Kagum! Itu ungkapan tepat bagi menggambarkan kredibiliti dua perdana menteri wanita ini yang cekap menangani wabak Covid-19 di negara masing-masing. Tersenarai antara negara yang menunjukkan jumlah jangkitan kes yang rendah di seluruh dunia, pujian dan sokongan padu patut diberikan kepada mereka kerana kedua-dua pemimpin hebat ini sebenarnya berstatus isteri dan juga ibu!
Tugas mendidik dan menjaga anak pun sudah cukup mencabar inikan pula mentadbir negara. Pasti kesemua mereka memiliki kelebihan tersendiri hingga diberi kepercayaan memerintah negara tercinta.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden misalnya merupakan isteri kepada Clarke Gayford yang memiliki seorang cahaya mata iaitu Neve Te Aroha Arden Gayford yang masih belum lagi berusia setahun. Bayangkan dengan anak masih kecil, wanita berjiwa kental berusia 39 tahun ini mampu mengekang wabak virus Covid-19 di negaranya dengan stabil.
Merujuk statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia semalam, New Zealand mencatatkan 52 kes jangkitan Covid-19 dengan tiada kematian setakat semalam. Selain meningkatkan kawalan di sempadan negara, mana-mana rakyat luar yang masuk ke New Zealand diarahkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, menghentikan sementara ketibaan kapal persiaran untuk berlabuh di sini, menggalakkan rakyatnya untuk duduk di rumah jika tiada keperluan selain tidak berkunjung ke negara-negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan virus berbahaya tersebut.
Malah, tiga hari lalu… Jacinda turut mengadakan pendekatan berbeza dalam memerangi Covid-19 dengan tidak meminggirkan kanak-kanak. Menyedari sikap ingin tahu yang tinggi di kalangan mereka, perdana menteri berjiwa prihatin ini berbesar hati mengadakan sidang media dalam kalangan kanak-kanak. Luar biasa!
Kemampuan Jacinda Arden mentadbir negara mula disedari ramai sejak insiden tembakan rambang di Christchurch pada 15 Mac tahun lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri Finland iaitu Sanna Marin juga tidak kurang hebatnya. Sanna merupakan isteri kepada Markus Raikkonen dan diiktiraf sebagai Perdana Menteri Termuda Di Dunia. Meniti usia 34 tahun, Sanna mempunyai seorang cahaya mata yang diberi nama Emma Amalia Marin.
Setakat 21 Mac 2020, Finland mencatatkan 450 kes jangkitan Covid-19 dan tiada kematian dilaporkan menurut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia semalam.
Sanna Marin mendapat pendidikan Sarjana Sains Pentadbiran dari University of Tampere dan menceburkan diri dalam arena politik sejak tahun 2016 dan pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi.
Dalam mengekang penularan virus Covid-19, Sanna Marin dalam laman media sosialnya dengan tegas mengingatkan rakyat Finland agar tidak menyebarkan berita palsu berkaitan wabak ini dan sentiasa mempercayai apa yang disampaikan kerajaan di bawah pentadbirannya. Beberapa panduan mengenai Covid-19 juga telah dikeluarkan Sanna dalam menghadapi penularan virus berkenaan.
This website uses cookies.