Majlis berlangsung dengan begitu meriahnya di dewan utama ShangriLa Hotel, paluan kompang beralun dengan pujian serta selawat ke atas Nabi. Melangkah masuk sepasang mempelai cantik bergaya, si puteri anggun jelita dengan persalinan pereka terkenal dan si putera tampan ber sut hitam. Terpegun seketika tetamu yang hadir dengan pasangan bukan muda remaja tetapi cukup dewasa dalam menuju usia kematangan hidup. Menyapa seorang sahabat lalu berbisik… “Ini perkahwinan kali kedua puan atau Datin Amira.” Pasti ada kisah disebalik wajah lembut insan istimewa ini…
Meskipun tidak seindah ceritanya yang mampu disampaikan, tetapi jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran serta tauladan dalam buat kita sesama manusia menempuhi kehidupan…
Mengimbas kembali saat mula kisah perkahwinan yang dibinanya selama tujuh tahun dahulu, Amira merupakan seorang gadis sunti berasal dari Perak dan berhijrah mencari rezeki di kota Kuala Lumpur sebagai seorang wartawan politik. Tawaran di terima dan mula berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan yang merupakan milik arwah suaminya dahulu. Pada hari pertama bekerja, Amira sudah di bawa ke parlimen untuk mendapatkan bahan cerita. Menggigil juga lutut dibuatnya! Bermula dari situlah Amira mengenali dengan ramai pemimpin politik. Setiap hari bersilih ganti bunga berkembangan menjadi hantaran di meja Amira, mana tidaknya… wartawan muda cantik jelita, putih gebu kulitnya menjadi pujaan setiap mata memandang. Namun cintanya bertaut pada majikan sendiri, selepas enam bulan bekerja hantaran pinangan telah di hantar dan Amira menjadi milik arwah sebagai isteri yang sah.
Biarpun Amira bakal meniti hari bahagia… namun rasa kesedihan dan kecewa tidak dapat dibuang dalam hatinya. Keluarganya tidak merestui hubungan perkahwinan ini dan Amira di buang keluarga hampir selama lima tahun. Alasannya kerana
Amira mengahwini suami orang dan sanggup bermadu. Namun Amira pasrah dengan ketentuan kehidupan dan jodoh yang telah ditentukan ke atasnya.Tuhan Itu Maha Kaya dan sentiasa membantu umat yang tidak berputus meminta pertolongannya, doa Amira di makburkan Tuhan apabila tahun keenam bapanya yang ingin menunaikan umrah ingin berjumpa suaminya. Saat itu merupakan saat paling bahagia buat suami apabila diterima sebagai seorang menantu dan kegembiraan terpancar jua di wajah anak-anaknya yang telah lama dahagakan kasih sayang datuk dan nenek. Hubungan yang kembali terjalin itu menjadi cukup erat dan kukuh kemesraannya.
Namun sayang sekali, kebahagiaan yang baru dirasai itu cuma singkat buat suami telah kembali bertemu Pencipta. Setelah hampir setiap malam mendengar rintihan “Ya Allah, janganlah kau siksakan diri ku begini. Ambillah nyawaku…” lauangan itulah yang sering disebut oleh bekas arwah suami Amira. Doktor telah mengesahkan bekas arwah suami mengidap penyakit kanser tulang dan jangka hayatnya mampu bertahan dua tahun. Pelbagai rawatan telah diusahakan, biarpun kosnya semakin tinggi Amira berkorban segalanya. Habis sudah segala wang simpanan dan tanah di jual demi merawat arwah suami tercinta.
Waktu itu, bergilir-gilir Amira bersama isteri pertama menjaga arwah suami. Dalam hati Amira, dia ingin berbaik dengan madunya dan anak-anak tiri seperti keluarga sendiri supaya arwah suami pergi dengan aman dan sejahtera. Malah pesan terakhir arwah suami yang terus beku dalam mindanya ialah “Ingat anak-anak kita bersama ada lagi enam orang kakak, jangan putuskan silaturrahim itu. Kalau boleh didik salah seorang anak kita menjadi seorang doktor. Berusahalah untuk meraih kejaayaan dan saya yakin dengan kebolehan diri awak mampu untuk menjadi seorang senator…”
Tuhan lebih menyayanginya, arwah hanya mampu bertahan selama 7 bulan dan Tuhan telah mengambil kembali nyawanya. Saat hembusan terakhir arwah suami, Amira rasakan bagai berakhirnya kehidupan yang selama ini cerah dengan sinar mentari. Semuanya menjadi gelap gelita, seperti tiada arah tujuan hidup. Tambahan pula waktu itu, Amira baru 32 hari melahirkan anak perempuannya. Sedih dan pedihnya cukup terasa.
Perkara paling sukar waktu itu ialah menerangkan keadaan kepada anak-anak. Hati ibu mana yang tidak merasa tersentuh apabila anak kecil setiap hari bertanyakan ayah mereka. Pernah Amira terdengar doa yang terkeluar dari mulut kedua-dua puteranya, “Ya Allah… pulihkan penyakit ayah ku,”
lalu Amira menerangkan kepada mereka bahawa ayah sudah meninggal. Dan mereka kembali berdoa… “Ya Allah… Hidupkan kembali ayahku…” Menitis air mutiara Amira mendengar rintihan anaknya.Mereka terlalu sukar menerima keadaan ini biarpun diterangkan berkali, anak-anak tetap percaya bahawa satu hari ayahnya akan kembali. Setiap hari menunggu di hadapan pintu kiranya ayahnya kembali dan jika terdengar bunyi deringan telefon pasti mereka mengharapkan ayah yang akan menghungi. Bila puteri semakin membesar, rakan-rakan sekolah bertanyakan “Mana ayah kamu?” dan dia hanya mampu menunjukkan gambar kenangan arwah ayahnya. Aduh! Hanya perasaan seorang ibu yang pernah melalui nasih yang sama faham bagaimana sedihnya saat-saat itu.
Berbekalkan semangat yang dipupuk dari hari ke hari, Amira bangkit kembali tanpa memandang ke belakang lagi. Keadaan kewangan keluarga yang semakin teruk membuatkan Amira bertindak melakukan sesuatu demi mengisi sejengkal perutnya dan anak-anak. Tidak mungkin untuk dirinya memisahkan anak-anak kepada orang lain, biarlah setiap hari menjamu nasi putih bersama telur dan kicap asalkan mereka tetap bersama.
Sehingga satu tahap, Amira tidak mampu membayar sewa rumah dan terpaksa meminta simpati pemilik untuk memberikan masa kepadanya melaksanakan segala hutang. Amira mula menghubungi kembali kenalan yang ada dan membuat kerja sampingan dalam bidang penulisan melalui badan firma, pihak kerajaan dan swasta. Wang dikumpul sehinggalah Amira memperolehi satu projek yang berjaya mengubah kehidupannya. Inilah kunci kesabaran kepada segala usaha tanpa mengenal lelah selama dua tahun. Dengan perolehan projek pertama, Amira melangsaikan semua hutangnya dan pulang ke kampung untuk berkongsi rezeki pertamanya bersama keluarga.
Dua tahun Amira kembali pulih jiwa dan periuk nasinya sehingga mampu berjaya sebagai seorang ahli pernaigaan disegani. Kini Amira sudah mampu tersenyum dan bersyukur dengan segala perolehan rezeki yang dimilikinya dengan segala usaha dan kesabarannya mengikut jalan yang diberkati oleh Allah.
Lima tahun kemudian, Amira berkenalan dengan Iskandar. Waktu itu Iskandar bertindak sebagai pereka dalaman untuk kediaman baru Amira. Berkawan hampir dua tahun, Iskandar sememangnya seorang lelaki yang penyayang, romantik, sentiasa memberi semangat positif, boleh berkongsi kisah keluarga dan paling penting menyayangi anak-anak Amira. Anak-anak pula semakin rapat dan mula suka padanya, sehingga sukar untuk berpisah.
Amira telah mengambil masa kesibukkan kerjanya beberapa hari menunaikan umrah dan memohon pertunjuk dariNya. Di tanah suci Mekah, kedua tapak tangan Amira berdoa “Ya Allah… jika hidup bersendirian lebih baik, tutupkanlah pintu hati ini. Sekiranya berkahwin itu lebih baik untuk diriku dan anak-anak, temuikanlah aku dengan jodoh yang baik.”
Pulang ke Malaysia, Iskandar di antara lelaki yang sememangnya menambat hatinya dengan kejujuran dan kesungguhan untuk mengambil Amira sebagai isterinya. Amira telah membawa Iskandar ke kubur arwah suami dengan membawa dua pokok seroja. Dengan kedua tangan dan tenaganya, Iskandar sendiri menanam pokok tersebut. Doanya di makam tersebut dengan mengharapkan supaya jodoh berpanjangan dan beliau akan melaksakan tanggungjawab ini sebagai satu amanah.
Di Masjid Baiturrahman Aceh (satu-satunya masjid yang tidak musnah dari bencana Tsunami) kedua-dua pasangan ini telah diijabkabulkan. Dan majlis resepsi penuh gemilang diadakan di Shangri La hotel dengan kehadiran seluruh ahli keluarga, termasuk bekas ahli keluarga madunya dahulu dengan enam orang anak tiri dan 24 cucunya.
Kini sudah tiga tahun perkahwinannya bersama Dato’ Iskandar, alhamdulillah rezeki mereka bertambah. Bagi Datin Amira perjuangan hidupnya belum selesai dan cita-cita arwah suaminya ingin dikotai untuk menjadi seorang senator. Bukan sekadar seorang usahawan berjaya, kini Amira dalam proses untuk menubuhkan sebuah Persatuan Ibu Tunggal Malaysia. Tujuannya untuk membantu dan meringankan beban ibu tunggal, selain daripada memberi bantuan sera semangat dalam bidang perniagaan.
Datin Amira sempat mengakhiri ceritanya dengan alunan lagu Datuk Siti Nurhaliza… “Tuhan menguji, tak akan berhenti. Hanya ku pinta…” semoga diberkati kehidapannya dan Datin Amira pasrah dengan setiap ujian yang diaturkan kerana tentu ada rahmat muncul disebaliknya.
This website uses cookies.