Bagaikan tidak lengkap ceruk dapur anda tanpa bahan utama ini. Sama ada untuk menyediakan sajian berbentuk kuih, biskut mahupun kek, ramuan tepung merupakan item ‘wajib’ yang harus ada dalam rak dapur anda.
Meskipun terdapat pelbagai jenis tepung yang dijual di pasaran namun masih ada yang kurang arif tentang ciri dan fungsinya. Ayuh, kenali beberapa jenis tepung dan kegunaannya di samping meneliti tip berguna semasa membeli tepung.
JENIS-JENIS TEPUNG DI PASARAN
Sebelum membuat sesuatu makanan perkara utama yang harus diketahui adalah fungsi tepung-tepung tersebut. Pastikan anda mengguna tepung yang sesuai dan tepat agar adunan tidak terbantut, rosak dan sebagainya.
- Tepung serba guna
Sesuai digunakan untuk bermacam jenis makanan. Lazimnya, ia dikenali sebagai tepung gandum kegunaan am dan mudah didapati di pasaran. Memiliki kandungan protein sederhana.
- Tepung berprotein tinggi
Juga dikenali sebagai tepung roti kerana kandungan protein yang tinggi selain gluten di dalam tepung memberikan kekenyalan dan tekstur terutamanya selepas diadun bersama yis. Sesuai untuk membuat produk pastri termasuk donat.
- Tepung berprotein rendah
Dikenali sebagai tepung kek atau Superfine kerana mengandungi protein rendah, lebih ringan dan tidak memiliki kekenyalan pada ramuan yang dihasilkan. Antara makanan yang diperbuat daripada tepung ini adalah kek, crust dan pai.
- Tepung naik sendiri
Lazimnya digunakan untuk membuat kek tetapi kandungan tepungnya telah di campur bersama serbuk penaik dan soda bikarbonat. Memiliki tekstur tepung yang halus.
- Tepung biskut
Atau juga dikenali sebagai red rose kerana kandungan di dalamnya telah di campur dengan tepung jagung dan bahan perangup. Ia lebih halus dan ringan serta sesuai untuk membuat pelbagai hidangan pastri seperti biskut.
- Tepung ubi
Umum mengenalinya sebagai tepung kanji yang membuatkan adunan lebih kenyal. Jika tidak mempunyai tepung ubi, boleh diganti bersama tepung sagu.
- Tepung jagung
Fungsinya adalah untuk memekatkan kuah atau adunan. Paling nyata, ia berbeza daripada penggunaan tepung ubi. Diperbuat daripada jagung manis dan berwarna kuning terang atau gelap.
- Tepung optima
Sejenis tepung yang mengandungi gula atau yang telah siap ramuannya untuk membuat kek span. Hanya perlu campurkan bersama telur, air, mentega dan dipukul sebati.
TIP MEMILIH & MENGGUNAKAN TEPUNG
- Perhatikan warna tepung terlebih dahulu misalnya melihat kepada warnanya, bersih, tidak berbau dan tidak kering apabila dipegang
- Walau pun memiliki tekstur yang agak sama pastikan anda membaca label tertera selain mengetahui jenis tepung yang dimahukan
- Ayak tepung sebelum digunakan bagi menyingkir kotoran dan bendasing yang terlekat pada tepung
- Disarankan juga agar menjemur tepung di bawah matahari atau meletakkannya di dalam ketuhar dengan suhu sedikit panas supaya dapat mengatasi faktor kelembapan pada tepung dan tidak mudah rosak
- Pastikan bungkusan tepung dibalut kemas dan sempurna selepas digunakan.