Sekalung tahniah buat anak kepada selebriti, Mustapha Kamal dan Susan Manen atas kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Pastinya sebagai ibu bapa, pelakon yang sinonim dengan watak bangsawan ‘Megah Holding’ berkenaan antara individu paling bahagia menyaksikan anak tersayang tamat pengajian di menara gading.
Berkongsi kegembiraan di media sosial, Mustapha Kamal meluahkan rasa syukur dengan pencapaian Sabella Qawiema.
“Assalamualaikum Graduasi Universiti Malaya semua. Anda adalah aset negara, anda adalah cita-cita negara, anda adalah harapan negara, anda adalah masa depan negara.
Tahniah Sabella, first class honours. Tahniah. Your family loves you.”
Selain aktor kacak itu, isteri tercinta turut tidak ketinggalan menzahirkan rasa bangga terhadap puteri sulung. Sambil berseloroh, Susan berkata, “Congratulations Sabell. We love you. Ni baru anak sulung pewaris Megah Holding.”
Tambahnya lagi, “It was always my dream to study in UM but my baby girl is living it. Allah had other plans for me. I am grateful and enjoying the moment.”
Sementara itu, Sabella turut berterima kasih atas sokongan daripada keluarga tersayang terhadapnya selama ini.
“To mummy and papa, thank you for always believing in me and supporting me in every decision that I make. To Qayyiem, Salsabil and Qaddiem (even though you didn’t come but I still love you), I love you three very much and I thank Allah every day for giving me 3 wonderful siblings and I will continue to look out for you and treat you every time I make more money.”
Sabella tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Itali dan Linguistik kelas pertama, UM.
Selain Sabella, Mustapha Kamal dan Susan Manen turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Aulia Qayyiem, Naqli Qaddiem dan Salsabil Qur’ani.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/cantik-persis-ibu-wajah-anak-pelakon-aleza-shadan-jadi-tumpuan-ceburi-bidang-penerbangan/
Pelajar Cemerlang 11A Terima Lebih 10 Tawaran Pengajian Termasuk Biasiswa
Lebih 10 tawaran pengajian dan biasiswa diterima oleh pelajar cemerlang 11A, Muhammad Syahril Saidi setakat ini.
Menurut Muhammad Syahril yang kini berusia 18 tahun, tawaran itu antaranya daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kerajaan negeri.
“Beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya juga ada menawarkan saya untuk menyambung pengajian di tempat mereka.
“Tak sangka terlalu banyak tetapi alhamdulillah dan saya belum lagi membuat apa-apa keputusan untuk memilih yang mana,” kata Muhammad Syahril ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang ini baharu kematian ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, akibat angin ahmar pada Sabtu lalu, dua hari selepas menerima khabar gembira keputusan SPM.
“Sebelum ini saya berhasrat menyambung pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok bagi mendapatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan berada lebih dekat untuk menjaga ibu yang sakit.
“Apa-apa pun saya akan berbincang dengan keluarga dan guru selepas ini bagi memilih tawaran yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kejayaan yang diraih berkat pengorbanan arwah ibu, adik-beradik dan ibu bapa saudaranya yang tidak henti-henti mendorongnya supaya menuntut ilmu.
“Mereka yang sepatutnya diraikan. Saya amat berterima kasih kerana merekalah yang membantu menguruskan ibu sepenuhnya ketika saya bersekolah.
“Saya tidak mampu untuk menghadapi semua ini seorang diri dan amat menghargainya,” ujarnya.
Kisah Muhammad Syahril tular selepas meraih kejayaan cemerlang namun tidak dapat ke sekolah untuk mengambil keputusan kerana menjaga ibunya.
Bahkan bakti Muhammad Syahril terhadap syurganya itu terus menarik perhatian umum apabila dia sendiri mengimamkan solat jenazah Allahyarham ibunya.
Sumber: Sinar Harian
Lahir 1 Syawal, Pasangan KEMBAR Nik Aidil Maria & Nik Aidil Marina Sambut Hari Lahir Dua Kali
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Bekas Aktres, Pengacara Cantik Bertanding Di PRN Melaka, Personaliti Humble Datuk Dira Abu Zahar Curi Perhatian
Nama Datuk Dira Abu Zahar bukan lagi asing di kalangan penggiat seni Malaysia. Selain bergelar pelakon, pengacara dan pengarah, wanita jelita berusia 37 tahun itu juga terkenal dengan hobinya menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Namun semenjak menceburi bidang politik secara serius, Datuk Dira atau nama sebenarnya Khaidiriah Abu Zahar perlahan-lahan berundur dari lensa kamera. Beliau lebih senang menyantuni masyarakat dan mengabadikan masanya untuk aktiviti kebajikan.
Barangkali darah pemimpin yang mengalir dalam dirinya membuatkan Datuk Dira serasi dengan kerjaya politik. Beliau merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka ke-8, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Haji Isnin.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari UiTM ini pernah menyatakan bahawa beliau ingin terus beristiqamah dalam parti politik (UMNO) sambil menyifatkan selesa dengan kerjaya sekarang iaitu berniaga dan berpolitik.
Sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin, kini Datuk Dira menyahut cabaran bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung esok di bawah tiket Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya Khaidhirah Abu Zahar dengan rasa rendah diri menawarkan diri bertanding sebagai Calon Barisan Nasional bagi N.25 DUN Rim, Calon No. 3.
Sesungguhnya DUN Rim, Jasin ini begitu dekat di hati saya dan kampung saya membesar di sini.” Datuk Dira Abu Zahar
MERENDAH DIRI
Di sebalik status Datuk, wanita ini sebenarnya seorang yang sangat merendah diri dan humble. Terlihat daripada pakaian dan tutur katanya yang sopan, beliau tidak kekok berbaju kurung dan menaiki motosikal seperti masyarakat setempat yang lain.
Ciri-ciri kepimpinan Datuk Dira Abu Zahar itu mengingatkan kita kepada jasa bapanya yang sentiasa disenangi rakyat.
Tambahnya, beliau menggagahkan diri terus berkecimpung dalam dunia politik demi mengenang pengorbanan Allahyarham bapanya yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.
“Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat.
Banyak yang telah dilakukan oleh pemimpin BN terdahulu dan menjadikan Melaka sebuah negeri maju. Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan semula. Bukan untuk yang lain, tetapi untuk kita semua.
Dengan lafaz bismillah, saya memohon agar pengundi memberikan kepercayaan dan mandat kepada saya untuk mewakili anda semua.” Datuk Dira Abu Zahar.
PRN Melaka menyaksikan persaingan sengit apabila 112 calon disahkan bertanding untuk merebut 28 kerusi DUN pada 20 November.
Dira yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berdepan dua calon lain iaitu B. Prasant Kumar mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Azalina Abdul Rahman yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Sama-sama kita nantikan keputusan PRN Melaka. Semoga maju jaya buat Datuk Dira Abu Zahar!
Foto: Facebook Dira Abu Zahar