Tumpang gembira dengan kejayaan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut baru-baru ini. Selepas bergelar usahawan muslimah dan menerbitkan single dakwah tahun lepas… tahun ini Farha kembali menyemarakkan semangat cintakan Al-Quran. Sampaikan mualaf yang juga personaliti Youtube terkenal negara itu, Daud Kim pun teruja hendak belajar tarannum dengan gadis kebanggaan Malaysia ini. Kagum!
Ketika menghubungi Farha, gadis berusia 20 tahun ini memberitahu dia dan ibunya berangkat ke Korea Selatan minggu lalu dan berada di sana selama enam hari bagi menjayakan sebuah travel log. Berkongsi momen menarik dengan masyarakat di laman media sosial, Farha turut tidak melepaskan peluang mengenali budaya Korea selain mengenakan persalinan tradisional. Dengan raut wajah Farha, ramai mengatakan gadis ini tidak ubah seperti wanita di sana.
Berkesempatan bertemu dengan Daud Kim, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan anak kelahiran Selangor ini kepada pembaca Nona. “Bagi saya, dia seorang yang memiliki
peribadi yang sangat bagus. Ketekunan dia mempelajari Islam sangat menyentuh hati. Sepanjang pertemuan bahkan dalam kereta sekalipun dia rajin hafal surah Al-Fatihah. Katanya, dia nak tarik lebih ramai orang untuk minat Islam.”
Menerusi perkongsian di Instagram, Farha ada memuat naik video dia dan Daud Kim bertarannum surah Al-Asr. Ujar Farha lagi, selain surah tersebut ada beberapa lagi surah pendek yang dipelajari mualaf Korea berkenaan.
Ditanya perancangan Farha selepas berjaya berkongsi ilmu tarannum dengan personaliti Youtube Korea, anak perempuan Allahyarham Haji Panut dan Hajah Jaliah Haji Simin ini sudah pun merencana hala tujunya tahun ini. “Rancangan untuk tahun 2020 ini saya nak mendalami ilmu Quran dan berjumpa lebih ramai ulama. Selain mahu berkunjung ke beberapa negara lagi dengan harapan semoga lebih ramai lagi meminati Quran dan mengajak golongan anak-anak muda supaya bangkit demi Islam.”
Lebih sembilan bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai tahun lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian Farha. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl
Farha Looks dah banyakOgos tahun lalu juga, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac tahun lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin, Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.
“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah
yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah. Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula
pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya. Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
This website uses cookies.