Wah, tumpang gembira dengan khabar isteri kesayangan Dato’ Sri Eizlan Yusof yang kini sedang hamil lima bulan! Berita tersebut didedahkan Dato’ Sri Eizlan sendiri sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 12 Disember lepas. Pandai pasangan romantis ni simpan rahsia daripada pengetahuan peminat.
Menerusi perkongsian Dato’ Sri Eizlan di Instagram, rata-rata peminat dan rakan artis turut meluahkan rasa gembira apabila mengetahui aktor kacak ini bakal menimang cahaya mata kelak. Kongsi Dato’ Sri Eizlan, “Happy 1st wedding anniversary to my sweet soulmate Sasha Boudville. Thanks for your love yayang mummy to be. Terima kasih atas ucapan yang baik dan doa you all semua.”
Walaupun ringkas tapi cukup untuk menyampaikan perasaan teruja dan gembira pasangan ini yang bakal menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam hidup mereka tidak lama lagi. Mesti comel!
Sementara itu, mengintai Instagram Datin Sri Natasha Rosa Boudville pula… tiada ucapan atau kata-kata khusus yang menyatakan diri beliau sedang berbadan dua. Namun foto-foto terbaharu yang dikongsikan, jelas kelihatan ‘baby bump’ beliau. Biarpun usia kandungan sudah mencecah lima bulan tapi Datin Sri Natasha maintain langsing dan cantik!
Memetik laporan Harian Metro, Dato’ Sri Eizlan yang mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu berkata mereka sudah pun mengetahui jantina bayi namun belum bersedia mendedahkannya kepada umum. “Kami terpaksa melalui satu lagi pemeriksaan doktor sebelum benar-benar disahkan. Anak-anak yang lain iaitu Vie Zara, Zareef Yusof dan Vie Zaara memang suka ada adik. Mereka asyik tanya mamanya (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik. Jadi mereka teruja apabila dapat tahu Tasha mengandung.
Mereka pun tidak kisah sama ada akan dapat adik lelaki atau perempuan asalkan bayi sihat dan selamat,” ujar Dato’ Sri Eizlan yang menjelaskan isteri kesayangannya itu turut mengalami morning sickness yang agak teruk pada dua dan tiga bulan pertama namun kini kesihatan ratu hatinya semakin stabil.
Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Sri Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019. Datin Natasha merupakan wanita cantik berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Pada hujung Julai lalu, Datin Sri Natasha melakar kejayaan tersendiri apabila beliau menerima pelantikan Kapten atas penglibatan aktif beliau dalam aktiviti sukarelawan sepanjang dua tahun hingga menarik perhatian dan pengiktirafan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Untung Dato’ Sri Eizlan dikurniakan isteri yang bukan sahaja cantik tapi juga berjiwa penyayang dan sedia turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
Ini dibuktikan ketika situasi pandemik Covid-19 melanda negara, Datin Sri Natasha bersama Dato’ Sri Eizlan telah sama-sama memerah keringat membantu petugas barisan hadapan menangani wabak berkenaan. Malah, pembabitan beliau dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga sudah bermula sebelum berkahwin dengan suami tercinta lagi.
Apa-apa pun, Nona mendoakan Datin Sri Natasha dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan bersalin kelak. Moga perkahwinan selebriti romantis ini juga berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Dato’ Sri Eizlan & Datin Sri Natasha