali bertemu Pencipta. Setelah hampir setiap malam mendengar rintihan “Ya Allah, janganlah kau siksakan diri ku begini. Ambillah nyawaku…” lauangan itulah yang sering disebut oleh bekas arwah suami Amira. Doktor telah mengesahkan bekas arwah suami mengidap penyakit kanser tulang dan jangka hayatnya mampu bertahan dua tahun. Pelbagai rawatan telah diusahakan, biarpun kosnya semakin tinggi Amira berkorban segalanya. Habis sudah segala wang simpanan dan tanah di jual demi merawat arwah suami tercinta.
Waktu itu, bergilir-gilir Amira bersama isteri pertama menjaga arwah suami. Dalam hati Amira, dia ingin berbaik dengan madunya dan anak-anak tiri seperti keluarga sendiri supaya arwah suami pergi dengan aman dan sejahtera. Malah pesan terakhir arwah suami yang terus beku dalam mindanya ialah “Ingat anak-anak kita bersama ada lagi enam orang kakak, jangan putuskan silaturrahim itu. Kalau boleh didik salah seorang anak kita menjadi seorang doktor. Berusahalah untuk meraih kejaayaan dan saya yakin dengan kebolehan diri awak mampu untuk menjadi seorang senator…”
Tuhan lebih menyayanginya, arwah hanya mampu bertahan selama 7 bulan dan Tuhan telah mengambil kembali nyawanya. Saat hembusan terakhir arwah suami, Amira rasakan bagai berakhirnya kehidupan yang selama ini cerah dengan sinar mentari. Semuanya menjadi gelap gelita, seperti tiada arah tujuan hidup. Tambahan pula waktu itu, Amira baru 32 hari melahirkan anak perempuannya. Sedih dan pedihnya cukup terasa.
Perkara paling sukar waktu itu ialah menerangkan keadaan kepada anak-anak. Hati ibu mana yang tidak merasa tersentuh apabila anak kecil setiap hari bertanyakan ayah mereka. Pernah Amira terdengar doa yang terkeluar dari mulut kedua-dua puteranya, “Ya Allah… pulihkan penyakit ayah ku,” lalu Amira menerangkan kepada mereka bahawa ayah sudah meninggal. Dan mereka kembali berdoa… “Ya Allah… Hidupkan kembali ayahku…” Menitis air mutiara Amira mendengar rintihan anaknya.
Mereka terlalu sukar menerima keadaan ini biarpun diterangkan berkali, anak-anak tetap percaya bahawa satu hari ayahnya akan kembali. Setiap hari menunggu di hadapan pintu kiranya ayahnya kembali dan jika terdengar bunyi deringan telefon pasti mereka mengharapkan ayah yang akan menghungi. Bila puteri semakin membesar, rakan-rakan sekolah bertanyakan “Mana ayah kamu?” dan dia hanya mampu menunjukkan gambar kenangan arwah ayahnya. Aduh! Hanya perasaan seorang ibu yang pernah melalui nasih yang sama faham bagaimana sedihnya saat-saat itu.
Berbekalkan semangat yang dipupuk dari hari ke hari, Amira bangkit kembali tanpa memandang ke belakang lagi. Keadaan kewangan keluarga yang semakin teruk membuatkan Amira bertindak melakukan sesuatu demi mengisi sejengkal perutnya dan anak-anak. Tidak mungkin untuk dirinya memisahkan anak-anak kepada orang lain, biarlah setiap hari menjamu nasi putih bersama telur dan kicap asalkan mereka tetap bersama.
Ads
Sehingga satu tahap, Amira tidak mampu membayar sewa rumah dan terpaksa meminta simpati pemilik untuk memberikan masa kepadanya melaksanakan segala hutang. Amira mula menghubungi kembali kenalan yang ada dan membuat kerja sampingan dalam bidang penulisan melalui badan firma, pihak kerajaan dan swasta. Wang dikumpul sehinggalah Amira memperolehi satu projek yang berjaya mengubah kehidupannya. Inilah kunci kesabaran kepada segala usaha tanpa mengenal lelah selama dua tahun. Dengan perolehan projek pertama, Amira melangsaikan semua hutangnya dan pulang ke kampung untuk berkongsi rezeki pertamanya bersama keluarga.
Dua tahun Amira kembali pulih jiwa dan periuk nasinya sehingga mampu berjaya sebagai seorang ahli pernaigaan disegani. Kini Amira sudah mampu tersenyum dan bersyukur dengan segala perolehan rezeki yang dimilikinya dengan segala usaha dan kesabarannya mengikut jalan yang diberkati oleh Allah.
