Kehilangan suami tercinta sememangnya sesuatu yang amat berat untuk dirasai oleh seorang isteri, dan kehilangan itu pasti akan menjadi kerinduan yang tidak berpenghujung.
Baru-baru ini tular di media sosial, luahan seorang isteri dikenali sebagai Dr Sheereen Zulkefly tentang pemergian suami tersayang usai menamatkan larian marathon Langkawi.
Tidak hanya mengundang sebak, luahan itu turut mencetuskan keinsafan hanya kerana kisah sehelai sejadah. Ia benar-benar menjentik hati seluruh jiwa yang membacanya.
Baru-baru ini media melaporkan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Dr Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi, 37, meninggal dunia selepas selesai menamatkan larian Langkawi Half Marathon.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan ahli akademik itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa menghampiri garisan penamat.
Memuat naik foto Allahyarham berlari sambil menyelitkan sehelai sejadah di bahagian pinggang, Dr Sheereen mendedahkan kebiasaan Dr Nik Mohd Faiz seperti mana dikongsikan rakan suaminya bernama Syahmi.
Memetik coretan Dr Sheereen di Facebook: –
“Kisah Sejadah. Gambar Allahyarham suami berlari sambil membawa sejadah viral tatkala pengumuman berita kematiannya. Allahuakbar.
“Sebenarnya, gambar itu sewaktu Allahyarham suami berlari dalam Standard Chartered KL Marathon pada bulan November lepas. Dia berhenti sebentar untuk solat Subuh dan kemudian meneruskan lariannya.
“Alhamdulillah, memang begitulah cara dia. Sangkutkan sejadah kecil tiap kali larian supaya dia boleh berhenti solat sebaik masuk waktu.
“Di Langkawi International Half Marathon 2022, Allahyarham suami saya menunaikan solat subuh terlebih dahulu sebelum memulakan larian. Beliau lihat ramai yang tunggu turn untuk menggunakan khemah untuk solat subuh.
“Setelah selesai solatnya, dia memberitahu sahabat lariannya, Syahmi, “Ko pakailah sejadah aku. Lepas ni aku nak wakafkan sejadah ni dekat runners lain. Biar aku dapat pahala berterusan.”
Tulis Dr Sheereen lagi, selesai rakan suaminya Syahmi menunaikan solat subuh, Allahyarham memberikan sejadah digunakan kepada pelari lain.
“Abang, pakai sejadah saya. Lepas tu abang passkan dekat orang seterusnya ye”.
“Kisah ini diceritakan kepada saya oleh Syahmi, ketika kami dalam boat Marin dalam perjalanan menuju ke Jetty Kuala Perlis bersama jenazah untuk dibuat post-mortem di HSB Alor Setar.
“Moga niat Allahyarham suami saya untuk mendapat pahala beterusan itu dimakbulkan oleh Allah SWT. Aamiin Allahumma Aamiin.”
Menjengah ke ruangan komen, para pelajar, keluarga pelajar dan rakan sejawat mendedahkan kebaikan pensyarah berkenaan. Warga maya turut menitipkan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dilakukan Allahyarham.
– “Moga berterusan pahala Allahyarham seperti air yang mengalir.”
– “Arwah Dr Nik sangat baik. Semasa PKP, banyak arwah belikan barang makanan kerana pelajar tidak boleh keluar. Minyak masak murni berbotol-botol, sosej bukan jenama biasa, beras pula beras basmati dan banyak lagi.”
“Arwah selalunya akan cuba memberikan fokus dan ‘eye contact’ bila berbicara tanpa mengira siapa atau apa pangkat kamu.. tidak hairanlah sangat ramai orang hadir di majlis pengebumian beliau.”
– “Kagum saya membaca perkongsian ini. Moga segala kebajikan arwah dicontohi kita yang masih berjuang.”
Semoga kisah pemergian Dr Nik Mohd Faiz memberikan inspirasi buat kita terus mempertingkatkan amalan, kebajikan dan sedekah sebagai bekalan di akhirat.
Kredit Foto: Facebook Dr Sheereen Zulkefly
This website uses cookies.