Istiadat pertabalan Raja Charles III dijadual berlangsung pada 6 Mei tahun depan di Westminster Abbey, London, menurut perutusan Istana Buckingham.
Istiadat pertabalan itu dijadual berlangsung lapan bulan selepas kemangkatan baginda Ratu Elizabeth II, ketika berusia 96 tahun, lapor United Press International (UPI).
Charles akan ditabalkan sebagai raja, bersama isterinya Raja Permaisuri Camilla (Queen Consort).
Istiadat pertabalan itu akan diadakan di Westminster Abbey dan dikendalikan Ketua Biskop Canterbury Justin Welby.
“Istiadat ini telah mengekalkan struktur yang sama selama lebih seribu tahun, dan pertabalan tahun depan dijangka merangkumi elemen teras yang sama,” menurut perutusan istana.
Raja Charles akan menjalani upacara keagamaan sama seperti Ratu Elizabeth yang ditabalkan pada 2 Jun 1953, dan dikendalikan Ketua Biskop Canterbury di mana tradisi itu telah berlanjutan sejak pertabalan diraja 1066.
Istiadat Pertabalan Raja Charles dijangka berlangsung lebih singkat berbanding Ratu Elizabeth yang berlangsung selama tiga jam, manakala jumlah tetamu yang hadir turut dihadkan.
Ratu Elizabeth, raja paling lama berkhidmat di Britain, mangkat di istana Balmoral di Scotland pada 8 September, tiga bulan selepas negara itu menyambut Jubli Platinum menandakan 70 tahun baginda menduduki takhta.
Raja Charles merupakan putera sulung Ratu Elizabeth dengan mendiang Putera Philip, yang meninggal dunia tahun lalu.
Sumber: Bernama