“Ini Satu-Satunya Tubuh Yang Ada, Kena Jaga & Sayang!” JENNIFER ANISTON Cantik Di Usia 50 Tahun!

Suka dengan cara Jennifer Aniston menghadapi pertanyaan para media apabila berbicara tentang umur. Meskipun menyedari usianya yang sudah mencecah separuh abad, selebriti kesayangan Hollywood ini tidak pernah menganggap ia satu masalah. Bahkan, dia bersikap realistik dan menyerlahkan kecantikan dengan cara tersendiri.

Saat kebanyakan bintang wanita Hollywood lain menjadikan pembedahan sebagai ‘teman setia’ apabila usia mencecah 50 tahun… Jennifer bagaimana pun lebih selesa dengan pendekatan cantik semula jadi. Sejujurnya, dengan bentuk fizikal dan rupa paras yang dimiliki bekas isteri Brad Pitt ini ramai yang tidak menyangka dia sudah berusia 50 tahun.

Bercakap kepada InStyle Magazine baru-baru ini, Jennifer yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 pada Februari lalu dengan tenang memberitahu, “Well, that number. Saya tak tahu hendak cakap apa sebab saya tak rasa apa-apa perubahan (meningkat usia). Semuanya baik. Saya rasa sangat hebat.”

Bercakap tentang penampilan dan kecantikan seseorang yang sudah berusia bukanlah satu perkara yang menyenangkan bagi Jennifer. Ujarnya lagi, “Agak pelik bila tiba-tiba ada yang menghantar pesanan kepada saya dengan kata-kata seperti ‘Anda kelihatan mengagumkan dengan usia sekarang’.”

Bekas pelakon drama bersiri popular ‘Friends’ ini mendedahkan biarpun dia bersikap terbuka dengan pertambahan usia saban tahun, namun kewujudan rambut putih atau uban ada kalanya membuatkan dia rasa kurang yakin. “Saya tak mampu berbohong. Saya memang tak suka rambut yang sudah beruban.”

Wajah Jennifer Aniston ketika muda
Jennifer di samping selebriti JLo yang juga berusia 50 tahun

Iyalah, selama ini rambut kuning keemasan Jennifer berjaya menawan jutaan peminat di Hollywood dan serata dunia. Jadi bila warna rambut sudah berubah tentunya ia memberi kesan kepada jelitawan ini.

Bagaimana pun, Jennifer sangat bertuah kerana memiliki gen cantik semula jadi. Memetik kenyataannya kepada Yahoo! Beauty pada tahun 2014, “Ayah saya ialah 100% keturunan Greek. Walau sudah berusia 81 tahun tapi kedutan di wajahnya hampir tak kelihatan. Sama juga seperti mendiang nenek yang meninggal dunia pada umur 95 tahun.”

Pernah tersenarai di antara World’s Most Beautiful Woman dari People Magazine pada tahun 2016, Jennifer tanpa berselindung menjelaskan tiga tip awet muda yang diamalkan ialah minum banyak air kosong, mendapatkan tidur yang cukup dan pakai krim pelindung sinar UV matahari.

Berpegang kepada filsuf kecantikan tersendiri… Jennifer berkata, “Sayangi diri sendiri dan perlu ada rasa sayang dengan apa yang dianugerahkan kepada anda iaitu dengan cara menghargai dan menjaga kurniaan tersebut. Sebab ini sajalah tubuh yang diberi dan memastikan ia dalam keadaan baik dengan mengambil pemakanan sihat serta rehat mencukupi.”

 

 

Sumber: Evoke & Insider

Share
Published by
Suzi