Rata-rata wanita sentiasa mencari busana yang cantik dan terlupa akan pemilihan sepatu yang sempurna. Tahukah anda kasut mampu mengubah penampilan keseluruhan? Kasut bukan sekadar dipilih untuk keselesaan bahkan rekaan dan perinciaannya memainkan peranan penting dalam menyerlahkan gaya. Ingat, kasut untuk digayakan ke pejabat adalah berbeza dengan kasut yang digayakan ke majlis makan malam dan sebagainya.
Dalam edisi kali ini, penulis akan menyenaraikan beberapa tip khusus dalam pemilihan kasut dan juga apakah sepatu yang cukup in trend ketika ini di pentas-pentas fesyen antarabangsa. Jadikan ini sebagai rujukan anda dalam memilih sepatu.
1.Memilih sepatu perlu ada panduan, apakah kegunaan sepatu tersebut? Sama ada untuk ke tempat kerja, ke majlis istimewa ataupun acara santai. Dengan cara ini anda boleh memilih sepatu yang sesuai bagi setiap acara. Sebagai contoh kalau ke tempat kerja, semestinya sepatu harus lebih formal dan tidak keterlaluan perinciannya, selalunya untuk sepatu ke tempat kerja lebih molek jika dipilih yang menutupi kaki dan bukannya dari jenis sandal yang terbuka bertali halus.
2.Tahu geografi lokasi yang dituju, jika anda di ajak ke majlis-majlis istimewa. Misalnya majlis perkahwinan, anda perlu tahu dimanakah majlis tersebut diadakan. Adakah ia berlangsung di dalam dewan ataupun di taman? Bayangkan jika anda tidak mengambil berat soal ini kemudian majlis diadakan di taman namun anda mengenakan sepatu tumit tinggi runcing, pasti sukar untuk berjalan kerana tumit akan tenggelam ke dalam tanah. Silap haribulan anda boleh jatuh terlentang, jadi sentiasa peka dengan lokasi yang dituju.
3.Kita selalu menganggap bahawa untuk tampil menarik, hanya sepatu tumit tinggi sahaja yang boleh memberikan aura sebegini. Sepatu atau sandal leper juga sebenarnya boleh memberikan aura menarik asalkan rekaan yang dipilih punya perincian yang menarik. Sebenarnya, bagi penulis sepatu leper sebegini harus ada di dala kereta setiap wanita sebagai persiapan sekiranya anda bergegas ke suatu tempat lain usai pulang kerja ataupun dari majlis, takkanlah masih gigih mahu menyarungkan sepatu tumit tinggi bukan? Jadi tampil lebih selesa bersama sepatu leper.
4.Statement shoes? Tahukah anda kasut yang punya rekaan ekstravaganza dan juga perincian yang menarik boleh menjadi penyelamat gaya saat anda malas hendak bersiap. Cukup dengan menyarungkan seluar jeans dan kemeja/tshirt polos kemudian gandingkannya bersama sepatu yang memiliki rekaan dan perincian menarik. Biarkan sepatu yang menjadi titik tumpu gaya anda.
TIP MEMBELI SEPATU
-Seelokknya pembelian sepatu dilakukan pada petang hari setelah anda banyak berjalan, kerana kaki akan kembang sedikit selepas banyak berjalan. Jadi anda boleh menentukan keselesaan kasut yang dibeli pada tahap optimum.
-Apabila di kedai kasut, pastikan anda menyarung kasut tersebut dan berjalan beberapa langkah di dalam kedai. Jika ada rasa kurang selesa elak beli kasut tersebut kerana jika lebih lama dipakai ia akan memburukkan keadaan kaki.
-Suka sepatu tumit tinggi tetapi mahu yang selesa? Mudah sahaja, pilih sepatu tumit tinggi yang bertumit blok besar. Semakin runcing tumit kasut semakin tidak selesa sepatu tersebut untuk digunakan bagi berjalan jauh.
-Kasut tumit tinggi yang berplatform lebih selesa untu dipakai kerana sudut bengkok kasut tersebut lebih rendah berbanding sepatu tumit tinggi yang tidak berplatform.
INSPIRASI TREND TERKINI
Pilihan dari pentas fesyen beberapa jenama dari pentas fesyen musim bunga/panas 2019 ini antara sepatu yang wajib ada buat wanita yang mementingkan gaya:
1.Sepatu tumit tinggi potongan but ini sesuai buat wanita yang gemar gaya ranggi. Molek digayakan bersama seluar jeans ataupun skirt pendek kulit.
2.Sepatu sandal open toe ini memiliki corak dan rona lantang, sesuai dijadikan titik tumpu gaya. Ia juga selesa kerana direka bertumit blok besar.
3.Kitten heels adalah satu contoh kasut bertumit yang selesa dipakai sepanjang hari.
4.Tampil penuh kelainan dengan rekaan sandal bertumit unik.
5.Sandal bertali halus ini cukup sesuai digayakan ke majlis-majlis glamor ataupun parti.
6.Tampil selesa dengan sandal leper, namun tidak melupakan gaya dengan perincian penuh panik dan diamante.
7.Sandal criss-cross antara trend yang patut dicuba. Ia menyerlahkan gaya yang moden dan chic.
8.Sandal dengan tali mengikat pergelangan kaki membuatkan anda lebih selesa berjalan.
This website uses cookies.