Ini bukan lagi jutawan tapi sudah capai tahap bilionaire! Mungkin Deirdre Dyson adalah antara wanita paling bertuah di dunia kerana bukan hanya mampu bertahta di hati pencipta terkenal jenama Dyson ini selama 51 tahun dan dikurniakan tiga anak. Bahkan dia turut melakar kejayaan di atas kaki sendiri apabila bergelar pereka permaidani eksklusif di bumi United Kingdom. Walau James Dyson diiktiraf sebagai lelaki terkaya di Britain oleh Bloomberg Billionaires Index dengan nilai kekayaan mencecah USD13.8 bilion tahun ini… ia bagaimana pun belum cukup membuatkan Deirdre puas, melainkan meraih keuntungan hasil dari duit dan keringatnya sendiri.
Mendirikan rumah tangga bersama lelaki paling berpengaruh di Britain tersebut sejak tahun 1968, Deirdre dikhabarkan mula membina empayar sendiri kira-kira 20 tahun lalu menerusi perusahaan karpet jenamanya sendiri. Uniknya rekaan karpet Deirdre Dyson ini ialah kerana ia dihasilkan dengan menggunakan tangan dan setiap ciptaan Deirdre adalah eksklusif serta terhad yang kebiasaannya dibeli industri perhotelan. Lebih istimewa, permaidani ciptaan Deirdre turut menggunakan lebih 5,000 kapas dan sutera China.
Meskipun sibuk dengan kerjaya ibu tiga anak ini tetap punya masa untuk keluarga. Menurut anak sulungnya, Jake Dyson menerusi Financial Times… kesenangan yang dinikmati mereka sekeluarga tidak semudah yang disangka. Jake turut mengakui kenangan melihat ibunya terpaksa mengajar subjek seni ketika dia masih kecil tetap segar di ingatan hingga kini. Semua itu dilakukan Deirdre untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga pada saat bapanya, James Dyson sedang bergelut menjayakan ciptaan sendiri.
Dua tahun sebelum bergelar suami isteri, James dan Deirdre dipertemukan ketika mereka masih menjadi penuntut seni. Memetik kenyataan James, “Kami mempunyai persamaan hampir dalam semua segi. Kami suka mencipta, kami adalah peminat seni dan kami juga mereka dan menghias rumah bersama-sama. Walau terdapat perbezaan latar belakang, tapi kami hidup bahagia selama 51 tahun ini.”
James Dyson, pencipta berusia 72 tahun berkenaan adalah pemilik penuh syarikat Dyson yang kini tersenarai antara 500 individu terkaya di dunia. Kekayaan James Dyson tahun ini juga mengatasi Jim Ratcliffe yang merupakan pengusaha Ineos Chemicals Group.
James Dyson pernah diberi pengiktirafan sebagai Commander of the Order of the British Empire (CBE) pada tahun 1996 dan dianugerahkan Prince Philip Designers Prize setahun kemudian. Kejayaan yang diraih James Dyson tidak datang bergolek kerana ciptaannya dianggap berjaya selepas melakukan sebanyak 5,127 prototaip! Memang kental dan gigih betul kerja keras pengasas Dyson ini.
Tiga penyeri rumah tangga James dan Deirdre ialah Jake Dyson, Emily Dyson dan Sam Dyson. Walau mempunyai tiga orang anak tetapi hanya Jake yang mengikut jejak langkah bapanya dan komited mencipta lampu dalam empayar Dyson.
Sementara Emily pula menceburi bidang fesyen dan kini bergelar usahawan butik Couverture yang terletak di London. Sementara Sam pula lebih cenderung dalam bidang muzik dan memiliki syarikat rakaman Distiller Records.
Sumber: Financial Times, Forbes & Daily Mail