“Isteri Saya Adalah Orang Terpenting Di Rumah” Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah

Pagi itu, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham kelihatan lebih charming dari selalu. Segak bersut hitam, lengkap tali leher jingga dan rambut disisir kemas, menampakkan ketokohan pakar perubatan hebat itu yang mewakili lebih 200,000 petugas (kesihatan) barisan hadapan negara.

Beliau dengan suaranya yang familiar, mesra menyapa kami dengan nadanya yang tenang.

Selama berbulan-bulan menguruskan kes COVID-19, tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham, di ambang lesu. Tanpa rehat yang secukupnya, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung virus berjangkit itu dilandaikan.

Sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jelas, penularan COVID-19 harus dikawal sekalipun terkorban harta dan nyawa sendiri.

“Kalau dulu hujung minggu adalah hari berkualiti untuk famili, tapi sekarang dah berbulan-bulan saya tak ambil cuti. Ambil cuti setengah hari pun dah masuk surat khabar. Itulah cabaran petugas kesihatan.

Tapi yang penting sekali adalah kefahaman keluarga atas kerja kita,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan sebagai Nona Frontliner Award dalam Nona Superwoman Award 2020.

Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, beliau menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.

“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”

Kesempatan melaksanakan fotografi di ruang kerja Ketua Pengarah KKM ini, penulis tertarik melihat sebuah buku baru di atas mejanya, berjudul ‘The COVID-19 Chronicles of Malaysia’.

Sikap suka membaca Tan Sri Dr Noor Hisham turut terlihat melalui timbunan buku-buku, fail penyelidikan dan pelbagai kertas kerja di segenap sudut kamar tersebut.

Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sememangnya cukup popular di atas skrin. Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.

Beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Jasa Negara (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri dan diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1442H oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah pada tahun ini.

Selain itu, kehebatan Tan Sri Dr Noor Hisham turut disegani dunia apabila dinamakan sebagai salah seorang doktor terbaik di dunia dalam menangani krisis COVID-19, setaraf negara maju seperti Amerika Syarikat dan New Zealand.

Berusia 57 tahun, lelaki yang lahir pada tarikh 21 April 1963 itu memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan kerajaan pada Ogos 1988 selepas menggenggam ijazah kedoktoran Masters in Surgery dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kini Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah. Beliau juga berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara Endokrin & Pembedahan Am di hospital yang sama. Berbekalkan pengalaman dan latihan lanjutan berkaitan pembedahan endokrin di Australia, kepakaran perubatannya jelas bukan calang-calang.

Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan beberapa artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin.

Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.

Sebagai pakar kanser payudara, Nona turut mendapatkan pandangan beliau tentang penyakit pembunuh No. 1 wanita itu. “Daripada pengalaman saya, langkah pengesanan awal seperti ujian imbasan ultrasound dan mammogram mampu menyelamatkan nyawa.

Buatlah pemeriksaan segera kerana harapan sembuh itu amat besar berbanding jika kanser sudah merebak ke tahap 3 atau 4,” akhiri beliau dalam nada serius.

Share
Published by
Norzalina