Siapa yang tidak kenal dengan puteri kesayangan Datuk Redzuawan atau Chef Wan ini. Serina Redzuawan sememangnya seorang wanita cekal, berani dan serba boleh. Statusnya sebagai ibu tunggal sedikit pun tak menjadi halangan untuk dia terus melangkah ke hadapan demi kelangsungan hidup bersama anak-anaknya iaitu Tristan Tareef ,6 dan Isabella Saffiya, 5 yang kini sedang membesar.
Selain bergelar penerbit, pelakon dan pengacara televisyen, Serina juga kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan di syarikat miliknya iaitu Serina Food Empire (M) Sdn Bhd. Terbukti, Serina memiliki kesungguhan serta matlamat dalam kehidupan sebagai wanita sukses walaupun tanpa bantuan suami. Cukuplah bapa dan anak-anaknya menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan buat Serina untuk terus berdiri.
BERDIKARI
“Saya dah lali dengan detik susah senang sejak kecil. Papa banyak mengajar saya erti berdikari. Tiada benda senang di dunia ini. Ketika usia 17 tahun saya pernah bekerja di pasar borong di Selayang. Saya suka tengok orang berniaga dan mahu mencubanya.
Setiap hari pukul 3 pagi saya sudah ke pasar borong untuk menyiapkan barang jualan seperti kelapa dan keledek. Saya pernah menghantar keledek sebanyak 30 kg sampai badan pun sakit-sakit.
Pernah juga masuk hospital kerana kerja terlalu kuat. Saya bertahan selama empat bulan dan dibayar gaji harian. Selain itu, saya juga pernah bekerja di hotel sebagai operator,” kongsi Serina.
LIGAT USAHAKAN BISNES MAKANAN
“Fokus utama saya sekarang ialah perniagaan berasaskan makanan seperti homemade food yang saya masak sendiri di rumah dan hantar terus kepada pelanggan.
Antara menu yang saya sediakan ialah Asam Pedas Ikan Pari, Lemak Cili Padi Ketam, Sup Tulang dan Dendeng Berlado.
Saya turut mengusahakan Char Kuew Teow Basah di kiosk USJ Subang Jaya yang dilakukan sepanjang masa.
Para pelanggan juga boleh membuat tempahan menu untuk katering, majlis harijadi, hari raya dan sebagainya. Saya turut mengusahakan perniagaan makanan berasaskan durian.
Salah satunya aiskrim gelato diperbuat daripada isi durian D34. Saya mempunyai team terdiri daripada chef berpengalaman yang sama-sama melakukan R&D. Alhamdulillah sambutannya sangat luar biasa,” kongsi Serina.
SOKONGAN PADU DARIPADA BAPA
“Papa menyokong apa saja produk yang saya keluarkan. Papa lah orang pertama yang akan beli. Nasihat Papa, kalau nak buat biar sampai berjaya. Jangan mudah putus asa, usah berhenti dalam mencari rezeki.
Keluar dari zon selesa dan belajar untuk bangkit daripada kesilapan. Itulah kata-kata hikmah daripada Papa yang saya semat sebagai jati diri. Tujuan utama saya mengusahakan perniagaan makanan bagi membantu golongan ibu tunggal dan tidak berkemampuan.
Saya amat memahami perasaan para ibu tunggal di luar sana yang bertungkus lumus mencari duit. Apa yang saya lakukan ialah membantu memasarkan produk-produk mereka menggunakan jenama Selina Simply Delicious,” kongsinya bersemangat.
Serina pernah dijemput oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai jurucakap bagi menginspirasi kaum wanita untuk sukses. Serina berharap agar empayar perniagaannya itu semakin berkembang ke tahap yang lebih tinggi di samping terus dapat membantu dan berkongsi rezeki bersama golongan ibu tunggal.
Kredit foto: @serinaredzuawan
This website uses cookies.