Iras Arwah Bapa, Anak Harun Salim Bachik DANIAL AL-RASHID Menang Bergaya Di Batu 3 Rupanya Bukan Calang Orang!

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) masih diperkatakan sehingga kini walaupun keputusannya sudah kita ketahui Sabtu lepas. Antara kerusi panas yang menjadi tumpuan sudah semestinya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Menang bergaya, calon Pakatan Harapan (PH), Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid menang dengan majoriti 3,382 undi mengalahkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Namun siapakah Danial Al-Rashid ini dan kenapa beliau mudah menumpaskan pesaing-pesaingnya.

Namun siapa menyangka anak kepada pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik ini memilih untuk tidak menyertai industri hiburan sebaliknya memilih bidang politik.

Dikenali sebagai Danial Al-Rashid, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor berusia 37 tahun ini merupakan bekas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama dua tahun malah turut terbabit dalam pentadbiran kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang korporat strategik, politik, juga penglibatan sebagai Ketua Jabatan menggerakkan Inisiatif Anak Istimewa Selangor, menerusi jawatankuasa itu, Danial ditugaskan sebagai Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Ketua Jabatan Warisan Anak Selangor yang menguruskan program bantuan dan pembangunan anak-anak istimewa serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih menarik perhatian apabila dia nekad melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam dalam jurusan Pendidikan Khas demi keprihatinan terhadap golongan istimewa di Selangor.

Mengulas lanjut, dia mengaku arwah bapanya sangat menyokong penglibatannya dalam politik walaupun tidak terbabit dalam bidang seni seperti adik-beradik lain, dan tidak mengharapkan populariti arwah bapanya sebagai batu loncatan untuk dirinya bergelumang dalam bidang politik.

“Saya minat politik sejak di universiti. Arwah ayah memang tahu dan memberi sokongan penuh. Dia tak pernah halang saya nak sertai politik,” jelasnya.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

Share
Published by
Wan Firdaus