Ingatkan KOPI Sedap Untuk Minum Jer, Rupanya Terbaik Untuk Kecantikan Dalaman Wanita

Kalau dilanda stres aje, pasti terbayang menghirup kopi yang panas dengan aroma yang menyengat hidung. Mesti ramai yang macam ni dan anda boleh dikategorikan sebagai coffee lover. Kalau nak tahu kopi bukan sahaja boleh mengurangkan stres tapi terbaik untuk kecantikan.

Biji kopi bukan sahaja boleh dijadikan minuman tetapi sangat berguna untuk menjaga kecantikan kulit. Kaya dengan sumber antioksida, kopi boleh membantu untuk proses eksfoliasi kulit secara semula jadi. Jika diamalkan dengan konsisten kopi juga dapat membantu menyingkirkan sel kulit mati sehingga menjadikan kulit lebih berseri dan bermaya.

Topeng Wajah

Setiap pagi sebelum pergi kerja memakai topeng wajah pasti boleh mengembalikan keserian kulit dan kekal segar sepanjang hari. Kala mencampurkan kopi yang kaya dengan sumber antioksida ke dalam topeng wajah boleh membantu menyingkirkan segala toksin di bawah kulit wajah.

Resipi yang boleh dicuba untuk membuat topeng wajah berasaskan kopi adalah seperti; 2 sudu besar kopi yang dikisar, 2 sudu besar serbuk koko, 3 sudu besar susu segar dan 1 sudu besar madu. Campur semua bahan dan sapu ke seluruh wajah. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air yang bersih.

Skrub Wajah

Setiap wanita perlu melakukan eksfoliasi kulit dan proses eksfoliasi kulit yang terbaik adalah dengan menggunakan bahan-bahan yang natural. Skrub kopi boleh membantu menyingkirkan segala sel kulit mati untuk membenarkan pertumbuhan semula jadi sel kulit baharu. Pertumbuhan sel kulit baharu ini memberi efek kulit segar dan bermaya.

Resipi yang boleh dicuba untuk membuat skrub wajah berasaskan kopi adalah seperti; 3 sudu besar kopi yang dikisar, 1 sudu besar minyak zaitun dan 1 sudu besar gula perang. Campur semua bahan kering kemudian masukkan minyak zaitun mengikut kepekatan yang diingini. Masukkan gula perang dan urut lembut bahan yang telah dicampurkan tadi ke atas kulit wajah dengan pergerakan membulat. Akhir sekali bersihkan dengan air suam dan lap dengan tuala bersih.

Singkir Selulit

Apabila tubuh mengalami perubahan berat badan yang mendadak terutama selepas bersalin, secara tidak langsung kulit akan menjadi selulit. Selulit ini sukar untuk disingkirkan hanya dengan memakai losen atau krim pelembap. Namun, kopi boleh membantu untuk menghapuskan selulit yang memalukan itu. Khasiat yang terdapat dalam kopi dapat membantu menyingkirkan selulit dengan bantuan manfaat minyak kelapa dalam ramuan skrub tersebut.

Sumber bahan ini dapat menjadikan kulit lebih lembut, licin dan bebas selulit. Hanya dengan menggunakan 1 cawan biji kopi yang telah dikisar, ½ cawan gula kasar atau gula perang dan 1 cawan minyak kelapa. Campurkan ke semua bahan tersebut sehingga sebati. Selepas mandi atau membersihkan tubuh, sapu bahan skrub tadi dan urut lembut ke bahagian tubuh yang diingini. Pastikan bahagian tubuh tersebut basah dan bukan kering. Urut selama 60 saat setiap bahagian yang diingini. Kemudian bersihkan dengan air suam dan lap dengan tuala yang bersih. Ketika mempraktikkan skrub sebegini adalah disarankan untuk menutup lubang laluan air di dalam bilik air lebih-lebih lagi jika anda menggunakan tub mandi. Sebaik-baiknya sediakan plastik dan letakkan di atas lantai ketika anda mulakan proses menyapu skrub di bahagian tubuh. Langkah ini dapat membantu anda membersihkan lantai bilik mandi dengan mudah dan boleh mengelakkan daripada laluan air tersumbat.

Skrub Tubuh

Hanya dengan menggabungkan empat bahan semula jadi ini anda dapat melakukan transformasi pada kulit tubuh yang lebih sihat dan bermaya walaupun baharu pertama kali menggunakannya. Kandungan kafein yang terdapat dalam kopi dapat membantu menyingkirkan lebihan minyak yang tidak diingini pada kulit tubuh dan meninggalkan kulit yang lebih sempurna. Tekstur kasar yang terdapat pada kopi pula berupaya menyingkirkan sel-sel kulit mati yang berada di atas kulit lantas membenarkan pertumbuhan sel kulit baharu yang lebih segar.

Tidak perlu bersusah payah untuk menghasilkannya, cukup dengan mencampurkan ½ cawan kopi yang telah dikisar, ½ cawan gula melaka, ½ cawan minyak kelapa dan 1 sudu teh kulit kayu manis. Campurkan kesemua bahan di dalam bekas yang bersih dan gaul dengan sempurna. Sapu adunan eksfoliasi ini ke seluruh bahagian tubuh dan urut lembut dengan pergerakan yang membulat. Anda akan dapat membezakan kelembutan kulit wajah sebaik sahaja selepas dibersihkan dengan air yang suam dan dilapkan dengan tuala bersih. Simpan adunan ini ke dalam bekas kedap udara jika membuat dalam kuantiti yang banyak.

Tangan & Kaki

Kopi yang dikisar seperti yang diketahui mempunyai permukaan yang kasar dan boleh melelaskan kulit jika digunakan keterlaluan. Oleh itu, adunan yang dilakukan sendiri ini hanya boleh diaplikasikan ke atas bahagian tangan dan kaki sahaja. Ramuan ini boleh membantu menyingkirkan semua sel kulit mati di atas kulit dan menjadikan bahagian tangan dan kaki lebih lembut dan terpelihara.

Campurkan ½ cawan gula pasir, ½ cawan kopi yang dikisar, 1 sudu teh ekstrak kopi, 1 sudu teh ekstrak kacang hazel, ½ cawan minyak kacang badam dan 1 sudu teh ekstrak coklat. Di dalam bekas yang sederhana besar, masukkan gula dan kopi yang telah dikisar. Gaul dengan sempurna. Masukkan ekstrak kopi, kacang hazel ke dalam bekas dan gaul sebati. Perlahan-lahan masukkan minyak kacang badam ke dalam bekas dan kacau dengan konsisten. Campurkan minyak kacang badan mengikut kepekatan yang diingini. Sendukkan 1 sudu teh adunan skrub tadi dan sapukan ke bahagian tangan dan kaki. Urut lembut dengan pergerakan membulat sehingga anda tahu bila untuk berhenti. Kemudian bilas dengan air suam dan lap dengan tuala bersih agar minyak semula jadi tubuh akan terus kekal untuk menghasilkan kulit anjal secara semula jadi.

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan