Meniti usia 64 tahun, Senator Fuziah Salleh aktif melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pelantikan Senator Fuziah memegang jawatan Timbalan Menteri KPDN dibuat pada Disember 2022 dan bertugas bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui kementerian itu.
Bagaimanapun Menteri KPDN tersebut meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Menelusuri profil Senator Fuziah, terdahulu dia pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Sebelum menjawat tugas Timbalan Menteri, Senator Fuziah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuantan. Pun begitu, dia akur melepaskan jawatan tersebut selepas kalah pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menyentuh latar belakang pemimpin wanita ini, Senator Fuziah genap berusia 64 tahun pada 13 Julai lepas. Dia dilahirkan di Johor namun membesar di Kuantan, Pahang.
Figura ini juga merupakan isteri kepada Profesor Dr Haji Russly Abdul Rahman. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata dan 13 orang cucu.
Seorang pelajar yang bijak, Senator Fuziah Salleh terpilih melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) pada tahun 1976 dan seorang kaunselor terlatih yang mempunyai kelayakan Profesional dalam bidang Kaunseling dari University of Reading, UK.
Selepas menimba pengalaman sebagai kaunselor, dia menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Wales.
Ibu penyayang ini juga Juruperunding Latihan Bebas untuk syarikat multinational sebelum memenangi PRU12 pada tahun 2008. Sekaligus melayakkannya menyandang tugas sebagai Ahli Parlimen Kuantan.
Dia dilapor menceburi bidang politik pada tahun 1999 dan bergelar aktivis.
Antara sumbangan Senator Fuziah kepada masyarakat ialah kejayaannya menjadi salah seorang pengasas pusat perlindungan remaja putri, Raudhatus Sakinah pada tahun 1997 yang masih beroperasi sehingga kini.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/dari-dunia-seni-ke-arena-politik-kagum-sisi-sederhana-mesra-datuk-dira-abu-zahar/
This website uses cookies.