Inspirasi

“InsyaAllah, One Day!” Reaksi Pengasas Huda Beauty Ini Belajar Pakai Hijab Raih 5 Juta Tontonan

Ikut tersenyum tengok gaya dan reaksi teruja pengasas Huda Beauty iaitu Huda Kattan belajar pakai hijab. Baru-baru ini, usahawan kosmetik keturunan Iraq tersebut mengabadikan momen bertemu pempengaruh hijab media terkenal, Maryam Malik mengajarnya memakai tudung.

Menerusi video itu kelihatan Maryam memberi dua pilihan warna tudung kepada Huda dan ibu seorang anak tersebut memilih rona rosewood. Sehingga kini, video berkenaan mencecah lima juta tontonan!

Gembira dengan pertemuan itu, Huda turut memuat naik kenangan istimewa tersebut di akaun media sosial peribadi dan akaun rasmi Huda Beauty.

Dia yang mempunyai lebih empat juta followers menerima banyak komen positif dan mendoakan agar usahawan cantik ini akan tampil dengan imej seumpama itu satu hari nanti.

Malah, Huda yang teruja melihat dirinya berhijab tersenyum gembira dan berkali-kali menyatakan dia menyukai penampilan sedemikian. Bahkan ayat ‘InsyaAllah, one day,’ turut terpacul dari bibirnya.

Meskipun belum cukup sempurna dari segi penampilan seorang wanita muslimah yang menutup aurat sepenuhnya namun peminat mengharapkan agar ‘usaha’ kecil ini sekurang-kurangnya dapat membuka hati Huda untuk bertudung kelak.

Pengasas Huda Beauty ini bukan hanya menjadi bualan masyarakat dunia kerana kejayaannya mengusahakan produk kosmetik. Bahkan kagum dengan semangat dan komitmen Huda menyokong dan membela nasib rakyat di Gaza.

Dia lantang menyuarakan pendapat dan membantu saudara Islam khususnya di bumi anbia tersebut dan secara terang-terangan menyatakan tidak kisah dikecam atau produk kosmetiknya diboikot.

Sebaliknya Huda terus berani menggunakan medium media sosial miliknya untuk berkongsi video dan situasi terkini menimpa saudara seagama di sana sehingga ke hari ini.

Meniti usia 41 tahun, Huda dilaporkan berhijrah ke Boston ketika dia baru berumur dua tahun.

Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan mewarisi keturunan Iraq daripada kedua ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi di samping mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.

Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya Bernama Alya dan dia mempunyai seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.

Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”

Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi makeup artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya.

Artikel https://www.nona.my/tak-peduli-jika-diboikot-pemilik-huda-beauty-keturunan-iraq-ini-lantang-bela-nasib-palestin/

Rangkaian kosmetik Huda Beauty kini mempunyai lebih 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta.

Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.

 

Share
Published by
Suzi