Kisahnya cukup menyentuh hati dan memberi pengajaran buat seluruh wanita. Ia membuktikan bahawa wanita bukanlah makhluk Tuhan yang selamanya lemah.
Tidak mahu terus meratapi kesedihan serta nasib malang yang menimpa dirinya, wanita ini bangkit semula bersama semangat yang cukup luar biasa biarpun terpaksa berkerusi roda.
Dialah wanita besi Pakistan, Muniba Mazari yang merupakan seorang pelukis, aktivis, hos televisyen serta motivator. Muniba merupakan graduan dalam jurusan Seni Halus.
Wanita berusia 31 tahun ini dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat konservatif dan berkahwin pada usia muda iaitu ketika usianya 18 tahun namun di sebalik perkahwinan itu ada kisah tersendiri sehingga dia tidak pernah merasa bahagia.
TRAGIK
Selepas dua tahun perkahwinan, bermulalah episod duka dalam kehidupannya. Muniba terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang sangat tragik. Ketika kejadian suaminya mengantuk sehingga menyebabkan kereta yang mereka naiki terjatuh ke dalam parit.
Ads
Semasa dalam keadaan cemas itu, suaminya sempat melompat keluar dan terselamat manakala Muniba tersepit di dalam kereta serta gagal menyelamatkan diri. Apa yang terlintas di fikirannya saat itu hanyalah kematian! Muniba mengalami kecederaan yang sangat serius. Tulang bahu, tulang dada dan tulang belakangnya patah.
Kesan kecederaan itu Muniba bukan sahaja disahkan tidak dapat berjalan seperti sediakala bahkan peluang untuk memiliki zuriat juga musnah! Luluh hatinya tatkala mendengar kenyataan pahit itu daripada doktor yang merawatnya. Kemalangan itu mengubah kehidupannya secara total.
BANGKIT
Ads
Berkat sokongan doktor serta insan-insan yang prihatin, akhirnya Muniba bangkit dengan semangat baharu lantas menjadi inspirasi buat seluruh wanita. Secara perlahan-lahan, Muniba berjaya mengatasi ketakutannya termasuk perceraian.
Muniba kini bahagia bersama anak angkatnya, Neil berusia 9 tahun. Muniba juga meneruskan minatnya dalam seni lukis kerana itulah terapi jiwa buat dirinya untuk meneruskan kehidupan.
Muniba berjaya memberi kesedaran sekaligus membuka mata masyarakat supaya menghargai diri sendiri. Dalam setiap sesi motivasinya, Muniba sering menyatakan di sebalik ketakutan dan kebimbangan kadangkala manusia terlupa dengan keistimewaan yang Tuhan kurniakan.
Ads
“Kehidupan ini akan sentiasa ada dugaannya di mana-mana, pada bila-bila masa namun apa yang pasti semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Bagaimana untuk menghadapi, mengatasinya bahkan bagaimana untuk mengubah sesuatu kekurangan kepada kelebihan.
Kita juga tidak boleh menghakimi penderitaan orang lain kerana kekuatan itu pasti akan kembali kepada diri kita,” ungkap Muniba.
Menurutnya, apa yang boleh kita lakukan ialah membawa cerita inspirasi buat masyarakat. Apa yang penting bagi Muniba ialah konsisten melakukan yang terbaik atas apa yang dimiliki. Hanya diri sendiri yang mampu mengubah kehidupan.
Sumber: Instagram Muniba Mazari
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam sebuah keluarga, anak-anaklah yang menjadi tulang belakang serta kekuatan utama buat ibu bapa. Susah senang dilalui bersama, saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.
Farah Shazliyana anak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datin Seri Shamshida Taharin. Bergelar anak kepada seorang ahli politik yang mempunyai kedudukan dan pengaruh kuat dalam pentadbiran negara menjadikan Farah seorang wanita yang matang dalam usia 29 tahun.
BANGGA DENGAN ABAH
“Saya bersyukur dikurniakan seorang bapa yang sangat baik. Abah seorang yang workaholic. Hardworking is an understatement. Sejak dulu lagi Abah bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat keluarga. There is no such thing as time for himself as he dedicates his life doing his best in any responsibilities he took on.
