Nama The Picnic Table by Simply Sandwiches pastinya tidak asing lagi bagi pengguna laman Instagram. Pertama kali melangkah masuk ke kafe yang berkonsepkan perkelahan ini seakan dekat di jiwa. Gaya hiasan yang comel dan santai ini memberikan ruang keselesaan untuk keluarga bersantai sambil menikmati hidangan istimewa yang menjadi trademark mereka.
Melangkah masuk ke dalam kafe, pandangan mata pelanggan pastinya akan tertumpu di satu bahagian khas untuk pelanggan duduk santai di atas kain yang dibentang di atas rumput tiruan. Ia seolah- olah memberi mood suasana berkelah di taman yang indah tetapi tanpa gangguan cuaca sama ada terlalu panas dengan terik matahari mahupun hujan.
Tidak lengkap perkelahan di dalam kafe ini tanpa menu wajib berkelah seperti aneka sandwic, pasta dan sebagainya. Malah dekorasi hiasan yang ditampilkan juga menggambarkan suasana berkelah yang sering digambarkan di kaca televisyen yang lengkap dengan pelbagai menu istimewa dan boleh ditambah dengan suasana romantik apabila sebuah gitar turut disediakan untuk anda bersantai bersama rakan-rakan dalam suasana perkelahan.
Idea pembukaan kafe berkonsepkan perkelahan ini dicetuskan hasil gabungan idea Shaheera Djaafar dan rakan kongsinya, Sharin Mohamed. Menurut Shaheera, mereka tertarik dengan budaya masyarakat di Australia yang gemar berkelah di taman atau di pantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Sebaik tamat melanjutkan pelajaran di sana,Shaheera dan Shahrin sepakat membawa budaya tersebut dengan membuka The Picnic Table pada tahun 2014.
“Kami tertarik dengan budaya berkelah bukan sahaja di tepi pantai, malah di taman-taman juga. Apabila melihat suasana tersebut begitu nyaman dan menyeronokkan, terdetik di hati kami mengapa tidak konsep ini di bawa pulang ke tanah air dan dijadikan sebagai cara untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun apabila mengenangkan keadaan cuaca di Malaysia, kami ubah konsep berkelah ke dalam bangunan tanpa gangguan cuaca tetapi masih mengekalkan konsep berkelah yang menyeronokkan,” ujar Shaheera lagi.
“Di The Picnic Table, kami turut menyediakan kemudahan menyediakan peralatan berkelah di luar mengikut keperluan dan bajet pelanggan. Kami memastikan impian pelanggan dapat direalisasikan kerana ia merupakan antara kenangan manis yang kekal dalam ingat masing-masing.
“Selain menyediakan kelengkapan berkelah di luar, kami turut menyediakan konsep berpiknik di dalam kafe. Suasananya cukup selesa serta menghampiri suasana berpiknik sebenar untuk kepuasan pelanggan.” Sambung Shaheera lagi.
The Picnic Table turut menyediakan hampir kesemua sos di dalam hidangan tidak kira sandwic mahupun pasta bagi mengelakkan bahan pengawet yang tidak baik untuk kesihatan digunakan di dalam hidangan. Antara hidangan yang menjadi signature dish termasuklah Spageti Aglio Olio Salami Ayam, sandwich soft shell crab dan nachos yang dimakan bersama sos keju atau salsa.
This website uses cookies.