Lima tahun kemudian, Amira berkenalan dengan Iskandar. Waktu itu Iskandar bertindak sebagai pereka dalaman untuk kediaman baru Amira. Berkawan hampir dua tahun, Iskandar sememangnya seorang lelaki yang penyayang, romantik, sentiasa memberi semangat positif, boleh berkongsi kisah keluarga dan paling penting menyayangi anak-anak Amira. Anak-anak pula semakin rapat dan mula suka padanya, sehingga sukar untuk berpisah.
Amira telah mengambil masa kesibukkan kerjanya beberapa hari menunaikan umrah dan memohon pertunjuk dariNya. Di tanah suci Mekah, kedua tapak tangan Amira berdoa “Ya Allah… jika hidup bersendirian lebih baik, tutupkanlah pintu hati ini. Sekiranya berkahwin itu lebih baik untuk diriku dan anak-anak, temuikanlah aku dengan jodoh yang baik.”
Ads
Pulang ke Malaysia, Iskandar di antara lelaki yang sememangnya menambat hatinya dengan kejujuran dan kesungguhan untuk mengambil Amira sebagai isterinya. Amira telah membawa Iskandar ke kubur arwah suami dengan membawa dua pokok seroja. Dengan kedua tangan dan tenaganya, Iskandar sendiri menanam pokok tersebut. Doanya di makam tersebut dengan mengharapkan supaya jodoh berpanjangan dan beliau akan melaksakan tanggungjawab ini sebagai satu amanah.
Di Masjid Baiturrahman Aceh (satu-satunya masjid yang tidak musnah dari bencana Tsunami) kedua-dua pasangan ini telah diijabkabulkan. Dan majlis resepsi penuh gemilang diadakan di Shangri La hotel dengan kehadiran seluruh ahli keluarga, termasuk bekas ahli keluarga madunya dahulu dengan enam orang anak tiri dan 24 cucunya.
Kini sudah tiga tahun perkahwinannya bersama Dato’ Iskandar, alhamdulillah rezeki mereka bertambah. Bagi Datin Amira perjuangan hidupnya belum selesai dan cita-cita arwah suaminya ingin dikotai untuk menjadi seorang senator. Bukan sekadar seorang usahawan berjaya, kini Amira dalam proses untuk menubuhkan sebuah Persatuan Ibu Tunggal Malaysia. Tujuannya untuk membantu dan meringankan beban ibu tunggal, selain daripada memberi bantuan sera semangat dalam bidang perniagaan.
Datin Amira sempat mengakhiri ceritanya dengan alunan lagu Datuk Siti Nurhaliza… “Tuhan menguji, tak akan berhenti. Hanya ku pinta…” semoga diberkati kehidapannya dan Datin Amira pasrah dengan setiap ujian yang diaturkan kerana tentu ada rahmat muncul disebaliknya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum dengan keazaman Dato’ Nurulhidayah Datuk Seri Ahmad Zahid yang berjaya tamat pengajian peringkat Master baru-baru ini. Satu pencapaian yang memang patut dijadikan inspirasi. Iyalah, bukan satu tugas mudah tu.
Apatah lagi, Dato’ Nurul merupakan seorang ibu bekerjaya dan isteri. Kalau tak bijak bahagikan masa, tak mungkin wanita berjiwa cekal ini mampu menggenggam Master seperti sekarang. Tahniah!
Dalam Majlis Konvokesyen Lincoln University College 2022 yang berlangsung pada 22 Februari lepas, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri ini selesai melanjutkan pengajian Master of Business Administration (MBA) dari Faculty of Business and Accountancy.
Dia melahirkan rasa syukur kerana segala penat lelah menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil. Mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat kedua-dua ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan, isteri Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff ini berkongsi khabar gembira tersebut di Instagram miliknya.
Kongsi Dato’ Nurul, “Alhamdulillah. For Mak, Abah, suami dan anak-anak. Semoga ini adalah permulaan yang baik untuk tahun 2022 dan tahun yang mendatang. Aaminn.
Nak bagi harta dunia tak mampu lagi. Bagi Mak Abah proudness and happiness is what I can afford for now. This is for both of them. Especially for you Abah.”
Mengulas lanjut mengenai kejayaan itu, Dato’ Nurul ketika dihubungi Nona pada mulanya agak keberatan untuk berkongsi kisah perjalanannya mengejar Ijazah Sarjana kerana bimbang disalah ertikan sesetengah pihak.