Saya melihat Abah seorang yang sangat sabar, cekal dan berprinsip. Abah sering berpesan kepada kami tentang nilai-nilai penting yang perlu diamalkan dalam kehidupan. Hakikatnya bergelar seorang ahli politik bukan mudah. Selama berpuluh tahun Abah berkecimpung dalam dunia politik.
Walaupun berdepan dengan bermacam dugaan namun Abah terus kuat dan maju ke hadapan. Setiap perkara yang dilakukan hanya kerana Allah SWT. Setiap kali Abah merasa tertekan mahupun down kami akan selalu mengingatkannya bahawa kami sentiasa ada untuk Abah.
Kami akan sentiasa menyokong Abah di saat susah atau senang. Kami yakin dengan sokongan akan menjadi kekuatan utama buat Abah dalam mengharungi cabaran dalam kariernya.
Begitu juga dengan Mummy yang sangat sabar mengharungi setiap ujian dalam hidupnya. Mummy akan sentiasa tersenyum, positif dan mencari kebaikan di sebalik semua yang terjadi.
Sebagai isteri Mummy sangat memahami dan supportive. Saya anggap Mummy seperti sahabat baik kerana mudah untuk saya kongsikan masalah bersamanya. Mummy juga seorang yang merendah diri, suka mendekati dan membantu golongan memerlukan melalui program-program kemasyarakatan yang dilakukan.
Saya bangga memiliki Abah dan Mummy yang sentiasa melayan sesiapa saja dengan baik tidak kira apa pun status mahupun latar belakang mereka.”
ABAH PANDAI MASAK
“Bercakap tentang menu raya kegemaran kami sekeluarga semestinya rendang daging homemade. Kelazatannya akan menjadi lebih luar biasa kalau Abah sendiri yang masak. Abah sememangnya pandai masak. Rendang daging merupakan salah satu menu kegemaran Abah setiap kali raya.
Selain itu, balik kampung juga antara momen Syawal paling indah buat kami sekeluarga. Setiap kali pulang ke kampung jiwa saya akan rasa seronok sangat. Tapi setelah arwah nenek meninggal dunia kami sudah lama tidak ke sana. Sejujurnya saya amat rindukan suasana kampung.”
WARISI KECANTIKAN IBU
“Ibu seorang yang mengamalkan pemakanan sihat antaranya makan nasi sejemput bersama lauk. Tidak hairanlan ibu kini masih kelihatan bertenaga dan awet muda walaupun usianya 54 tahun.”
Sempena Hari Bapa ini ucapan tulus Farah buat bapanya.
“Selamat Hari Bapa Abah. Terima kasih kerana menjadi contoh terbaik. Kami sangat bangga memiliki seorang ayah seperti Abah. I learnt a lot from you. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan mengurniakan yang terbaik buat Abah di dunia dan akhirat. I love you very much!”
Farah merupakan perunding kewangan di sebuah bank dan ibu kepada Farah Inayah Rose yang kini berusia satu tahun.
Kredit Foto: Instagram Farah Shazliyana Azmin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
\
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isteri kepada pelakon terkenal Saharul Ridzwan iaitu Deena Emir memang jelita orangnya. Berkahwin pada 16 September 2016, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata sebagai penyeri dalam rumahtangga.
Penampilan Deena juga sering menjadi tumpuan kerana walaupun dia berfesyen mengikut syariat agama, gayanya tetap kelihatan cantik dan elegan. Jom kita lihat!
Sejuk Mata Memandang..
Deena pandai menyuai padankan warna pakaiannya tanpa kelihatan serabut.
Deena juga mengusahkan jenama tudungnya sendiri iaitu Qaabila yang direka khas mengikut syariat Islam.
Sentiasa mengenakan stokin tangan, ini adalah satu perbuatan yang perlu wanita contohi kerana kadang-kala aurat kita kelihatan tanpa disedari.
Siapa kata kita tak boleh berfesyen mengikut shariah agamakan? Lihat sahaja stail Deena ini, tetap sopan dan ayu tanpa gaya yang berlebihan.
Memang menjadi inspirasi buat semua! Kepada para wanita yang sedar cuba untuk merubah penampilan ke arah yang lebih baik, perlahan-lahan ya? You can do this! InsyaAllah Tuhan akan permudahkannya untuk anda.