“Ini Langkah Pertama Kami Untuk Hidup Bersama” – YUNA Sifatkan Tunangnya LELAKI TERBAIK Pernah Ditemui

Sempurnanya sifatmu, tulusnya hatimu, jujurnya niatmu, tingginya kesabaranmu…

Menamatkan segala gosip dan spekulasi liar berkaitan hubungannya dengan jejaka tampan, Adam Sinclair, Yuna hari ini mengumumkan berita pertunangan mereka yang diadakan secara tertutup di Shah Alam.

Majlis yang dilangsungkan pada hari Sabtu, 5 Ogos 2017 di kediaman ibu bapa Yuna tersebut hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan sahabat handai mereka.

Mengenakan sepasang persalinan tunang rekaan Hatta Dolmat, gaya Yuna dan Adam pada hari bersejarah ini terlihat begitu elegan. Pelamin majlis berkonsepkan bunga segar dalam rona pastel dihias oleh perunding perkahwinan tersohor, Rekateemor manakala hantaran serta bunga tangannya digubah oleh The Calla.

Yuna atau nama penuhnya Yunalis Dato’ Mat Zara’ai kini berusia 30 tahun dan merupakan anak tunggal kepada pasangan Dato’ Mat Zara’ai dan Datin Anum Fawzia Abd Wahab. Berpengkalan di Los Angeles, beliau cukup disegani sebagai seorang penyanyi, penulis lirik dan usahawan anak Malaysia yang berjaya.

Sementara itu, Adam Yousof Mohamed Sinclair pula bekerja sebagai pengarah filem dan merupakan adik bongsu kepada pelakon Ashraf Sinclair dan penyampai radio/hos TV, Aishah Sinclar. Adam berusia 32 tahun dan dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi.

Menurut sumber, pasangan ini berkenalan di set rakaman sebuah iklan televisyen pada awal tahun 2013. Bermula sebagai rakan biasa, Yuna dan Adam akhirnya semakin rapat dan mula merancang untuk memeterai ikatan perkahwinan.

Selepas berjumpa keluarga masing-masing, rancangan untuk bertunang pun bermula selepas upacara merisik pada 27 Mac 2017 lalu.

“Syukur alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib. Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” kata Yuna dalam nada teruja.

Tambah beliau lagi, “Ini merupakan momen yang sangat manis bagi saya, kerana ini langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang sangat penyayang dan baik hati

seperti Adam.

Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya, dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya serta buat saya senyum dan ketawa. Saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, insyaAllah,” kata gadis manis kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Kemuncak majlis pernikahan mereka dijangkakan berlangsung pada Januari 2018 ini. Norzalina Mohd Alias

Kredit: Foto Zel Atif

Share
Published by
Norzalina