Namun demi memberi semangat kepada kaum wanita, dia akhirnya akur. Dengan harapan agar kejayaan ini dapat membuka mata masyarakat khususnya wanita mengenai kepentingan pendidikan.
“Saya mula sambung MBA sejak Januari 2021 sepenuh masa secara online. Masa PKP, kelas tak menentu. Dekat dua tahun jugalah. Yang betul-betul focus on assignments sampai exam dalam setahun. Sepatutnya habis dalam masa setahun je.
Saya nak ada Master untuk kepuasan diri sendiri dan juga ‘desakan’ dari Abah. Abah ada phD, so dia nak anak dia ada strong academic background juga.”
Ujar Dato’ Nurul lagi, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dari Lincoln University College dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dato’ Nurul kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Master Corporate Communication di UPM dan Master in Dakwah and Islamic Leadership di USIM. Namun kedua-duanya tertangguh atas faktor tertentu. Bagaimana pun kali ini, dia tekad menamatkan Master.
Mesra disapa Kak Long, Dato’ Nurul juga aktif dengan aktiviti kebajikan dan membantu golongan memerlukan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19. Semoga perkongsian kejayaan dan usaha murni Dato’ Nurul meringankan beban golongan susah menjadi ikutan ramai. Selain mencetus inspirasi buat semua agar terus berusaha menggapai impian hidup.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau tidak kerana azam yang kuat sepuluh tahun lalu, nama Telekung Siti Khadijah (SK)mungkin tidak gah seperti sekarang. Meskipun berdepan dengan pelbagai kesukaran pada awal penubuhannya namun bersandarkan niat untuk membantu menambah pendapatan keluarga dan mengangkat martabat telekung, Padzilah Enda buang perasaan malu sambil menggenggam harapan menggunung agar hasil usahanya mampu memanfaatkan masyarakat kelak.
Kini setelah 10 tahun bertapak di dalam industri, ibu kepada enam cahaya mata ini mampu tersenyum puas melihat kejayaan yang ada di depan mata. Menceritakan kembali saat suka duka mengemudi empayar Siti Khadijah, Pengasas berjiwa besar ini tenang membuka bicara.
“Kalau dulu, dari gigih mengetuk satu-persatu pintu untuk menjual telekung… kini pelanggan kami boleh ke salah satu daripada lebih 30 butik di Malaysia, 2 butik di Indonesia, akan tambah 4 lagi di Indonesia dalam masa dekat. InshaAllah.”
Menyambut Malam Sedekad Siti Khadijah di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini, Padzilah turut melahirkan rasa syukur kerana selain masih diberi ilham dan kekuatan untuk terus berkarya mengangkat imej telekung di persada dunia, beliau juga berterima kasih atas sokongan padu pelanggan setia Siti Khadijah.
Tambahnya lagi, “Kami bermula dengan 200 helai telekung pertama, yang pada awalnya begitu sukar untuk dijual. Kini sehingga hampir 2000 helai telekung sehari kami hasilkan! Dari khusus mengeluarkan telekung, berkembang ke pakaian wanita dan lelaki… ke produk penjagaan diri sehinggalah ke pembukaan Kolej Seni Jahitan Srikandi.
Dari Nusantara ke United Kingdom, ke Jepun, Turki, Timur Tengah, SK membawa telekung untuk perkenalkan betapa mudahnya disarungkan sebagai pakaian solat buat wanita muslimah seluruh dunia.
Dari anak-anak saya masih bersekolah, kini hampir kesemua keenam-enam mereka bersama-sama meneraju empayar Siti Khadijah. Dari sebuah ruang kecil pejabat yang disewa ke wujudnya sebuah kilang produksi di Malaysia dan Indonesia. Malah, dari hanya kurang 10 kakitangan, kini hampir seramai 300 kakitangan keluarga Siti Khadijah menerima rezeki hasil penjualan telekung dan produk Siti Khadijah.”
Padzilah amat bertuah kerana kejayaan Siti Khadijah ini turut diusahakan bersama suami tercinta, Aminuddin Mohd Nasir dan hampir semua anak lelaki mereka memegang jawatan dalam bahagian tersendiri. Lebih membanggakan, anak keduanya iaitu Mohammad Munzir Aminuddin dianugerahkan Ketua Pegawai Pemasaran 2018 dari Malaysian Chief Marketing Officer (CMO) Award tahun lalu.
Selepas membuka dua butik Siti Khadijah di Bandung dan Jakarta, Indonesia… empat lagi butik akan dibuka di sana tahun ini dengan satu lagi bakal di buka di Jakarta, Pekan Baru, Surabaya dan Makassar dengan nilai pelaburan sekitar RM1 juta.
