Sempena sambutan Hari Polis ke-214 hari ini, Nona terpanggil untuk mengimbau kisah Fokus bersama DSP Noorhamasiren yang kini baru saja menggalas jawatan baru sebagai DSP Kolaborasi Agensi Bukan Kerajaan di Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Bukit Aman.
Sebagai salah seorang anggota PDRM, frontliner hebat ini telah banyak mencurahkan khidmat bakti, komitmen mahupun pengorbanan dalam memastikan kedaulatan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin. Apatah lagi dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lalu.
DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook sebelum ini menggalas jawatan Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita & Kanak-Kanak) di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.
Namun bermula Mac, beliau telah bertukar ke Bukit Aman dengan memegang portfolio yang lebih besar dan mencabar.
“Tugas saya kini lebih kepada pencegahan jenayah. Objektif Jabatan adalah untuk merangka strategi serta melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan,” ujar wanita kacukan Melayu Siam yang mesra disapa Puan Siren itu.
Temu bual Nona dengan Puan Siren yang viral dengan gelaran Akak Polis ini antara kenangan terindah kami tahun lepas! Jom tonton…
Perbualan kami tentang tugasannya sepanjang Ops COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu cukup meniupkan inspirasi, sekaligus membuat penulis tambah kagum dengan keberanian wirawati negara tersebut.
“Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, disebabkan situasi ancaman wabak COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan. Jadi PDRM berperanan sebagai agensi yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemik tersebut.
Objektif kami jelas untuk menyedarkan masyarakat bahaya COVID-19 dan memastikan PKP dipatuhi. Operasi pasukan saya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga orang APR, untuk memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang awam.
Pendekatan yang kami gunakan sebenarnya lebih kepada memberi nasihat secara berhemah kepada orang ramai yang berkumpul, supaya beredar dan mematuhi PKP yang dikuat kuasakan,” cerita Puan Siren panjang lebar.
KETEGASAN
Di sebalik perwatakan tegas beliau, Puan Siren sebenarnya seorang yang amat komited dalam tugas, berdisiplin tinggi dan berintegriti kerana mereka membawa nama pasukan PDRM.
“Wajah saya mungkin nampak garang tapi niat hanya mahu memberi teguran, nasihat dan jika perlu mengeluarkan kompaun serta tangkapan individu yang melanggar undang-undang.
Khususnya ketika Ops COVID-19, kami perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu yang mengingkari PKPB dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta ini.
Bagi menangani perkara ini, tindakan penguatkuasaan mengkompaun kesalahan terhadap mana-mana orang yang mengingkari PKPB akan diambil sebagaimana kuasa yang diberikan di bawah seksyen 22 akta yang sama.”
“Tidak dinafikan sebagai frontliners, kebimbangan terhadap penyakit sudah tentu ada kerana kami sentiasa keluar bertemu masyarakat. Begitu juga apabila menjalankan tugas, rasa bimbang terhadap keselamatan keluarga serta terhadap setiap orang yang ditahan kerana tidak mengetahui latar belakang mereka.
Cabaran lain adalah dari segi menguruskan keluarga kerana saya perlu meninggalkan suami dan anak-anak pada bulan Ramadan untuk menjalankan tugas. Pernah juga bersahur dan berbuka di tepi jalan masa tu.
Sebenarnya sebagai pegawai polis, saya berjumpa pelbagai karakter manusia. Mahu atau tidak, saya mesti melengkapkan diri dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi.
Setakat sakit-sakit ringan macam pening kepala, selesema atau batuk, itu perkara biasa. Ada kalanya bertemu orang susah sampai tersentuh hati dan perasaan, tapi demi tugas diteruskan juga,” luah Puan Siren.
Menyentuh secara ringkas latar belakang Puan Siren, wanita ini mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor Pelatih. Selepas tamat latihan, beliau diarahkan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kajang sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Seksual.
Kemudian beliau bertugas sebagai Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum berpindah ke Bukit Aman baru-baru ini.
“Bulan Oktober 2020 menandakan tahun ke-20 usia perkhidmatan saya. Alhamdulilah keluarga amat memahami tugas dan kerjaya ini. Sebenarnya penglibatan saya dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah, bukanlah satu perkara baru.
Tetapi operasi kali ini berbeza sebagai Pegawai Pemantauan dan Penguatkuasaan Ops COVID-19, yang mana kami berlawan dengan sejenis virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sememangnya menjadi ancaman kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Setiap kali keluar bertugas, perasaan bimbang dan takut sememangnya ada, kerana saya mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan kemungkinan kita menjadi ejen pembawa kuman tersebut kepada ahli keluarga sendiri.
Mujurlah keluarga memahami dan selalu menasihati saya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan seperti yang telah dinasihatkan oleh KKM.
Soal perlindungan diri menjadi keutamaan kami. Kami perlu memakai sut PPE, mask, sarung tangan dan mengamalkan penggunaan hand sanitizer yang sentiasa berada di poket saya.”
Kerjaya beruniform merupakan cita-cita Puan Siren sejak kecil. Ceritanya, sejak di bangku sekolah lagi beliau telah dilantik sebagai ketua darjah, dan di peringkat sekolah menengah dilantik sebagai ketua tingkatan dan pengawas, juga kerap menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis.
Daripada aktiviti kepimpinan yang dijalankan, minat beliau terhadap imej, ketrampilan, ketegasan dan disiplin anggota beruniform cukup menarik minatnya.
“Misi saya sekarang dalam Jabatan amat jelas iaitu ingin mencegah jenayah secara holistikke arah pengwujudan komuniti sejahtera. Kami sebagai agensi penguatkuasa utama yang berintegriti akan selalu kompeten dan komited bekerja untuk masyarakat,” akhiri Puan Siren sambil tersenyum.
Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami buat seluruh warga kerja PDRM. Terima kasih di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan selama ini. Polis dan masyarakat berpisah tiada!
This website uses cookies.