Pada Malam Sedekad tersebut, sebanyak 15 koleksi terbaharu Siti Khadijah turut diperagakan kepada umum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dari seorang gadis biasa dan bintang program realiti TV, kini Sofia Kristina Hellqvist merupakan ahli keluarga diraja Sweden! Semuanya bermula ketika Sofia bertemu putera kacak Sweden iaitu Carl Philip of Sweden semasa beliau mengusahakan sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan.
Mengintai latar belakang Princess of Sweden dan Duchess of Varmland ini, Sofia dilahirkan di Stockholm pada tahun 1984 dan bergiat aktif dalam bidang peragaan. Beliau juga merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan.
Meskipun pernah melanjutkan pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa dan Perakaunan di dua institut berbeza di Sweden dan Amerika, namun puteri diraja berusia 38 tahun ini tidak pernah bekerja dalam bidang yang dipelajari.
Sebaliknya, Princess Sofia lebih selesa bekerja sebagai pembantu jualan dan model. Semasa menjadi model, wajah cantik Princess Sofia telah banyak menghiasi banyak majalah di negara kelahirannya. Bersandarkan kepada kecantikan dan tubuh menawan yang dimiliki, Princess Sofia juga dilaporkan menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik termasuk pernah menjadi juara Miss Slitz 2004.
Rentetan daripada gelaran ratu cantik tersebut, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan menyertai sebuah program realiti ‘Paradise Hotel’ di salah satu saluran televisyen Sweden.
Bertitik tolak daripada program realiti ini, kelibatnya mula mencuri tumpuan ramai sehingga meraih populariti luar biasa. Princess Sofia kemudian berhijrah ke New York dan membuka sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan. Di sinilah beliau bertemu Carl Philip of Sweden dan masing-masing dikatakan jatuh cinta pada pandang pertama.
Carl Philip mengambil langkah permulaan untuk memenangi hati Sofia dengan mengajak jelitawan tersebut menyaksikan perlumbaan go kart. Hubungan mereka dikatakan semakin serius pada Ogos 2010. Tanggal 27 Jun 2014, pasangan kekasih ini mengumumkan berita pertunangan mereka.
Episod ala kisah dongeng rakyat biasa menjadi puteri kayangan tercetus pada 13 Jun 2015 apabila Princess Sofia secara rasmi menjadi isteri Prince Carl dalam majlis perkahwinan gilang-gemilang yang berlangsung di Chapel of Stockholm’s Royal Palace.
Gaun perkahwinan Princess Sofia direka khas oleh pereka Sweden, Ida Sjostedt. Istimewanya gaun indah berlengan panjang dan rekaan leher V berkenaan diperbuat daripada silk crepe dan sulaman tangan. Mahkota yang dipakai pula merupakan pemberian hadiah daripada Raja dan Permaisuri Sweden.
Dek kerana kehidupan lama Princess Sofia, ada segelintir pihak memberi persepsi buruk terhadapnya dan menganggap beliau tidak layak menjadi puteri diraja. Berbeza pula bagi Carl Philip of Sweden yang digambarkan seorang putera raja sempurna, kacak, ramah dan berpendidikan tinggi. Malah putera kedua King Carl Gustav XVI dan Queen Silvia of Sweden ini juga sangat disenangi keluarga diraja Sweden.
Bagaimana pun kecantikan Sofia Hellqvist dan kebaikannya bersama Carl Philip of Sweden lama-kelamaan diterima baik rakyat jelata. Beliau kini mendapat gelaran Her Royal Highness Princess Sofia of Sweden dan Duchess of Varmland.
Kehidupan Princess Sofia berubah sepenuhnya pada 19 April 2016 apabila beliau bergelar ibu. Putera sulung mereka dilahirkan nama Alexander Erik Bertil. Setahun kemudian, pada 31 Ogos 2017, perkahwinan mereka tambah meriah dengan kehadiran cahaya mata kedua iaitu Gabriel Carl Walther. Pada penghujung Mac lepas Princess Sofia selamat melahirkan cahaya mata ketiga.
Dikurniakan suami penyayang, anak-anak comel dan disayangi rakyat membuatkan Princess Sofia teruja dan mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tinggi sungguh adab Kieda terhadap suami tercinta, Mohd Hilmi Mohd Zaki. Tidak hairanlah rumah tangga yang dibina selama 12 tahun bertambah bahagia dan penuh kasih sayang. Tersentuh dengan pesanan pemilik Kieda Crepe House ini yang menjaga martabat dan ...